KUALA LUMPUR: Usaha menyediakan pekerjaan untuk lebih daripada setengah juta rakyat Malaysia yang menganggur perlu dijadikan keutamaan dalam pelan pemulihan ekonomi yang bakal dilancarkan oleh kerajaan tidak lama lagi.
Namun, apa yang lebih penting adalah keperluan mewujudkan persekitaran serba kondusif yang membolehkan berjuta-juta individu dalam sektor tidak rasmi dan bekerja sendiri, kembali menyambung usaha masing-masing.
Hakikatnya, ia sesuatu yang membimbangkan apabila Jabatan Perangkaan mendedahkan bahawa lebih 600,000 orang menganggur setakat Mac lepas berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Angka itu mungkin jauh lebih tinggi sekarang jika mengambil kira kelompok daripada kalangan lepasan sekolah, siswazah dan mereka yang diberhentikan dalam sektor industri pelancongan dan pengembaraan yang memakan masa untuk pulih semula.
Bagi rakyat Malaysia, keutamaan sekarang adalah mempunyai pekerjaan dan mampu menjana pendapatan, menyara keluarga mereka, dapat membeli makanan serta keperluan, berupaya membayar bil dan melunaskan pinjaman yang tertunggak.
Justeru, laporan mengenai mereka dalam kelompok kelas pertengahan yang turut sama mendapatkan bantuan makanan akibat diberhentikan kerja adalah realiti yang menyedihkan, gara-gara impak penularan Covid-19 terhadap ekonomi.
Malah, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyedari keadaan sedemikian sukar, turut menegaskan bahawa usaha menghidupkan semula aktiviti ekonomi adalah perkara utama yang perlu ditumpukan selepas berakhirnya PKP ini.
Kenyataan itu menjadi satu mesej jelas yang dilontarkan oleh Perdana Menteri kepada kalangan penggubal dasar untuk menumpukan usaha pengwujudan pekerjaan dan merangsang aktiviti ekonomi dalam persekitaran yang sukar.
Tidak dinafikan, dalam normal atau kebiasaan baharu serta keadaan ekonomi yang mencabar, ia pasti menjadi tugas sukar untuk digalas Kementerian Kewangan (MoF) yang diberi tanggung jawab untuk merangka pelan pemulihan selain dibantu Unit Perancang Ekonomi (EPU).
Pelan yang merangkumi perspektif jangka pendek, pertengahan dan panjang, bukan hanya bersifat komprehensif tetapi perlu turut berciri dinamik.
Ini bermakna kerajaan perlu lebih fleksibel untuk menambah baik pelan itu mengikut keperluan atau perubahan keadaan yang membabitkan sektor-sektor tertentu khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), nadi sektor pembuatan.
Bersandarkan senario sedemikian, sudah pasti ini memberi tekanan hebat untuk MoF, EPU – keseluruhan jentera kerajaan secara amnya untuk menghasilkan pelan pemulihan yang amat dinantikan dan bermanfaat untuk rakyat.
Satu perkara yang menarik adalah hakikat bahawa Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sendiri berasal dari sektor swasta yang menjadikan beliau lebih peka terhadap persekitaran pasaran yang sebenar.
Ini bermakna beliau berada pada kedudukan sewajarnya untuk mengetengahkan pendekatan praktikal dan sasaran realistik untuk memulihkan keadaan ekonomi serta berani untuk menarik balik pelan yang tidak membuahkan hasil.
Lebih-lebih lagi menerusi kenyataan bahawa menerusi pelan pemulihan itu “tiada siapa pun akan dipinggirkan” dan “apa yang penting adalah kita dapat memastikan seramai mungkin dapat bekerja” yang menjadi satu jaminan untuk pelbagai peringkat rakyat, terutamanya golongan belia yang menganggur.
Namun, sejauh mana kebajikan setiap warga Malaysia dilindungi akan hanya diketahui apabila butiran pelan itu diumumkan kelak.
Dalam usaha merangka strategi terbabit, Menteri Kewangan perlu bersedia untuk berani mengambil tindakan terhadap majikan yang walaupun menjadi penerima berbilion ringgit di bawah pelan rangsangan (ekonomi), tetapi tergamak bersikap zalim dengan memberhentikan pekerja masing-masing.
Malah, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) pada bulan lepas turut memberi amaran bahawa berjuta-juta pekerja berdepan kemungkinan diberhentikan atau gaji mereka mereka dipotong dalam jumlah yang besar.
Ini berikutan terdapat majikan tidak bertanggungjawab yang walaupun menerima bantuan besar daripada kerajaan serta meraih keuntungan lumayan sebelum ini, tetap bertindak sesuka hati dari segi menentukan nasib pekerja mereka.
MTUC turut membangkitkan mengenai kepentingan melindungi kepentingan pekerja yang bergelut untuk mempertahankan pekerjaan mereka dan terus menyara keluarga dengan gaji yang terhad di bawah keadaan semasa yang sukar.
Jika diamati, ekonomi Malaysia sebagaimana dipaparkan menerusi Dasar Ekonomi Baharu adalah berteraskan kejuruteraan sosial.
Oleh itu, dalam keadaan masa kini, kalangan penggubal dasar perlu memastikan bahawa kejuruteraan sosial itu terus menjadi teras pelan pemulihan yang merangkumi semua rakyat tanpa mengira latar belakang mereka.
Hanya selepas itu serta tempoh-tempoh berikutnya, bergantung kepada sejauh mana keberkesanan pelan pemulihan itu, akan membolehkan kerajaan untuk menyatakan bahawa “sesiapa pun tidak dipinggirkan.”- Bernama