KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) sedang menjalani pelaksanaan fasa pertama perjalanan transformasinya untuk memperkuatkan strukturnya dengan mengimbangkan kemampuannya untuk menjana prestasi dalam tempoh jangka pendek sambil memastikan kemampanan jangka panjang.
Ini termasuk penyusunan semula strategi pelaburan dengan objektif dan falsafah pelaburan jangka masa panjang secara keseluruhan.
“Untuk tujuan ini, Rangka Kerja Peruntukan Aset Strategik kami yang akan menetapkan hala tuju dan sasaran jangka panjang untuk portfolio itu ke arah peningkatan kepelbagaian hampir selesai,” kata Pengerusinya Jeneral (B) Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, dana itu sedang mencari potensi pengimbangan semula portofolionya untuk melaksanakan peruntukan dalam instrumen pendapatan tetap yang dapat diperdagangkan.
Sementara itu, dana tersebut telah mengumumkan dividen sebanyak 2.5 peratus untuk tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2019, lebih tinggi daripada dua peratus yang dicatatkan pada tahun kewangan 2018.
Dividen yang lebih baik diumumkan itu adalah di sebalik keuntungan bersih yang lebih rendah sebanyak RM91.7 juta pada tahun kewangan 2019 berbanding RM221 juta untuk tahun kewangan 2018.
Mengulas mengenainya keputusan itu, Mohd Zahidi berkata, 2019 adalah tahun yang sukar bagi LTAT kerana prestasinya terjejas terutamanya hasil dividen sifar yang diterima dari dua anak syarikat utama, Boustead Holdings Bhd dan Affin Bank Bhd, berbanding dividen RM124.2 juta diterima pada tahun kewangan 2018.
Pelaburan di kedua-dua anak syarikat ini merangkumi 47 peratus dari jumlah keseluruhan dana.
Hasil dana itu juga dipengaruhi oleh ketiadaan penjualan tanah berbanding RM87.2 juta yang dicatatkan pada tahun kewangan 2018.
LTAT juga dapat mengumumkan dividen yang lebih baik pada tahun kewangan 201, akibat daripada pengecualian liabiliti oleh kerajaan kerana ia dikecualikan daripada membayar dividen terhadap caruman kerajaan kepada dana tersebut.
Setakat 31 Disember 2019, aset di bawah pengurusan LTAT berjumlah RM9.48 bilion. – Bernama