LAWAS: Projek jajaran jalan raya Sabah-Sarawak di kawasan tanah tinggi tanpa melalui Brunei, sudah dirancang dan melalui kajian seawal 1980-an.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Dato Henry Sum Agong berkata ini antara beberapa projek yang telah dilaksana ketika kerajaan zaman Barisan Nasional (BN) lagi.
Katanya, usaha itu memerlukan tempoh panjang akibat keadaan muka bumi mencabar di kawasan tanah tinggi.
“Pihak pembangkang sebenarnya tidak ada keupayaan dan keazaman untuk membangunkan kawasan dan rakyat,” katanya pada program Kempen Kesedaran Budaya Keselamatan Penerbangan Lawas di lapangan terbang Lawas hari ini.
Henry Sum yang juga calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Parlimen Lawas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dicabar Baru Bian dari Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Japar Suyut dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Henry Sum berkata, pembangkang hanya mampu mengaku bahawa beberapa projek yang telah dilaksana kerajaan zaman BN sebagai projek mereka.
Beliau berkata, calon pembangkang hanya menabur auta sepanjang kempen PRU-15 untuk Parlimen Lawas dan meminta pengundi melihat sendiri bukti usaha kerajaan di Sarawak hingga sekarang pimpinan GPS.