HAINI DARANI
Industri pembinaan negara sekarang ini sedang bertatih ke arah konsep digital seiring dengan letusan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0), selain memenuhi agenda Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) untuk mengubah sektor ini menjadi produktif, mampan, kompetitif serta berkualiti.
Apabila menyebut tentang konsep digital, maka Kecerdasan Buatan (AI) menjadi kunci utama untuk diterapkan di dalam pelan kerana potensinya cukup besar untuk mengubah senario industri pembinaan negara.
Di seluruh dunia, pemain industri pembinaan berlumba-lumba untuk mendapatkan teknologi terbaik bagi membantu menangani cabaran-cabaran di tapak projek, seterusnya untuk mendapatkan hasil yang lebih baik.
“AI adalah teknologi yang memanfaatkan ‘mesin-mesin pintar’ untuk menyamai fungsi kerja manusia dan seterusnya mengambil alih kerja yang selama ini dilakukan oleh manusia,” kata Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Elektrikal dan Komputer, Curtin Malaysia, Ir. Dr. Wong Wei Kit.
Contoh terbaik AI kata beliau adalah Pemodelan Bangunan Bermaklumat (BIM) yang boleh dimanfaatkan untuk banyak aspek seperti keselamatan, kualiti, penjimatan kos dan sebagainya di dalam satu-satu projek pembinaan.
Mengulas lanjut tentang gunapakai AI di dalam industri pembinan negara, beliau berkata keperluan untuk mendigitalkan hampir semua aspek memang baik dalam jangka panjang bila mana maklumat boleh diperolehi hanya dengan ‘click’ pada papan kekunci.
Justeru tambah Dr. Wong, pihak kerajaan perlu giat mempromosikan gunapakai AI dalam kalangan pemain industri binaan serta menjadi perintis kepada adaptasi AI.
“Jika ingin menerapkan AI di dalam bidang pembinaan di negara ini, ia harus bermula dengan Jabatan Kerja Raya (JKR),” kata Dr. Wong.
Menurut beliau, selaku agensi kerajaan yang menerajui projek-projek awam di negara ini, JKR perlu menggunapakai AI terlebih dahulu, terutama di dalam projek-projek berimpak tinggi,” kata beliau.
Beliau memberi contoh projek MRT di Lembah Kelang oleh Syarikat Gamuda yang menggunapakai teknologi dron bagi melaporkan kemajuan terkini projek kepada orang awam.
“Disebabkan projek berkenaan memerlukan keyakinan awam serta mempunyai tempoh penyiapan yang ketat, gunapakai AI diperlukan bagi memudahkan banyak kerja. Banyak pihak memperolehi manfaat daripadanya,” tambah beliau.
Dengan menjadikan kajian kes ini sebagai rujukan, Dr. Wong melihat kemungkinan untuk bermula dengan projek seperti ini di Sarawak dengan memanfaatkan AI.
“Projek bernilai tinggi seperti Autonomous Rapid Transit (ART) Sarawak mungkin satu permulaan yang baik untuk menggunapakai AI, dari aspek perancangan hingga pelaksanaannya nanti.,” kata Dr. Wong.
Malah tambahnya, projek Lebuh Raya Pan Borneo yang masih dalam proses penyiapan sekarang ini, boleh dipendekkan tempoh pelaksanaannya jika menggunapakai AI di dalam pelbagai urusan projek.
TINGKAT KESEDARAN
Merintis gunapakai AI amat penting kerana sebahagian besar pemain industri pembinaan di negara ini masih belum mempunyai kesedaran tinggi tentang apa yang boleh mereka lakukan dengan ‘perkhidmatan digital bangunan’.
“Kebanyakannya masih selesa dengan sistem lakaran/maklumat masih lagi menggunakan sistem konvensional.
“Bagi pemaju berskala kecil pula, setiap urusan mereka adalah ‘straightforward’. Justeru kelebihan AI tidak ketara bagi mereka,” tambah beliau.
Dr. Wong tidak menafikan kos gunapakai AI amat tinggi, selain beberapa kekangan lain yang boleh membantutkan usaha penerapan AI dalam industri pembinaan jika tidak ditangani secepatnya.
Antara aspek yang mungkin menjengkelkan para pemain industri tentang AI adalah lesen perisian yang agak mahal, misalnya lesen perisian BIM. Malah isu ini boleh mengehadkan aplikasi AI jika tiada tindakan segera diambil.
Melatih penggendali AI seperti BIM juga satu faktor yang boleh menjadi kekangan. Sebagai contoh, copy writers dan kerani data sekarang semakin diperlukan bagi memproses jutaan imej bagi melatih aplikasi yang ada .
Persoalannya kata beliau, sepantas mana negara ini dapat mewujudkan kerja-kerja baharu walaupun yang nyata, AI memang mewujudkan bidang-bidang kerja baharu.
Cabaran utama AI ialah mendidik para pemain industri dan mewujudkan kerja bernilai tinggi selepas AI mengambil alih tugas manusia.
SUMBANGAN CURTIN MALAYSIA
Di dalam aspek ini kata beliau, Curtin Malaysia turut memainkan peranannya untuk mempromosikan AI di negara ini dengan menjadi hab melahirkan tenaga kerja yang seiring dengan tuntutan IR 4.0.
Di institusi ini, para pelajar dilatih tentang kompetensi di dalam bidang-bidang seperti Internet of Things (IoT), Big Data, Cloud, mesin dan sebagainya.
Malah kampus terbesar cawangan universiti Australia ini mempunyai Computational Intellligence Center (CIC) bagi kegunaan membuat dana analitik, dengan salah satu matlamatnya untuk melatih bakal tenaga kerja baharu di dalam bidang AI.