Dalam keghairan berkempen sepanjang dua minggu tempoh kempen dibenarkan, semua ahli dan jentera parti perlu sedar terdapat peraturan yang perlu dipatuhi. Kadang-kala ahli-ahli parti atau penyokong parti melakukan pelbagai perkara dan strategi untuk memenangkan calon parti yang disokong.
Mereka terlepas pandang bahawa sekiranya tersalah langkah akan menyebabkan boleh ditangkap, didakwa di mahkamah, malah juga kemenangan calon boleh terbatal.
Di negara ini beberapa akta untuk memastikan integriti dan tabbir urus proses pilihan raya berlangsung telah digubal sejak lama dahulu seperti Akta Kesalahan Pilihan 1954 (AKPR). Akta ini masih berkuatkuasa sehingga kini.
Namun ramai yang kurang mengetahui kewujudan akta Parlimen itu. Tujuan akta tersebut digubal adalah untuk mencegah berlakunya kesalahan-kesalahan pilihan raya ketika proses itu berlangsung. Ini termasuk perbuatan rasuah dan perbuatan yang melanggar undang-undang pilihan raya. Ini termasuk mengawal belanja pilihan raya.
Terdapat tujuh bahagian dalam akta ini seperti aspek permulaan dan pentafsiran, kesalahan pilihan raya, perbuatan rasuah, ejen pilihan raya, belanja pilihan raya dan perbuatan yang menyalahi undang-undang, pasukan penguat kuasa, alasan bagi membatalkan pemilihan dan petisyen pilihan raya.
Jamuan pilihan raya
Dalam Seksyen 8 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 terdapat larangan calon untuk menawarkan makanan dan minuman kepada pengundi untuk mempengaruhi pengundi memilih calon tersebut. Ini termasuklah tindak-tanduk secara rasuah sama ada dilakukan sendiri oleh calon atau mana-mana orang lain ketika, sebelum, semasa dan selepas pilihan raya melalui pemberian, mengadakan, membayar, mengaku janji akan memberikan apa-apa makanan minuman, belasan, wang, tiket apa-apa cara tipu daya untuk tujuan mempengaruhi secara rasuah agar diberikan undi dalam pilihan raya.
Kesemua ini termasuk dalam kesalahan menjamu.(Seksyen 8 AKPR 1954). Tingkah laku ini sering berlaku dalam mana-mana pilihan raya malah pada suatu tahap ia dianggap sebagai satu kebiasaan.
Dalam mana-mana pilihan raya sering kali terdapatnya jamuan diadakan untuk menarik pengundi. Kadang-kala akibat pertembungan sengit di pusat daerah pengundi (PDM), maka masing parti menyediakan jamuan makan untuk menarik pengundi.
Parti lebih berkemampuan akan menyediakan lebih banyak makanan untuk dijamukan manakala parti kecil lazimnya menyediakan secara ala kadar sahaja. Begitu juga untuk membayar duit minyak, duit sagu hati atau duit tambang pengangkutan termasuk pembelian tiket dan sebagainya. Sebenarnya ia bukanlah sesuatu yang normal dalam undang-undang pilihan raya, sebaliknya ialah tindak-tanduk yang melanggar undang-undang.
Pengaruh tidak wajar
Dalam seksyen 9, akta ini menetapkan bahawa mana-mana pihak sebelum, semasa dan selepas pilihan raya tidak boleh mengancam dan menggunakan ancaman sama ada dibuat sendiri atau orang lain untuk mendatangkan kerosakan, bencana, kecacatan, kerugian keduniaan atau rohani terhadap mana-mana orang untuk memaksa mengundi atau sebaliknya.
Apa-apa juga tipu muslihat, menghindar atau menahan sama ada secara langsung atau tidak langsung. Begitu juga gangguan tidak wajar terhada mana-mana pihak agar terhalang menjalankan hak untuk mengundi. Amalan gengsterisme yang cuba mengawal pilihan raya, menakut-menakutkan pengundi agar tidak menyokong atau menyokong parti tertentu perlu dibanteras. Pihak berkuasa khususnya pihak polis boleh mengambil tindakan ini sekiranya berlaku amalan menggunakan pengaruh tidak wajar ini bagi menarik sokongan undi, calon dan parti politik.
Sogokan
Terdapat seksyen 10 dalam Akta Pilihan Raya lebih spesifik yang menyatakan mana-mana pihak yang meminjamkan, memberikan, menawarkan, menjanjikan untuk mendapatkan, atau menawarkan, menjanjikan, atau berjanji untuk mendapatkan atau berusaha untuk mendapatkan, apa-apa jawatan, kedudukan atau pekerjaan kepada atau untuk mana-mana pemilih atau pengundi, secara rasuah agar mengundi atau tidak mengundi dalam mana-mana pilihan raya maka ia merupakan suatu kesalahan.
Ia juga boleh melibatkan wang, pemberian, pinjaman, atau balasan bernilai. Hal ini bermakna calon-calon yang bertanding sekiranya didapati berbuat demikian adalah melakukan kesalahan dalam Akta Pilihan Raya 1954.
Berdasarkan akta yang telah termaktub itu, menunjukkan betapa sewajarnya proses pilihan raya perlu bebas daripada politik wang, politik janji dan tawaran, tidak boleh menggunakan pengaruh untuk mengancam pihak lain dalam usaha untuk meraih undi.
Dalam seksyen 19, had maksimum perbelanjaan masa pilihan raya ialah sebanyak RM200,000 bagi pilihan raya Parlimen dan RM150,000 bagi setiap kerusi Dewan Undangan Negeri.
Bagi mengelak berlakunya perlanggaran seksyen ini, adalah wajar pihak kerajaan meminda dan meningkatkan lagi maksimum perbelajaan sesuai dengan kenaikan harga barang dan perkhidmatan. Misalnya kos mencetak alat-alat kempen, menggaji dan kos makan minum pekerja kempen semakin meningkat.
Begitu juga laporan perbelanjaan calon pilihan raya kepada SPR perlulah diaudit dan diserahkan dalam tempoh sebulan kepada SPR. Namun persoalannya, sejauh manakah laporan perbelanjaan tersebut dilaksanakan. Begitu juga audit perbelanjaan pilihan raya calon pilihan raya setakat ini amat jarang diperkatakan laporan tersebut diaudit.
Pembiayaan Dana Politik
Kempen politik sering melibatkan wang untuk membiayai perbelanjaan kempen. Dalam situasi politik semasa, mana-mana parti politik yang kecil kurang berupaya membiayai kempen politik mereka dengan lebih efisien kerana perlu sejumlah wang besar bagi membayar pekerja sama ada kos makan minum, mencetak poster kempen, upah memacak dan menurunkan bendera dalam pelbagai lagi keperluan.
Ada sesetengah parti politik mengadakan majlis makan malam untuk mengumpul dana politik. Lazimnya setiap meja akan dijual berdasarkan kedudukan perasmi atau VIP politik yang hadir. Ada juga yang mendapat dana daripada taikun-taikun besar.
Yang dibimbangi badan-badan sivil ialah apabila terdapat sumbangan daripada konglomerat besar atau mendapat derma daripada pembiayai-pembiayai politik, maka parti boleh terperangkap dalam amalan terhutang budi dan amalan memberikan projek-projek kepada pembiayai ini sebagai membalas sumbangan pilihan raya.
Hal ini akan menjadi amalan tidak sihat dalam budaya politik apabila politik dan ekonomi tidak dapat dipisahkan. Justeru, terdapat gesaan agar Akta Pembiayaan Dana Politik digubal secepat mungkin supaya proses berkaitan derma, wang politik dapat dibezakan dengan di antara sumbangan kepada parti, individu ahli politik bagi mengelak berlakunya amalan rasuah dan salah guna wang untuk membiayai parti politik.
Kesalahan serius bagi perlanggaran boleh didenda sehingga RM500, wakil rakyat dibatalkan kelayakan dan lima tahun hilang hak mengundi. Di bawah Akta SPRM 2009 pula terdapat hukuman lebih panjang dan denda lebih besar hingga hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 berdasarkan mana-mana yang lebih tinggi.
Malah jika gagal melaporkan pemberian, janji atau tawaran rasuah di bawah Seksyen 25 (1) dan (2) Akta SPRM 2009, boleh dikenakan denda tidak lebih RM100,000 dan penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)