MANILA: Sekurang-kurangnya lima maut dalam kemalangan akibat taufan di timur Filipina, yang memaksa lebih 91,000 orang meninggalkan kediaman masing-masing.
Antara mangsa termasuk seorang petani yang mati akibat pendarahan teruk selepas terkena serpihan cermin ketika berada di sebuah pusat pemindahan di bandar San Policarpo di wilayah Samar Timur, kawan paling teruk dibadai taufan.
Pihak polis berkata, seorang lagi mangsa terkena renjatan elektrik di wilayah Camarines Norte, manakala seorang wanita mati dihempap dinding runtuh di wilayah Quezon.
Selain itu, dua kematian dilaporkan di bandar lain di wilayah Samar Timur tetapi masih belum disahkan oleh pejabat pengurusan risiko bencana kebangsaan.
Ribut tropika Vongfong mengakibatkan angin kencang dan hujan lebat di wilayah timur sejak Khamis lalu, menyebabkan tanah runtuh, pokok tumbang dan bekalan elektrik terputus selain menerbangkan bumbung serta memusnahkan rumah.
Vongfong membadai Filipina sebagai taufan tetapi semakin lemah selepas melanda enam kawasan ketika merentasi pulau berpenduduk paling padat di negara itu.
Biro kaji cuaca memaklumkan, ribut yang mencetuskan tiupan angin kencang selaju 65 kilometer sejam (kmj) sehingga 80 kmj itu dijangka meninggalkan Filipina menjelang esok.
Vongfong adalah taufan pertama yang melanda Filipina tahun ini, yang secara purata dilanda 20 ribut tropika setiap tahun.Tragedi terburuk sebelum ini ialah ketika Filipina dilanda Taufan Haiyan pada November 2013, yang mengorbankan lebih 6,300 mangsa selain mengakibatkan lebih empat juta orang kehilangan tempat tinggal. – AFP