LUNDU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan menyifatkan pelbagai pembangunan dan pembaharuan telah dibawa oleh Ahli Parlimen Santubong sebelum ini, Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika beliau menjadi wakil rakyat.
Katanya, Tanjong Datu tidak akan melupakan jasa beliau ketika menjadi Ahli Parlimen memimpin kawasan itu sebelum ini.
Sementara itu, calon GPS di Parlimen Santubong, Dato Sri Nancy Shukri berkata, beliau telah melihat sendiri dan mendalami cara hidup penduduk di Tanjong Datu yang berbilang kaum.
“…Dan berharap tiada anasir luar datang untuk memecah belahkan perpaduan dengan memainkan isu perkauman di kawasan itu,” katanya ketika majlis pelancaran jentera pilihan raya Tanjong Datu dan sesi suai kenal calon di Lundu, semalam.
Terdahulu, GPS menggugurkan tiga penyandang kerusi daripada senarai calon yang bertanding pada PRU-15 ini, iaitu Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar di kerusi Santubong, Datuk Seri Rohani Abdul Karim di Batang Lupar dan Datuk Robert Lawson Chuat di Betong.
Kesemua mereka adalah daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan akan digantikan oleh Mohamad Shafizan Kepli di Batang Lupar, Dr. Richard Rapu di Betong, dan Dato Sri Nancy Shukri yang bertukar dari Batang Sadong ke Santubong.