AZREEN KERIA
KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan melancarkan manifesto untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Ahad, 6 November, sehari selepas penamaan calon Sabtu ini.
Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, GPS akan bertanding berasaskan satu perjuangan bertemakan ‘Utamakan Sarawak’ (Sarawak First).
Abang Johari berkata demikian pada sidang media selepas menyerahkan watikah kepada 31 calon GPS di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Jalan Bako, Petra Jaya di sini pagi ini.
Sebelum ini, Abang Johari membayangkan manifesto itu akan bertunjangkan ke arah wawasan 2030 dalam membangunkan pendidikan dan sosioekonomi rakyat ke tahap yang lebih tinggi.
Menurut Premier Sarawak, meskipun beberapa tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sudah dipenuhi, ia adalah permulaan kepada strategi bagi memastikan masa depan negeri ini terjamin untuk jangka panjang.
GPS yang dianggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak Bersatu (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) yang keluar dari Barisan Nasional (BN) pada 2018, selepas PRU-14.
GPS membentuk kerajaan negeri selepas menang besar pada Pilihan Raya Negeri ke-12, Disember 2021.