KUCHING: Kota Samarahan bakal membangun dengan lebih ‘gah’ dalam tempoh tujuh tahun akan datang dengan penubuhan pelbagai kemudahan dan institusi penting berkaitan penjagaan kesihatan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata penubuhan pelbagai institusi penting itu akan memacu ke arah pekerjaan bergaji tinggi.
Bagaimanapun katanya, semua itu juga akan memerlukan usaha untuk menyuraikan masalah kekesakan lalu lintas.
Beliau berkata pemasangan lampu isyarat pintar dan projek pelebaran jalan sebagai langkah mengurangkan kesesakan jalan raya di Samarahan hanya langkah sementara.
“Sebab itu kita merancang untuk membina jalan lencongan bagi menyuraikan kenderaanm yang boleh membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di sepanjang jalan utama.
“Selain jalan biasa, pembinaan jalan lain sedang dilaksanakan untuk menghubungkan Tanjung Bako ke Jambatan Sejingkat yang baharu dan terus ke Petra Jaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan ulang tahun ke-25 Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) di Hotel Hilton, di sini, malam tadi.
Abang Johari berkata, kawasan di Samarahan juga akan menjadi sangat sibuk dan semakin berkembang dengan pelbagai pembangunan baharu yang dinamakan sebagai ‘hab kluster’.
“Pusat Jantung Sarawak dan Institut Penyelidikan Gambut Tropika Sarawak (TROPI) sudah pun ada di sini (Samarahan) manakala Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC) dan Pusat Kanser juga akan diwujudkan di sini nanti.
“Dengan penubuhan pelbagai institusi kesihatan, ia akan membawa masuk ramai pakar, penyelidik profesional serta pekerjaan bergaji tinggi yang seterusnya akan memerlukan pembangunan perumahan untuk memenuhi keperluan rakyat,” katanya.
Hadir sama ialah isteri Abang Johari, Datuk Amar Jumaani Tuanku Bujang, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dan Pengerusi MPKS, Dato Peter Minos.
Oleh RYNNA SHA’ERRA