MOHD NEENATUL AIZAL
KUCHING: Semua calon, parti politik dan penyokong masing-masing diberi amaran supaya mengelak sebarang bentuk fitnah serta tindakan provokasi sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) di Sarawak.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, mereka perlu menggunakan hak demokrasi secara bijak dan bukannya cuba memprovokasi pihak lawan mereka.
“Walaupun tiada laporan mengenai kerusi atau kawasan hotspot (panas), kami akan tetap menjalankan tugas dengan bersungguh-sungguh terutama di kerusi yang menyaksikan pertambahan pengundi baharu seperti Lambir, Santubong, dan Tupong.
“Kami juga akan memberi perhatian tambahan kepada kawasan yang padat penduduk seperti di bandar dan pekan utama,” katanya pada sidang media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini, hari ini.
Esok adalah hari penamaan calon untuk PRU-15, dengan tempoh kempen 14 hari dibenarkan sehingga pengundian pada 19 November nanti.
Mohd Azman berkata, berdasarkan pilihan raya negeri Disember lalu, pihak polis tidak menemui sebarang insiden dan isu besar yang tidak diingini berlaku.
Pada masa sama, beliau turut menasihatkan pengguna media sosial supaya tidak berkongsi maklumat atau siaran yang tidak disahkan.
“Bagi mereka yang akan pulang ke kampung halaman untuk mengundi, sila memandu dengan selamat terutama pada musim tengkujuh ini kerana cuaca tidak menentu,” katanya.