Pantulan Cermin
Di hadapan dirimu
Di sebalik kaca yang dilihat
Atas kepalsuan dan kepercayaan sendiri
Mengkhayalkan dunia ciptaanmu
Di mana kau yang paling sempurna
Terbaik antara semua.
Di saat maruah dan harga diri insan sekeliling dipijak
Kau mencipta hikayatmu
Kononnya kau ditindas
Kau dihina,
Kau kehilangan
Angkara insan yang mencemburui dirimu.
Cermin itu memperlihatkan hanya satu sisi
Sisi dirimu yang kau lihat sempurna
Di sebalik itu,
Kau kehilangan empati
Kau kehilangan insan yang menyokongmu
Berhentilah mencintai pantulan itu
Kerana di penghujungnya
Kita hanyalah hamba
Yang penuh dengan kekurangan
Ibarat buih di lautan
Menanti masa untuk hilang.
Nur Sharfidah Shariff
Sibu
Bisikan Hati
Titisan embun pagi menyirami diri ini
yang penuh dengan kesedihan
tanpa disangka air mata turut mengiringi
langit dan bumi menjadi saksi.
Hanya mampu berbisik kepada air dan angin
begitu rapuhnya jiwa ini
kerana tak mampu di luah dengan kata-kata
maka terhasil satu irama.
Kini ia menjadi peneman
di kala aku dalam sendu yang bertalu
bagi melembutkan hati yang pilu.
nafas dihela dengan perlahan
Kini aku pasrah dengan takdir-Mu
walau sukar tetap ku tempuh
semoga alam sentiasa memberi semangat baharu
walau di mana aku bersimpuh.
Nur Alina binti Semulih
Pusat Latihan Bagi Orang Buta, Kuching
23 September 2022
Tidak Pernah Sunyi
Tidak pernah sunyi
Tatkala si anak memanggil ayahnya
Usai membina kota
Dari bongkah warna-warni
Dia ingin menjadi raja
Banyak yang ingin dibicara
“Ayah, ayah!”
Namun hampa
Kerana ditawan oleh alam maya.
Tidak pernah sunyi
Pabila si anak memanggil ibunya
Usai menuntut ilmu
Dunia ini luas menurutnya
Dia ingin menjadi ilmuan
Banyak yang ingin dicerita
“Ibu, ibu!”
Namun hampa
Kerana kalah di tangan skrin kaca.
Tidak pernah tidak sunyi
Saat si anak pergi mengembara
Tiada lagi bicara dan cerita
Saat mata telah kabur
Tidak mampu menatap skrin kaca
Tiada kudrat menghadap alam maya
Barulah rindu pada riuh suasana
Namun hampa
Kerana tewas di tangan masa.
Noor Raihan Ahmad
Kuching