SERIAN: Dato Sri Richard Riot Jaem,71, bakal memecah rekod sebagai Ahli Parlimen paling lama di negeri ini apabila usahanya mempertahankan kerusi Serian berjaya pada 19 November nanti.
Beliau yang sudah menjadi wakil rakyat sejak 32 tahun lalu, kali ini terbabit dalam pertandingan empat penjuru.
Ini selepas penyandang kerusi Parlimen Batang Lupar, Dato Sri Rohani Karim yang bermula sebagai Ahli Parlimen pada 1990 iaitu tahun sama seperti Riot, kali ini mengundur diri.
Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) itu yang bertanding atas tiket Gabungan Parti Sarawak (GPS) dicabar calon Parti Sarawak Bersatu (PSB), Elsiy Tingang, 61, Learry Jabol (DAP), 45 dan calon Bebas, Alim Impira, 61.
Riot tiba di pusat penamaan calon di Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Serian sekitar 8.25 pagi diiringi pencadangnya MacLaine Ben @ Martin Ben, penyokong John Ilus dan ribuan penyokongnya.
Elsiy adalah yang pertama tiba di pusat penamaan calon pada 7.30 pagi bersama pencadangnya Peter Tajak dan penyokong Vincent Tinggang.
Learry pula tiba pada 7.45 pagi dengan pencadangnya Mina Jugi dan penyokong Velentine Langgoi, manakala Alim tiba di tempat ketiga pada 8.10 pagi bersama pencadang Thomas Daling dan penyokong Kembi Rigong.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi kawasan Parlimen Serian, Lim Hock Meng mengumumkan nama empat calon itu.