KUALA LUMPUR: Dua hakim Mahkamah Persekutuan yang baru bersara diterima masuk sebagai peguam bela dan peguam cara di Mahkamah Tinggi Malaya.
Mereka ialah Tan Sri Azahar Mohamed, yang juga bekas Hakim Besar Malaya dan Datuk Seri Mohd Zawawi Mohd Salleh.
Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, yang mempengerusikan upacara ‘long call’ di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, berkata beliau membenarkan petisyen Azahar dan Mohd Zawawi selepas tiada bantahan daripada Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun, Badan Peguam Malaysia serta Badan Peguam Selangor.
Ketika mengucapkan tahniah kepada mereka, beliau menyifatkan kedua-dua bekas hakim sebagai ‘kereta vintaj’ kerana memiliki banyak pencapaian luar biasa dan lebih berpengalaman berbanding orang lain di bilik mahkamah itu.
“Selalunya saya akan memberikan kata-kata nasihat kepada mereka yang diterima masuk sebagai peguam bela dan peguam cara… namun agak sukar untuk saya berbuat demikian kali ini. Bagaimana saya nak nasihatkan mereka yang jauh lebih bijak dan berpengalaman daripada saya? Yang kita anggap sebagai mentor kita?
“Saya buat kesimpulan bahawa saya tidak perlu berbuat demikian. Kita perlu mengakui kebolehan mereka kerana mereka lebih berpengalaman berbanding saya dan kebanyakan kita di bilik mahkamah ini. Jika mereka adalah kereta maka mereka adalah kereta vintaj… anda tidak berlumba dengan kereta vintaj.
“Jika ada orang lain yang memandu kereta itu, kita akan memintanya memperlahankan kenderaan itu dan kita akan keluarkan kamera atau telefon pintar kita untuk mengambil gambar kereta itu. Pendek kata, ia adalah sesuatu yang kita perlu kagumi dan hormati,” katanya sambil menambah bahawa Azahar dan Mohd Zawawi adalah tokoh lebih hebat daripada hakikat sebenar dalam badan kehakiman.
Mohd Zawawi bersara pada bulan Jun manakala Azahar bersara minggu lepas.
Terdahulu, anak lelaki Azahar iaitu Azmi yang bertindak sebagai peguam pengusul, ketika membacakan petisyen bapanya berkata beliau memiliki kerjaya yang panjang dalam perkhidmatan perundangan dan kehakiman sejak 1980 sebelum dilantik sebagai Hakim Besar Malaya pada 8 Ogos 2019.
Sementara itu, Salim Bashir yang bertindak sebagai peguam pengusul Mohd Zawawi berkata beliau bukanlah orang asing dalam sistem perundangan dan kehakiman negara kerana sudah berkhidmat selama 43 tahun. – Bernama