KOTA SAMARAHAN: Stesen Pam Penggalak Batang Samarahan memberi impak yang signifikan kepada lebih 85,000 masyarakat setempat yang bukan sahaja di Kota Samarahan malah penduduk di kawasan Asajaya, Sadong Jaya, Sebangan, Sebuyau dan Simunjan.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Abdul Rahman Junaidi berkata, Stesen Pam Penggalak Batang Samarahan merupakan sistem penggalak yang terbesar di Sarawak.
“Kesemua inisiatif ini dilakukan oleh kerajaan pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) melalui kementerian ini dan agensi pelaksana Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarwak (JBALB) demi membekalkan air hampir ke seluruh Bahagian Samarahan hingga ke Simunjan, Sebangan dan Sebuyau melalui Batang Samarahan.
“Program ini juga merupakan sebahagian daripada projek keperluan yang dilaksanakan sejak 2018 di mana 297 projek di seluruh Sarawak berjaya dilaksanakan.
“Selain stesen pam, kementerian kami juga turut membina stesen rawatan air, tangki-tangki air aras tinggi dan memasang paip utama bersaiz 600 ke 1200 milimeter (mm) di seluruh negeri dan program retikulasi ke kawasan perumahan dan kampung-kampung,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Stesen Pam Penggalak Batang Samarahan di sini, hari ini.
Katanya, Stesen Pam Penggalak Batang Samarahan turut menjadi sebahagian daripada sistem grid air untuk kawasan Selatan seperti Kuching, Samarahan dan Serian.
“Sistem grid air ini penting di mana sistem grid air yang terdapat di Selatan akan bersambung ke kawasan tengah Sibu, Sarikei dan terus bersambung ke kawasan utara Limbang, Lawas, Miri dan Bintulu.
“Mungkin dalam tempoh lapan tahun kita akan mempunyai sistem grid air yang bersambungan untuk menjamin bekalan air berterusan termasuk ke kawasan pedalaman tanpa ada masalah air.
“Hampir kesemua daripada projek bekalan air ini menggunakan dana kita sendiri di atas pimpinan kerajaan GPS dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg,” katanya.
Untuk makluman, Projek Stesen Pam Penggalak Batang Samarahan baharu di bawah Pakej 1D ini telah siap dilaksanakan pada Mac lalu dengan kos RM23.2 juta.
Skop projek ini melibatkan pembinaan stesen pam penggalak berkapasiti 46 juta liter sehari, pembinaan tangki simpanan air berkapasiti 7.5 juta liter, pelaksanaan sistem ‘electro chlorination’ serta kerja-kerja berkaitan.
Oleh NICKELYSON LAKUN