LINGGA: Peristiswa pahit dibawah naungan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan setelah Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) 2018, perlu dihindari.
“Jangan memperdayakan rakyat Sarawak sebanyak dua kali” kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Kerajaan PH (ketika itu) bertindak membatalkan beberapa projek termasuk jambatan di negeri ini. Apabila berlakunya perkara itu, kita kerajaan GPS telah bertindak mengambil alih projek-projek yang dibatalkan oleh mereka demi kepentingan rakyat.
“Kini (PRU15) mereka (PH) cuba meminta undi daripada kita. Orang Sarawak jangan di’bula’ (bohong) dua kali,” katanya ketika merasmikan program Sarawakku Sayang di Dataran Pekan Lingga dekat sini hari ini.
PH yang pernah memerintah negara selama 22 bulan selepas PRU-14 pada 2018 dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH). PH dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Abang Johari juga yakin masa depan Sarawak begitu cerah di bawah pemerintahan kerajaan GPS.
Katanya, Sarawak memiliki sumber dan pengurusan kewangan yang baik dan mampu meraih pendapatan tinggi seperti yang dikecapi Singapura pada masa sekarang.
“Sarawak mempunyai tenaga manusia yang berpendidikan dan boleh kita latih. Justeru rakyat Sarawak akan terus memiliki masa depan cerah selagi mereka terus memberi sokongan padu terhadap kerajaan GPS,”katanya.
Abang Johari pada program itu turut menyerahkan replika cek sumbangan kerajaan Sarawak bernilai RM500,000 kepada Jawatankuasa Chung School Lingga yang diterima oleh pengerusinya Ong Chen Thiam dan Temenggong Kuek Aik Seng.
Hadir sama Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, ADUN Beting Maro, Razaili Gapor dan ADUN Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Datu Dr. Muhammad Abdullah Zaidel dan Pengerusi Agensi Pembangunan Sri Aman, Dato Sri Rohani Abdul Karim hadir sama pada program itu.
Oleh VALENTINE NGUMBANG