Oleh Abang Median Abang Said
ZAINAL Abidin Suhaili atau lebih dikenali sebagai Abizai – Sasterawan Negeri Sarawak yang kelima – menegaskan bahawa menghasilkan sebuah sajak persis memasukkan sekolam air di dalam sebuah gelas, yakni dengan memilih diksi-diksi yang terbaik. Manakala untuk menghasilkan sebuah cerpen, pengarang pula perlu memilih konflik yang terbaik untuk menjadikan cerpennya mampu memberikan impak kepada pembaca. Sebagai seorang penulis, perkara pertama yang berlintasan dalam cepu minda sebelum menghasilkan sesuatu karya ialah tentang tema dan konflik yang hendak digerakkan dalam karya berkenaan. Konflik yang dibangunkan dalam sesebuah karya sama ada novel, cerpen atau pun drama akan memberikan rencah untuk menggerakkan cerita dan menyentuh emosi penonton atau pembaca. Jalan cerita atau konflik yang tidak berkembang lebih-lebih lagi jikalau diakhiri dengan penyudahan yang klise dan mudah diramal akan menjadikan sesebuah karya itu kaku dan membosankan. Manusia dan kehidupan tidak akan pernah terpisah daripada konflik. Penulis karya kreatif perlu memilih, membina dan menanjakkan konflik bagi mengembangkan binaan plot cerita agar tidak mendatar yang digerakkan melalui watak-watak karyanya.
Menurut A.S. Laksana, jikalau seseorang penulis itu tertarik pada penulisan fiksi, penulis berkenaan perlu melatih diri dalam mengembangkan karakter atau dalam menggambarkan tindakan-tindakan mereka. Bagaimanapun, setiap cerita adalah cerita tentang karakter; mereka menghadapi masalah, dan mereka harus mengatasinya.
Wadah Bahasa dan Sastera (WBS) pada minggu lepas telah menyiarkan sebuah cerpen yang bertajuk “Labang” karya Justi Amban. Labang adalah sejenis ikan yang dikatakan oleh pengarang sebagai ikan raja di Sungai Krian. Rasanya yang sangat sedap dan sukar untuk diperoleh menyebabkan harganya mencanak macam harga rumah di Kalakos. Ikan labang dikatakan telah mencecah harga RM100 untuk sekilogram. Itulah antara konflik yang ingin diketengahkan oleh pengarang dalam cerpennya. Ikan ini sangat sedap jikalau dimasak asam dengan tempoyak atau dipais dengan daun nipah atau daun buan. Pengarang yang menggunakan sudut pandangan orang pertama menggambarkan bahawa watak arwah mak “aku” juga dikatakan sangat menggemari ikan labang yang dipais.
Cerpen ini dimulakan dengan teknik deskriptif apabila pengarang menerangkan keadaan di pasar basah yang kian berubah hasil pembangunan yang dijalankan di kawasan berkenaan setelah 30 tahun dia menghuni daerah tersebut. Pengarang juga secara rinci menerangkan dalam cerpennya tentang pecahan kaum yang menjual ikan basah di pasar berkenaan. Masyarakat Melayu digambarkan menjual ikan-ikan segar dari sungai atau laut yang kebanyakannya datang dari Kabong, Gerigat, Mpelam dan Kupang. Pengarang menunjukkan pengetahuan mendalamnya tentang jenis-jenis ikan laut yang dijelaskannya dalam cerpen seperti ikan terubuk, buntal, senangin, ketam, lumek, udang payak, udang sia, tohey, lapis, ndurik, payak bukuk, popot, mpipik dan kilat. Walau bagaimanapun, pengarang tidak mengembangkan konflik dalam cerpen berkenaan. Pembaca akan tertanya-tanya, apakah konflik yang cuba ditonjolkan. Pendahuluan cerpen yang diolah oleh pengarang persis catatan pengalaman atau memoir yang hanya mementingkan tentang isi atau peristiwa. Pengarang hanya bercerita tentang pengetahuannya.
Jikalau seseorang penulis ingin menjadi jurnalis, dia seharusnya meluangkan lebih banyak waktu untuk mewawancarai orang dan belajar teknik bercerita agar tulisannya lebih menarik. Setiap orang memiliki cerita, memiliki konflik, memilih cara sama ada berhasil atau gagal untuk mengatasi masalah. Seseorang penulis akan menemukan cerita yang menarik pada tiap-tiap orang jikalau dia mengenali dengan lebih dekat dan tahu perincian tentang orang berkenaan.
Namun sebagai seorang penulis kreatif cerpen atau novel, seseorang penulis perlu banyak masa untuk membaca genre berkenaan. Penulis perlu melatih diri dengan cara menulis cerita versinya sendiri berdasarkan cerita lain seperti yang dilakukan Shakespeare. Tapi apa rahsia kehebatan Shakespeare dalam menciptakan kembali cerita yang sudah ada? Shakespeare seorang yang genius dalam mengupayakan ekspresi-ekspresi artistik dan dalam pemahamannya terhadap watak manusia. Dia memiliki cara untuk menangkap esensi karakter hanya dalam beberapa kata atau dalam sedikit kalimat. Satu karakter dramanya, Falstaff, menurut kritikus Harold Bloom, hanya mengucapkan tujuh larik dialog sepanjang cerita dan kita mampu memahami keperibadiannya secara utuh.
Situasi yang sama perlu diaplikasi oleh pengarang cerpen “Labang” untuk menjadikan kebijakan pengarang menyusun cerita agar cerpennya lebih menarik. Pengarang cerpen “Labang” sepatutnya bijak mengembangkan konflik dan pertembungan watak dalam membicarakan tentang kepupusan ikan seperti ikan labang yang mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Sepatutnya ada watak antagonis yang menyebabkan kepupusan tersebut hingga masalah itu perlu diatasi dan diselesaikan. Pengarang juga boleh mengetengahkan isu tentang permainan harga ikan labang yang dimanipulasi oleh orang tengah – biar konflik cerpen ini menjadi kian runcing. Namun watak-watak yang diketengahkan oleh pengarang dalam cerpen ini sealiran dengan watak ‘aku’ hingga tidak menimbulkan ketegangan dan konflik dalam cerpen berkenaan.
Umpamanya, cerpen ini dikembangkan dengan watak ‘aku’ yang mengambil rakan-rakan lamanya di lapangan terbang sebelum menghantar mereka yang menginap di Hotel Mega Inn – hotel yang dicatat oleh pengarang sebagai hotel yang sederhana untuk orang-orang yang banyak duit seperti profesor, jurutera, kontraktor dan peguam. Kehadiran rakan-rakan lama watak ‘aku’ telah dijadikan platform oleh pengarang untuk memperkatakan kelebihan ikan labang dengan masakan campur tempoyak versi Kalakos selain ulam-ulaman, sayur nangka muda, ayam masak bercili dan udang tohey masak kuah pekat.
Cerpen ini terus dikembangkan oleh pengarang tanpa konflik yang jelas apabila ‘aku’ membawa rakan-rakannya yang berasal dari Semenanjung Malaysia memancing ikan labang di hulu Sungai Krian tatkala mereka menyewa bot untuk tujuan berkenaan. Rakan-rakannya sanggup membatalkan program ke Tanjung Kembang penangan kesedapan ikan labang yang menggamit selera. Pengarang terus membuat catatan dalam cerpennya tentang kesukaran memperoleh ikan labang di sungai berkenaan. Akhirnya, misi memancing ikan labang tidak berjaya. Hampir ke pukul lima petang, pengarang menggambarkan bahawa ‘aku’ dan rakan-rakannya hanya memperoleh enam ekor ikan baung dan beberapa ekor udang kecil. Usaha menangkap ikan labang tidak semudah yang diduga. Ikan labang sangat memilih. Pengarang mempunyai pengetahuan yang begitu mendalam tentang ikan labang yang hanya keluar pada masa tertentu sahaja.
Keobsesan pengarang terhadap ikan labang dikembangkan lagi dalam cerpen berkenaan tatkala watak Nizam telah bercadang untuk berjumpa dengan pegawai dari Jabatan Pertanian untuk buat kajian tentang ikan labang di Sungai Krian. Nizam berminat untuk menjadikan ikan labang ini sebagai satu perusahaan untuk menternak ikan tersebut di dalam sangkar. Pegawai dari Jabatan Pertanian itu memberikan respons positif dan sokongan padu atas usaha tersebut. Nizam telah menjelaskan bahawa dia akan datang lagi selepas ini ke Sarawak untuk meneruskan perbincangan serius dengan pihak-pihak yang berkenaan. Dia sangat yakin bahawa usaha memajukan industri ikan labang akan berhasil seperti kejayaannya menternak ikan patin di dalam sangkar di Temerloh, Pahang. Persamaan ikan labang dengan ikan patin yang merupakan ikan air tawar menambahkan lagi keyakinan watak Nizam dalam cerpen ini.
Kehadiran watak Nizam yang dibangunkan oleh pengarang dalam cerpen ini tidak membantu pembinaan konflik. Tidak ada elemen ketegangan yang cuba dianjak dan dilonjak oleh pengarang sehingga plot dalam cerpen ini terus bergerak secara monotonous – mendatar dan membosankan pembaca. Tentu cerpen ini akan berkembang dengan lebih baik jikalau pengarang mengembangkan watak lain yang tidak percaya dengan potensi ikan labang. Pertelagahan dan pertembungan idea boleh mengocak ketenangan cerpen ini agar mempunyai konflik. Tentunya nanti, ada watak yang akan diberikan kesedaran tentang potensi ikan labang hingga dia bersetuju untuk menjadi rakan kongsi dalam penternakan ikan berkenaan. Konflik sebegini pastinya akan lebih memberikan tarikan kepada cerpen “Labang”.
Cerpen ini diteruskan lagi dengan catatan tentang perjalanan watak ‘aku’ yang membawa rakan-rakannya ke Bintulu. Mereka berkesempatan pergi ke tamu dan pengarang turut menggambar keterujaan mereka tatkala melihat ikan labang ada di jual di sana. Pengarang yang persis menjadi duta pelancongan telah menonjolkan tentang keistimewaan makanan di Sarawak melalui umai mpirang dan umai bawal sehingga ada yang mengatakan bahawa makanan tersebut seperti makanan di restoran Jepun.
Pengetahuan yang mendalam pengarang tentang kesedapan dan perbezaan rasa antara ikan labang di Kalakos dengan ikan labang di tempat lain seperti di Bintulu turut dicatatkan dalam cerpen ini. Ikan labang di Bintulu dikatakan lebih liat. Dicatatkan juga dalam cerpen berkenaan bahawa ikan labang tidak dijual di restoran kecuali ada permintaan khas daripada para pelanggan. Semua ini disebabkan oleh harga ikan labang yang begitu mahal.
Perjalanan di Bintulu terus dicatat oleh pengarang dalam cerpen berkenaan termasuk keinginan Nizam untuk mendapatkan ikan labang hingga ‘aku’ membuat tempahan khas dengan Usu Man yang pastinya gembira dengan tempahan tersebut. Harga ikan labang yang tinggi pasti memberikan rezeki melimpah kepada Usu Man. Pengarang tidak mempunyai hala tuju yang jelas dalam merangka plot dalam cerpennya. Perbualan antara watak juga tidak memberikan impak kepada binaan plot. Umpamanya, perbualan tentang roti Gardenia yang tidak dipasarkan secara meluas di negeri Sarawak. Pada bahagian penghujung cerpen ini, sepatutnya pengarang membawa konflik cerpen ke titik klimaks sehingga membawa kepada penurunan dan peleraian cerpen. Walau bagaimanapun, perkara ini tidak dilakukan oleh pengarang dalam mengembangkan plot cerpen “Labang” ini.
Peleraian atau penutupan cerpen ini adalah tentang ‘aku’ yang menghantar sahabat-sahabatnya ke lapangan terbang untuk balik ke Semenanjung Malaysia yang menunjukkan catatan perjalanan yang menarik sepanjang berada di Bumi Kenyalang.
Maknanya, menerusi penulisan cerpen “Labang”, pengarang hanya membuat catatan tentang rentetan perjalanan watak ‘aku’ yang melayan karenah sahabat-sahabatnya daripada Semenanjung Malaysia yang menunjukkan keakraban persahabatan mereka. Perkara kedua yang hendak ditonjolkan oleh pengarang ialah tentang keistimewaan ikan labang dan juga makanan yang terdapat di Sarawak. Sebab itulah, cerpen “Labang” ini lebih mirip kepada penulisan travelog. Pengarang tidak menepati pendefinisian cerpen iaitu memilih konflik yang menarik yang digerakkan melalui watak dan perwatakan yang dibina.
Leitmotif pengarang menghasilkan cerpen ini begitu jelas – menonjolkan keistimewaan dan kelebihan lokal negeri Sarawak agar menjadi tarikan kepada sesiapa sahaja apabila cerpen ini dinikmati oleh pembaca. Tidak ada yang mampu menafikan bahawa cerpen ini akan menyebabkan pembaca akan tercari-cari tentang ikan labang. Namun sebagai sebuah karya kreatif, cerpen ini tidak berjaya membina konflik yang menarik dan sekali gus tidak berjaya mengangkat watak perwatakan dalam karya berkenaan.
Pengarang mungkin boleh belajar tentang pembinaan konflik dan perwatakan melalui karya Gabriel Garcia Marquez. Prosa Marquez indah dan karakter-karakternya juga mudah diingat. Setiap karakter yang menarik selalu mudah diingat oleh pembaca. Cerita-cerita Marquez sangat menarik, bahkan ketika dia tidak menulis tentang realisme magis. Daripada karya Garcia Marquez, pengarang akan dapat belajar bagaimana menulis deskripsi yang memikat dan bagaimana menyertakan perincian dalam deskripsinya. Garcia Marquez selalu mengupayakan kata yang tepat untuk menggambarkan aksi dan reaksi dalam hubungan antara watak. Watak-watak yang dibina oleh pengarang dalam cerpen “Labang” – watak ‘aku’, Usu Man, Nizam, Doktor Z, Mydin, Maskak, Adi dan Mier – tidak memberikan aksi yang mengembangkan plot cerpen berkenaan.
Secara keseluruhan, pengarang ternyata mempunyai gaya bahasa penulisan yang baik. Bahasa yang digunakan oleh pengarang teratur termasuk dengan pemilihan diksi yang jelas. Gaya penceritaan pengarang ibarat air yang cair mengalir terus masuk ke dalam jiwa pembaca. Namun, bahasa yang baik memerlukan keseimbangan dengan aspek lain. Perkara itulah yang perlu diambil perhatian oleh pengarang dalam penghasilan karyanya pada masa akan datang.
Terdapat beberapa teguran yang perlu diberikan perhatian oleh pengarang terutama sekali apabila menggunakan bahasa tempatan dalam dialog. Biarpun untuk menunjukkan sesuatu situasi itu secara realistik, pengarang tidak boleh menggunakan bahasa sukuan secara berwewenang terutama sekali tanpa dibekalkan dengan glosari hingga situasi ini akan menjejaskan pemahaman pembaca. Diperturunkan beberapa dialog yang secara lewah menggunakan bahasa sukuan oleh pengarang:
- “Nuan orang Semenanjung jang?”
- “Nemu nuan jako Iban?”
- “Tauk meh mimit-mimit,” jawabku ringkas.
Mungkin pembaca dari negeri Sarawak tidak akan memahami masalah memahami dialog tersebut namun sesebuah cerpen pastinya tidak bersifat setempat kerana pastinya akan dibaca tanpa batasan geografi. Penggunaan kata-kata sukuan yang berlebihan akan membantutkan pembacaan dan pemahaman.
Terdapat juga beberapa kesalahan yang dilakukan oleh pengarang tentang penggunaan perkataan ejaan dan struktur ayat. Biarpun kesilapan itu agak minimum tetapi untuk meningkatkan kualiti penulisan ke tahap yang sewajarnya, setiap pengarang perlu melakukan penyuntingan sebelum sesebuah karya itu dihantar kepada editor penerbitan. Pengarang perlu menjadikan karyanya bebas daripada sebarang kesilapan. Antara kesilapan yang dilakukan oleh pengarang ialah :
- taukey – sepatutnya dieja ‘tauke’
- …dari biasa – sepatutnya ‘daripada biasa’
- …semakin besar dan gah dan sekarang tempat itu cukup selesa – …semakin besar dan gah sehingga tempat itu cukup selesa
- “Labang, labang, tuan-tuan. Ada lima ekor sahaja lagi.” “Cepat, siapa cepat dia dapat.” – dialog ini jikalau dituturkan oleh dua orang yang berbeza, dialog kedua perlu ditulis pada baris baharu. Jikalau dituturkan oleh individu yang sama, cuma perlukan satu pembuka kata dan satu penutup kata sahaja.
Antara masalah yang sering dihadapi oleh penulis ialah untuk memilih tajuk yang sesuai. Ada dalam kalangan penulis yang suka menulis tajuk yang panjang untuk memberikan kelainan atau impak yang berbeza kepada cerpennya. Ada juga pengarang yang menggunakan tajuk yang ringkas atau hanya sepatah perkataan sahaja tetapi tetap memberikan kesan yang bermakna kepada pembaca. Berdasarkan tajuk yang dipilih oleh pengarang – Labang – ternyata tajuk ini sangat sesuai untuk menggambarkan keseluruhan cerpen berkenaan serta memberikan impak kepada pembaca kerana ramai pembaca yang tidak memahami dan mengetahui tentang labang yang merupakan sejenis ikan yang kian sukar diperoleh. Pujian perlu diberikan kepada pengarang yang telah membawa isu dan keistimewaan lokal kepada pembaca. Sememangnya ada banyak kearifan lokal yang boleh diketengahkan oleh penulis di Bumi Kenyalang. Biarpun hanya memperkatakan tentang isu kemasyarakatan tetapi tetap memberikan kelainan yang menggugah pembacaan jikalau pengarang bijak menggunakan teknik penulisan yang segar.
Dengan keupayaan dan kebolehan pengarang menjadi pencerita yang baik, pengarang cuma perlu mencari konflik yang terbaik untuk dimasukkan dalam karyanya pada masa akan datang. Rene Welleck dan Austin Warren menjelaskan bahawa konflik menjadikan sesuatu itu lebih dramatik terutama jika dimasukkan dalam karya seni. Konflik yang berlaku akan menimbulkan pertarungan idea, fizikal, adicita termasuk budaya. Sememangnya konflik yang disusun dengan baik akan mengangkat karya tersebut ke satu tahap yang lebih baik. Perkara inilah yang perlu diambil perhatian oleh penulis untuk melonjakkan kualiti karyanya untuk berada pada tahap yang sewajarnya.
Semoga ikan labang yang berharga akan menjadikan cerpen “Labang” ini juga berharga dengan penambahbaikan yang akan dilakukan oleh pengarang. Pasti pengarang lebih daripada mampu melakukannya.