SELANGAU: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berjanji untuk menyelesaikan segala tuntutan hak Sarawak yang tertunggak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Perdana Menteri berkata selaku Pengerusi Jawatankuasa Perundingan MA63, beliau turut berjanji untuk menyelesaikan segala tuntutan hak Sarawak yang tertunggak.
“Kerajaan yang dipilih nanti juga haruslah kerajaan yang bertanggungjawab, bukan kerajaan yang hanya tahu membatalkan projek yang diperlukan rakyat.
“Pengundi harus berhati-hati agar jangan tersalah membuat pilihan, kerana jika tersilap, rakyat akan merana,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak, Seksyen Selangau dan Penyerahan PerantiSiswa, di sini hari ini.
Turut hadir, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg; Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Menteri Kanan Kerja Raya, Dato Sri Fadillah Yusof dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.
Mengenai pembukaan Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak, Seksyen Selangau itu, Ismail Sabri berkata ia jelas menunjukkan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam usaha membangunkan Sarawak.
“Dulu projek ini di bawah Pan Borneo Fasa 2 tetapi dibatalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas BN tumbang, malah empat jambatan di jalan raya pesisir Sarawak turut dibatalkan,” katanya.
Beliau juga berkata, Kerajaan Persekutuan yang kukuh dan stabil diperlukan bagi meneruskan momentum pemulihan ekonomi negara pasca COVID-19 selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Sabtu ini.
Katanya, tanda-tanda pemulihan ekonomi sudah kelihatan ketika ini apabila Gabenor Bank Negara, Tan Sri Nor Shamsiah Yunus, dua hari lalu mengumumkan Keluaran Dalam Negara Kasar(KDNK) Malaysia adalah yang terbaik di Asia Tenggara dengan kadar pertumbuhan sebanyak 14.2 peratus.
Beliau berkata, ekonomi negara terus berkembang apabila pelaburan asing langsung (FDA) kini semakin meningkat, dagangan turut meningkat serta jualan perdagangan borong dan runcit meningkat tinggi lebih 20 peratus sekali gus menunjukkan bahawa ekonomi Malaysia terus berkembang berbanding negara lain.
“Sebab itu untuk meneruskan kecemerlangan ekonomi, kerajaan yang stabil perlu dipilih untuk memberi peluang meneruskan agenda membangunkan ekonomi dan semua yang diperuntukkan untuk kepentingan rakyat,” katanya
Ismail Sabri berkata, Bajet 2023 yang menggariskan langkah untuk pemulihan ekonomi negara belum diluluskan berikutan Parlimen dibubarkan tiga hari selepas pembentangannya.
Menurutnya, bajet itu akan dibentangkan semula apabila kerajaan yang membentangkannya pada 7 Oktober lalu mendapat mandat semula daripada rakyat, Sabtu ini.
“Bagi membolehkan kita membentangkan bajet itu dan meluluskannya, kerajaan baharu yang dipilih mestilah kerajaan sama di bawah pimpinan saya kerana jika orang lain ambil alih, saya tidak pasti bajet itu dibentang semula atau banyak lagi yang akan dipotong,” katanya.