KUCHING: Pengundi muda perlu memahami perjuangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang berpandangan jauh dengan merangka ekonomi baharu Sarawak berteraskan digital dan tenaga hijau.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata visi itu bertujuan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada generasi baharu untuk manfaat mereka.
“Mereka (generasi muda) boleh melihat dasar kita dan apa yang akan berlaku pada masa hadapan.
“Mereka yang berumur 18 tahun pada masa kini akan berumur 28 tahun dalam tempoh 10 tahun lagi manakala yang berumur 30 tahun sekarang akan menjadi 40 tahun.
“Maknanya apa yang saya buat ketika ini di bawah PCDS 2030, dana kekayaan berdaulat dan semuanya adalah untuk masa depan,” katanya dalam program Bicara Hati Rakyat Bersama Premier Abang Jo terbitan TVS yang disiarkan malam ini.
Abang Johari berkata mereka yang berumur 20 tahun dan ke atas memerlukan pekerjaan manakala pekerjaan yang disediakan mestilah sesuai dengan perkembangan ekonomi agar dibayar gaji tinggi.
Malah, TVS yang ditubuh beliau adalah untuk membuka peluang dan mengembangkan industri kreatif dan persembahan demi manfaat generasi muda.
Dalam hal ini, beliau mahu generasi muda berfikir panjang dan boleh melihat apakah yang berlaku pada masa hadapan.
Berbicara lanjut, Premier Sarawak komited menyediakan kemudahan yang sempurna di luar bandar selain menambah pendapatan negeri bagi tujuan membiayai pelbagai projek dan program pembangunan khususnya di kawasan luar bandar.
Bagi mencapainya, beliau telah melaksanakan projek jalan pesisir merangkumi pembinaan beberapa jambatan sebaik dilantik sebagai Ketua Menteri pada 2017.
“Kita di Sarawak bukan sahaja kawasannya luas tetapi banyak sungai dan sungai ini kita terpaksa bina jambatan dan ia memerlukan kos yang tinggi.
“Tetapi kita carikan satu model untuk kita membangunkan infrastruktur asas,” katanya sambil menambah kos bagi melaksanakan projek pembinaan jalan pesisir termasuk jambatan di negeri ini berjumlah RM12 bilion dan ia perlu dilaksanakan dalam tempoh lima hingga enam tahun.
Katanya, pembinaan jalan yang sempurna sangat mustahak bagi menggalakkan perkembangan aktiviti ekonomi dan memudahkan pergerakan penduduk di kawasan terbabit.
Selain itu, beliau mahu tanah yang luas di luar bandar dimanfaatkan untuk kegiatan pertanian komersial bagi meningkatkan pendapatan petani dan mengurangkan import makanan.
Dalam hal ini, kerajaan katanya perlu menyediakan infrastruktur telekomunikasi yang baik bagi menyokong penggunaan teknologi digital dalam bidang pertanian komersial.
Menyentuh pendapatan kerajaan Sarawak, beliau berkata pengenalan Cukai Jualan Negeri (SST) terhadap produk minyak dan gas sejak 2019 telah meningkatkan sumber pendapatan Sarawak.
“Bermula dari itu kita ada sumber pendapatan hasil dari SST minyak dan gas dan hari ini pendapatan kita bertambah. Kalau dahulu (pendapatan negeri) paling tinggi ialah RM6 bilion, tetapi kali ini RM10 bilion,” katanya.
Katanya, beliau akan membentangkan bajet negeri pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sambil memberi bayangan jumlahnya melebihi RM10 bilion.