ADENG IDRUS
LAWAS: Rakyat perlu tenang dan mematuhi arahan PKPB dalam usaha memutuskan rangkaian wabak Covid-19 di daerah Lawas.
Pada masa yang sama, kerajaan Sarawak akan memastikan bekalan makanan asas akan tetap mencukupi khususnya menjelang sambutan Hari Raya Puasa dan Hari Gawai.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkata demikian ketika melakukan pemeriksaan stok bekalan makanan di daerah Lawas dan Bahagian Limbang.
Beliau juga meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Limbang Sarawak membuat pemantauan harian terhadap bekalan makanan.
Manakala sebanyak 2,285 pemeriksaan premis perniagaan termasuk peringkat pengilang, pemborong dan peruncit telah dilaksanakan.
Oleh itu beliau memberi jaminan stok bekalan barangan keperluan asas sepanjang bulan Ramadan dan menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Gawai adalah mencukupi.
Bagi daerah Lawas, KPDNHEP telah menjelaskan beberapa jenis barangan dan stok yang dipantau oleh kementerian adalah seperti telur ayam dengan purata stok semasa ketika ini adalah sebanyak 242,400 biji.
Stok untuk ayam daging mempunyai purata stok semasa ketika ini adalah sebanyak 10,350 kg.
Bagi bekalan minyak masak pula menyaksikan purata stok semasa ketika ini adalah sebanyak 95.7 metrik tan.
Keperluan lain seperti tepung gandum dengan purata stok semasa ketika ini adalah sebanyak 21.4 metrik tan, gula pula terdapat purata stok semasa ketika ini adalah sebanyak 31.4 metrik tan.
Bekalan beras adalah dengan purata stok semasa ketika ini adalah sebanyak 118.9 metrik tan dan Gas LPG mempunyai purata stok semasa ketika ini adalah sebanyak 3,091 tong.
Pemeriksaan dan pemantauan di premis perniagaan akan terus dipertingkatkan sepanjang tempoh pelaksanaan PKPB bagi menentukan bekalan barangan makanan asas mencukupi dan dijual pada harga berpatutan terutamanya menjelang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Gawai Dayak akan datang.
Bekalan barang makanan keperluan asas penduduk di pedalaman di pusat jualan Point Of Sale tidak akan terjejas kerana kuota pada bulan Mei akan ditambah dengan kuota bagi bulan Jun.
Untuk rekod statistik, bagi 1 Januari sehingga 13 Mei 2020, KPDNHEP Limbang Sarawak yang melaksanakan pemeriksaan ke atas 2,285 premis perniagaan meliputi bandar dan luar bandar, telah menghasilkan keseluruhan sebanyak 31 kes dengan nilai rampasan sebanyak RM 1,489,684.95 dan jumlah kompaun sebanyak RM 3,250.00.
Sepanjang tempoh PKP dan PKPB dari 18 Mac hingga 15 Mei 2020 KPDNHEP Limbang Sarawak merekodkan sebanyak 2 kes dengan nilai rampasan RM 567.90 dan nilai kompaun RM 2,000.00.
KPDNHEP Limbang Sarawak tidak akan berkompromi dengan mana-mana peniaga yang mengambil kesempatan dalam tempoh pelaksanaan PKPB ini dan akan menyiasat semua aduan pengguna yang dikemukakan kepada pihak kementerian.
Peniaga juga dinasihatkan tidak mengambil kesempatan dengan mengaut keuntungan yang tidak munasabah atau terlalu tinggi dan turut dinasihatkan untuk mengamalkan perniagaan yang beretika dengan tidak menaikkan harga barangan sesuka hati. Jika didapati ada peniaga yang mencatut atau ingkar, tindakan tegas akan diambil.
Sebarang aduan boleh disalurkan melalui talian hotline Kementerian di 1-800-886-800 atau Portal e-aduan kpdnhep di http://e-aduan.kpdnhep.gov.my atau di talian Whatsapp 019-2794317 atau hadir sendiri di mana-mana pejabat Kementerian yang berhampiran supaya tindakan sewajarnya boleh diambil.
Sepanjang tempoh PKP ini, bilik gerakan Enforcement Command Centre (ECC) KPDNHEP Limbang dan Lawas Sarawak dibuka dari jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang setiap hari dan boleh dihubungi untuk menyalurkan apa-apa aduan seperti talian di PPDNHEPLIMBANG – 085-217414 atau PPDNHEP LAWAS – 085-283650.
Turut sama dalam pemeriksaan tersebut ialah ADUN Batu Danau, Paulus Palu Gumbang, Residen Bahagian Limbang, Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pegawai Daerah Lawas, Ladin Atok dan pegawai daripada KPDNHEP Bahagian Limbang.