KUCHING: Manifesto Gabungan Parti Sarawak (GPS) memberi perhatian kepada golongan B40, M40, golongan muda, pelajar, wanita, kanak-kanak, golongan OKU, golongan warga emas, penjawat awam, mereka di bandar dan di luar bandar.
Pengerusi GPS Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia memberi manfaat kepada semua peringkat dan golongan masyarakat di negeri ini.
“Kami menyifatkan manifesto ini sebagai aku janji dan komitmen kami kepada rakyat walaupun ada pihak menganggap manifesto sebagai bukan kitab suci.
“Jadi manifesto GPS bukan janji kosong atau omong kosong. Tidak seperti Pakatan Harapan (PH) yang sekadar tanam tebu di bibir mulut.
“Tekad yang diaku janji dalam manifesto GPS untuk PRU-15 akan kita laksanakan,”katanya.
Abang Johari yang juga Premier Sarawak berucap melancarkan manifesto GPS PRU15 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini sebentar tadi.
Abang Johari berkata, kekuatan GPS amat dipengaruhi oleh kestabilan politik, perpaduan kaum dan kemakmuran ekonomi.
“Hal ini menjadi mutiara berharga dan penentu kemajuan dan kemakmuran Sarawak.
“Pada malam ini saya sebagai Pengerusi GPS dan seluruh kepemimpinan serta ahli GPS bertekad dan berjanji pada PRU-15 ini untuk menawarkan manifesto yang menyeluruh, inklusif, berpaksikan kepentingan rakyat dan mengutamakan masa depan negara,” katanya.
Abang Johari berkata, dengan satu matlamat membawa Sarawak menjadi wilayah maju menjelang 2030, manifesto ini menawarkan lima tonggak utama.
“GPS menawarkan politik, sosial, ekonomi dan kewangan yang stabil dan mampan dengan mengambil perhatian berat terhadap keupayaan untuk memacu pembangunan Sarawak, selain kebajikan dan nasib generasi masa depan.
“Oleh itu, GPS menawarkan kerancakan pembangunan menyeluruh dari segi infrastruktur dan kemudahan untuk kawasan bandar dan luar bandar demi kesejahteraan hidup rakyat.
“…Dan GPS giat mentransformasikan ekonomi dan pelbagai sumber kewangan bagi meningkatkan pendapatan untuk terus memacu dan melonjakkan pembangunan Sarawak,” katanya.
Oleh AZREEN KERIA, SHAHRUL QAIZAT dan NICKELYSON LAKUN