Percampuran Imej Menjejaskan Makna Puisi
Oleh Dilah Tuah
PUISI merupakan himpunan kata-kata lisan atau tulisan yang mengekspresikan idea atau emosi dalam gaya yang jelas dan imaginatif. Dari satu sudut, puisi juga diertikan sebagai tulisan yang mengandungi perkataan-perkataan terpilih, indah bunyinya dan disusun dengan teliti. Justeru, puisi bukan sekadar luahan perasaan dan idea pengarang semata-mata, namun harus memiliki intensiti khusus kepada diksi (pemilihan kata), irama dan imejan. Dalam sesebuah puisi yang baik, kesemua intensiti ini perlu bertautan, berkesinambungan dan tidak bertingkah antara satu sama lain.
Sesuai dengan kedudukan puisi sebagai alat pemikiran dan imaginasi, maka puisi-puisi yang dihasilkan perlu seimbang dalam mengutarakan pemikiran dan pada masa yang sama menjunjung keindahan kata-kata. Dalam menghasilkan puisi yang baik, pemilihan diksi dan imej yang tepat merupakan dua perkara yang paling diutamakan. Hal ini dikatakan sedemikian kerana diksi berperanan penting dalam membantu khalayak untuk memahami maksud, idea, gagasan, pemikiran dan falsafah yang ingin disampaikan oleh penyair. Manakala imejan pula memainkan peranan dalam mewujudkan gambaran mental, rasa sesuatu benda, situasi, aksi atau keadaan.
Mengapa imejan penting alam puisi? Dalam Kamus Kesusasteraan (2015:141), imejan merupakan penggunaan beberapa imej yang terhimpun dalam karya sastera. Misalnya penggunaan simile dan metafora dalam penulisan puisi. Penggunaan imejan bertujuan untuk membolehkan khalayak melihat dengan jelas, menyentuh, merasa dan mendengar suara batin penyair dalam mengangkat peristiwa, pengalaman, perasaan dan pemikiran lewat bait-bait puisi. Dalam erti kata lain, imejan merupakan spektrum pengalaman deria, emosi dan sensasi fizikal yang menghubungkan penyair dengan khalayak pembaca. Justeru, penyair muda disarankan untuk memperkemas diksi dan membina imejan yang berupaya menghidupkan karya.
Bertitik tolak daripada kupasan di atas, maka ulasan puisi kali ini akan menjadikan aspek imejan sebagai titik perbincangan. Selain itu, aspek-aspek lain dalam puisi turut disentuh, sesuai dengan peranan ruangan ini untuk membimbing penyair muda agar terus ampuh dalam menghasilkan karya. Terdapat tiga buah puisi yang tersiar dalam ruangan ini pada minggu lepas, iaitu “Sampai Bila Kita Merdeka” karya Bandang Anak Galayan; “Nasihat dari Tanah”karya Nadzirah Maripat; dan “Bicara dengan Alam” karya Siti Hajar Ramli.
Puisi pertama berjudul “Sampai Bila Kita Merdeka” merupakan hasil nukilan Bandang Galayan yang membawa tema kemerdekaan. Pada hakikatnya, tema kemerdekaan merupakan suatu yang klise sekiranya disampaikan dalam bentuk gaya pengucapan dan gagasan pemikiran yang sama. Kendatipun begitu, sekiranya tema ini membawa alur pemikiran baharu yang segar, maka gagasan kemerdekaan yang ingin disampaikan oleh penyair akan menjadi lebih berimpak kepada pembaca. Misalnya puisi A. Samad Said yang berjudul “Hidup Bersama” yang membentangkan sebuah pengalaman dan pemikiran segar tentang sebuah kemerdekaan dengan menggunakan imej yang bertautan dan pilihan diksi yang tepat.
Berbalik kepada puisi yang dibincangkan, pada dasarnya puisi yang dihasilkan oleh Bandang menampakkan usaha penyair dalam menyaring diksi terbaik dalam susunan yang terbaik. Kendatipun begitu, puisi ini polos dan prosaik kerana penyair menggunakan bahasa harian yang mudah diterka maknanya. Walhal bahasa puisi bukanlah dilafazkan secara terus terang.
Perhatikan pada rangkap pertama, tiada unsur simile dan metafora digunakan untuk memberi kesan estetika yang mendalam kepada pembaca. Penyair hanya mengaplikasikan unsur personifikasi seperti pada frasa /pagi berteleku/; /doa berbintil di muka bibir/; dan /awan bergumpal riang/. Selain daripada itu, diksi yang digunakan ialah kata-kata biasa seperti /aku syukuri hari ini masih mampu aku miliki/; /makanan masih lagi muat sepuluh suapan/;
/air diteguk tiada keruh ditapis seribu lapisan/; /badan pula masih segak disarung baju baharu/; /dibeli ibu di pasar yang kian maju/; /aku ke sekolah melangkah gagah/; /bertemu rakan-rakan dan guru yang ramah/; dan /berteman tiada sengketa yang menyakitkan/.
Dalam rangkap kedua, penyair didapati mengulang naratif yang sama tentang nikmat kemerdekaan, iaitu dari baris pertama sehingga ke baris kelapan. Walhal bahasa puisi amat ekonomi dan terbatas sehingga menuntut proses pemadatan kata namun membentangkan makna yang besar kepada pembaca. Perhatikan pembaziran kata yang sepatutnya tidak perlu diulang semula oleh penyair dalam rangkap kedua, iaitu /Ketika sinar cahaya langit menutup dada bumi/; /riang burung-burung bernyanyi/; /azan dilaung berkumandang merdu/; /anak-anak bertempiaran pulang ke pangkuan ibu; /tangan dibimbing ayah kembali bersua bersama/; /tiada dentuman peluru mengganggu/; /tidur lena tiada lelah berjaga/; dan /negaraku bahagia merdeka selamanya/.
Mengapa lapan baris puisi di atas tadi perlu digugurkan? Hal ini disebabkan perkataan kemerdekaan sendiri telah memberi jawapan kepada khalayak tentang kedamaian, ketenangan dan keselamatan yang terdapat di dalam sesebuah negara yang merdeka. Selain itu, kesemua baris tersebut hanya bersifat tambahan sedangkan persoalan besar yang ingin diketengahkan oleh penyair ialah tentang ‘tarikh luput’ kemerdekaan seperti pada rangkap di bawah.
tetapi ada suara kecil bertanya
sampai bila kita merdeka
merdeka ada tarikh luputnya?
aku cuma menggeleng kepala
jawabku merdeka itu ibarat mata kita
jika tidak dijaga maka kita akan kehilangannya.
Persoalan tersebut telah diberikan jawapan oleh penyair dalam rangkap ketiga baris keempat, iaitu /kerana merdeka kita/, /tidak akan pernah ada tarikh luputnya/. Secara keseluruhan dapat dirumuskan bahawa puisi ini memerlukan pemadatan kata serta pemilihan diksi yang tepat. Memasukkan kesemua perkara dalam ruangan puisi yang terbatas akan menjadikan puisi ini polos dan prosaik.
Puisi seterusnya berjudul “Nasihat dari Tanah” karya Nadzirah Maripat membawa tema keinsafan diri yang boleh memberi kesan dan pesan kepada khalayak pembaca. Hal ini dikatakan sedemikian kerana puisi ini berkait rapat dengan proses kejadian manusia yang berasal dari tanah dan apabila mati dikembalikan kepada tanah. Hal ini dapat diperhatikan pada rangkap ketiga baris pertama hingga ketiga, iaitu /Manusia dicipta indah/; /Hidup penuh mawaddah/; dan /Asal usulnya dari tanah/.
Dari segi bentuk, puisi ini ditulis dengan menggunakan bahasa yang mudah difahami. Tiada unsur metafora yang membawa makna lain ditemui dalam puisi ini. Pun begitu, terdapat unsur simile, iaitu perumpamaan yang digunakan untuk mengungkapkan perbandingan seperti ‘sifat melangit’ (sombong), ‘pupus maruah’ (hina) dan lain-lain ditemui dalam puisi ini. Dari sudut pemilihan diksi, frasa ‘berdiri kaku’ pada rangkap pertama baris pertama kurang sesuai kerana perkataan kaku sering dirujuk kepada sesuatu yang tidak bergerak, iaitu mayat. Namun ketika menikmati senja yang sepi dan gunung sunyi, sifat kekakuan yang diletakkan oleh penyair kepada subjek yang masih hidup didapati kurang sesuai. Memandangkan rangkap pertama berkisar tentang keinsafan, iaitu /sedar khilaf yang ditangisi/, maka frasa /berdiri kaku di senja yang sepi/ sesuai digantikan dengan frasa /langkah terhenti di senja yang sepi/.
Selain itu, rangkap kedua dalam puisi ini berkontradiksi dengan rangkap pertama, iaitu penyair yang menyedari ‘khilaf’ diri dan sedar ‘ke tanah jua akan kembali’ menjadi angkuh (mendabik dada), sombong (menolak taubat), riak (merasa suci noda) dan sebagainya pada rangkap kedua di bawah. Sedangkan pada rangkap pertama, penyair sudah pun menanam titik keinsafan dan kesedaran dalam dirinya dan juga pembaca.
Ketika jasad menanam bahagia
Saat itu, diri mendabik dada
Menolak taubat menjemput dosa
Hingga merasa suci dari noda
Tidak gentar bencana melanda
Andai tahu di mana berada
Kembalilah berpijak di bumi nyata.
Ironinya, setelah segala tingkah laku yang buruk dipaparkan pada rangkap kedua, penyair sekali lagi mengajak khalayak untuk ‘kembalilah berpijak di bumi nyata. Justeru, apakah yang hendak disampaikan oleh penyair kepada khalayak dalam rangkap ini? Adakah tentang keburukan sikap atau memberikan pengajaran. Hal inilah yang dikatakan sebagai percampuran imej dalam puisi yang menyebabkan sesebuah puisi kehilangan magis dan keindahan.
Secara keseluruhan dapat dirumuskan bahawa puisi “Nasihat dari Tanah” merupakan sebuah puisi yang baik. Pun begitu, rangkap kedua puisi ini perlu dimurnikan dengan mewujudkan pertautan dari rangkap pertama, kedua dan seterusnya. Penggunaan kata-kata seharian dalam puisi ini perlu dikurangkan dan digantikan dengan kata yang memiliki unsur metafora dan simile. Tujuannya adalah untuk menghasilkan sebuah puisi yang padat dan kuat sama ada dari aspek makna dan estetikanya.
Puisi terakhir berjudul “Bicara dengan Alam” karya Siti Hajar Ramli membawa tema alam, kebesaran ciptaan tuhan dan ketinggian ilmu dalam Islam. Pada rangkap yang pertama, penyair membawa khalayak menikmati keindahan alam ciptaan Allah SWT dengan melepaskan ‘jiwa yang berat’ dan ‘akal yang padat’ buat seketika. Dalam rangkap ini, bahasa yang digunakan oleh penyair mudah diterjah maknanya oleh pembaca kerana menggunakan bahasa seharian. Perhatikan pada bait-bait kata di bawah ini yang tidak memerlukan pentafsiran yang jitu untuk memahaminya.
Saat jiwaku terasa berat
Saat akal terasa padat
Ku pandu mata menjamu dunia
Lalu mendarat pandanganku
Pada indahnya bulan milik Yang Kuasa
Pada rangkap kedua dan ketiga, penyair menggunakan simbol alam seperti bulan, matahari, dan bintang bagi menunjukkan kebesaran Allah SWT dalam puisinya. Kendatipun begitu, simbol-simbol alam tersebut tidak dimetaforakan sehingga menjadikan puisi ini polos dan prosaik. Dalam penghasilan puisi, diksi yang polos bermaksud tidak bercorak dan berbunga. Walhal puisi yang baik membentangkan makna yang luas dalam ruang yang terbatas. Begitu juga dengan bentuk puisi yang bersifat prosaik, iaitu penghasilannya tiada unsur imaginasi, menjemukan kerana subjek yang diperkatakan klise (unsur alam bersifat semula jadi) dan bersifat prosa. Kedua-dua unsur yang melemahkan puisi ini dapat diperhatikan dalam dua rangkap di bawah.
Bicara hatiku pada bulan
Patuhnya dia dan matahari bergantian
Setianya dia menjadi tanda ketentuan
Pergerakannya dikaji kadangkala dinantikan
Tenang, indah walau jauh kedudukan
Allah, betapa indahnya ciptaan
Sesaat beralih jelinganku pada kawanan bintang
Ada yang kabur, ada yang terang
Lalu fikiranku terbang menerawang
Hebatnya mereka kala berlabuhnya siang
Memandu manusia kala arahnya hilang
Allah, hebatnya ciptaan-Mu yang Dikau tayang
Selepas membawa khalayak membesarkan kekuasaan Allah SWT melalui kejadian alam yang bersilih ganti, penyair menutup puisi ini dengan keadaan yang tergesa-gesa, iaitu dengan mengajak khalayak melakukan imaginasi dan muhasabah diri. Kendatipun begitu, di penghujungnya penyair membawa khalayak menemui Al-Khawarizmi, iaitu tokoh astronomi, matematik dan geografi Islam pada abad ke-9 Masihi. Benar tidak dinafikan bahawa pada rangkap ketiga terdapat frasa /memandu manusia kala arahnya hilang/, iaitu dengan menjadikan bintang sebagai penentu arah. Namun kemasukan diksi yang tidak bertautan dengan rangkap awal ini menjejaskan layar imaginasi pembaca dalam memahami puisi ini.
Berpandukan ulasan di atas, jelas puisi ini memerlukan pemurnian semula agar bentuk yang polos menjadi lebih kemas dan indah. Manakala di bahagian rangkap keempat pula, elakkan daripada mencampuradukkan idea yang tiada bertautan. Hal ini dikatakan sedemikian kerana kejadian alam yang digambarkan oleh penyair tidak memerlukan penjelasan ahli-ahli astronomi kecuali peranan ‘bintang’ dalam /Memandu manusia kala arahnya hilang/.
Kesimpulannya, ketiga-tiga puisi ini memperlihatkan gaya penulisan yang baik. Walaupun begitu, para penyair perlu meningkatkan kemahiran dalam aspek pemadatan kata-kata agar puisi yang dihasilkan lebih bermutu dan bermakna. Bagi memperkayakan tahap estetika puisi, penggunaan metafora, simile dan unsur-unsur gaya bahasa puisi yang lain perlu dipertingkatkan. Kaedah yang paling berkesan adalah dengan meneliti dan membaca puisi-puisi yang telah dihasilkan oleh penyair-penyair tanah air yang berwibawa. Usaha ini sekiranya dilakukan secara berterusan pasti akan menanjak aras dan mutu puisi yang dihasilkan. Teruskan berkarya!