KUALA LUMPUR: Baharu beberapa bulan PerantiSiswa diberikan secara percuma kepada penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT), namun sudah ada yang menjualnya walaupun dinasihatkan tidak berbuat demikian.
Mengakui bantuan kerajaan di bawah Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia meringankan beban golongan B40, rata-rata penuntut IPT berpandangan tindakan menjual semula PerantiSiswa itu dengan harga lebih murah berbanding harga pasaran, adalah suatu tindakan yang tidak wajar dan tidak bertanggungjawab.
Mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Muhammad Najmuddin Sarani, 23, berkata beliau antara yang pertama memohon bantuan itu sejak mula dibuka dan sememangnya jelas tertera syarat yang melarang peranti itu daripada dijual.
“Namun, apabila ada pelajar yang jual, ini merupakan perbuatan yang tidak berkat. Sekiranya ia dijual dan dibeli, pembeli berkenaan memang akan tahu bahawa peranti ini adalah daripada kerajaan kerana perlu isi maklumat diri apabila buka suis peranti itu,” katanya yang sedang mengikuti pengajian Ijazah Muamalat di IPT berkenaan.
Muhammad Najmuddin berkata pemberian PerantiSiswa jenis Samsung Galaxy Tab A8 LTE yang dilengkapi beberapa aksesori itu membantu meringankan bebannya yang berasal daripada golongan B40, selain amat berguna dengan kursus yang sedang diikutinya.
Pelajar Universiti Utara Malaysia Nurlisa Mohd Jamil, 21, turut bersetuju bahawa tindakan menjual peranti itu untuk membeli peranti yang lebih canggih adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab.
“Bukan mudah untuk mohon PerantiSiswa ini kerana perlu melalui prosedur penapisan yang ketat di peringkat universiti dan kerajaan kerana ada rakan saya dari golongan M40 juga sangat memerlukan peranti namun tidak berkemampuan dan tidak dapat,” katanya.
Selain itu katanya, peranti yang diberikan kerajaan itu juga tidak kurang hebatnya berbanding jenama lain dan sesuai untuk kegunaan pelajar.
Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Anuar Ahmad berkata, walaupun terdapat beberapa alasan penjualan seperti memerlukan wang untuk keperluan di universiti atau peranti itu tidak sesuai dengan kursus yang diambil namun, tindakan berkenaan tetap tidak wajar.
“Matlamat tidak menghalalkan cara kerana pemberian peranti ini adalah usaha kerajaan dalam memastikan keperluan pelajar untuk belajar dengan baik dan tindakan itu tidak bertanggungjawab,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata, sekiranya peranti itu tidak sesuai digunakan dengan kursus yang diambil tidak perlulah memohon dan beri peluang kepada pelajar yang lebih memerlukan.
Permohonan untuk PerantiSiswa dibuka sejak April lepas dengan pengagihan Fasa pertama bermula September lepas manakala Fasa 2 mula diagihkan bulan ini.
Pada 25 Oktober, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata, tindakan tegas akan dikenakan terhadap individu yang menjual peranti itu.
Setakat ini katanya, terdapat 14 kes penjualan semula PerantiSiswa yang dikesan di seluruh negara, dan pemantauan terhadap perkara itu sedang dilakukan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). – Bernama