KUCHING: Kerajaan Sarawak terus komited untuk membangunkan Samarahan dengan turut memberi fokus kepada pembangunan pertanian menggunakan teknologi moden.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari berkata dengan lebih banyak kawasan dibuka untuk tujuan pembangunan, maka tanah di situ boleh digunakan untuk pembangunan pertanian menggunakan teknologi moden termasuk Internet Kebendaan (IoT).
“Tanah boleh digunakan untuk pertanian moden dengan IoT misalnya di Sebangan menuju ke Asajaya di mana projek bernilai RM600 juta telah dirancang untuk memperkaya kawasan berkenaan.
“Justeru, kita telah meminta Datuk Julaihi Narawi (Ahli Dewan Undangan Negeri Sebuyau) untuk memulakan penanaman semula pokok kelapa yang boleh menjadi satu lagi komoditi eksport untuk Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan ulang tahun ke-25 Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) di Hotel Hilton, di sini, malam tadi.
Menjelas lanjut, Abang Johari berkata Tanjung Bako juga akan menyaksikan pembangunan pelabuhan baharu yang akan disambungkan ke jalan pesisir pantai.
“Memandangkan Kuching adalah ibu kota maka dengan itu, limpahan ke Samarahan akan berlaku di sana dan dengan rancangan pembangunan di bawah kerajaan negeri bersama jangkaan peningkatan pendapatan melalui pendekatan kejuruteraan semula hasil , kita akan memberi kembali kepada rakyat melalui pembangunan yang akan dihubungkan ke Sebuyau terus ke Lingga.
“Ketiga-tiga bahagian ini akan menyaksikan pembangunan bersepadu secara keseluruhannya yang menggabungkan pembangunan ekonomi, sosial dan perlindungan alam sekitar,” katanya.
Hadir sama isteri Abang Johari, Puan Sri Datuk Amar Jumaani Tuanku Bujang, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dan Pengerusi MPKS, Dato Peter Minos.