NICKELYSON LAKUN
KOTA SAMARAHAN: Tentu ramai yang berminat untuk sambung pengajian dalam bidang perubatan bukan?
Impian bukan sekadar mimpi apabila Anis Nasuha Moshidi, 24, antara mahasiswi yang mendapat tajaan biasiswa Yayasan Sarawak untuk meneruskan pengajiannya di dalam bidang perubatan atau Ijazah Doktor Perubatan.
“Saya sangat berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak khususnya Yayasan Sarawak kerana dengan adanya biasiswa seperti ini, membakar semangat saya untuk terus memperjuangkan tempoh lima tahun pengajian saya di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS),” katanya.
“Saya cuba mohon, dapat atau tidak itu bergantung kepada rezeki, apabila saya membuat semakan saya layak mendapat biasiswa tersebut,” ujarnya lagi.
Tambahnya lagi, dengan adanya biasiswa Yayasan Sarawak ini, sedikit sebanyak mampu menampung pengajiannya untuk pembelian buku, peralatan perubatan, kos sara hidup dan banyak lagi.
Jelasnya, senaskah buku sahaja sudah mencecah harga ratusan ringgit (sekitar RM100 ke RM200), maka tanpa biasiswa tersebut, adalah sangat mustahil untuk memiliki buku dalam bidang berkenaan.
“Mampu itu mampu, tapi saya terpaksa mengumpul duit untuk membelinya.
“Tambahan pula saya datang dari keluarga sederhana jadi ia sangat membantu saya, bahkan dapat meringankan beban kedua ibu bapa saya,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita sempena Majlis Konvokesyen UNIMAS ke-26 di Arena Gemilang DeTAR PUTRA, semalam.
Selain itu, beliau yang juga berbangsa Melanau antara ambilan pelajar yang terjejas dengan pandemik Covid-19, yang terpaksa belajar dari rumah.
“Belajar dari rumah itu sesuatu perkara yang amat perih bagi saya dan tidak sesuai sama sekali sebab kebanyakkan kerja kami di makmal.
“Semua peralatan tugasan kami berada di makmal, jadi memang tidak sesuai untuk kami belajar dari rumah.
“Oleh itu saya berterima kasih kepada pihak pengurusan UNIMAS kerana memberi peluang kepada pelajar doktor perubatan untuk balik ke kampus beberapa semester yang lepas kerana memahami tugasan kami.
Di samping itu, ditanya pemberita mengenai perancangan masa depan, beliau berkata akan menyambung pengajiannya ke peringkat sarjana dan tetap memilih UNIMAS sebagai tempat pengajiannya.
“Sejujurnya saya ingin menjadi seorang doktor pakar suatu hari nanti dan pakar dalam sesuatu bidang tu saya belum pasti lagi, namun ia bergantung kepada rezeki,” katanya.
Katanya, majlis graduasi ini bukanlah noktah untuknya tetapi permulaan kepada dirinya untuk terus menceburi bidang perubatan justeru memberi sumbangan kepada keluarga dan semestinya kerajaan negeri Sarawak apabila telah berkhidmat sebagai doktor perubatan kelak.