KUCHING: Penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa perantaraan di hospital swasta di Sarawak menjadi salah satu faktor mengapa ramai pesakit dari luar negara mendapatkan perkhidmatan perubatan di negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, hospital swasta menjadi ciri penting dalam pelancongan perubatan di negeri ini apabila penduduk dari negara jiran datang untuk mendapatkan perkhidmatan perubatan yang berkualiti dan berpatutan.
“Bahasa Inggeris kekal sebagai bahasa perantaraan di hospital swasta di Sarawak, justeru menjadi tarikan kuat kepada pelancong perubatan dari luar negara.
“Seperti sedia maklum, hospital swasta seperti Pusat Pakar Perubatan Normah berfungsi lebih daripada sekadar menyediakan rawatan perubatan kepada rakyat Sarawak kerana ia telah menarik minat orang ramai dari luar negeri ini untuk mendapatkan rawatan perubatan khususnya di Kuching,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam Rangkaian Bersama Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) di sebuah hotel di sini, malam tadi.
APHM mempunyai 152 ahli mewakili 210 hospital swasta yang dilesenkan oleh Kementerian Kesihatan termasuk 11 di Sarawak sebagai ahlinya.
Sarawak mempunyai hospital swasta pertamanya apabila Pusat Pakar Perubatan Normah ditubuhkan pada Ogos 1988. Ini diikuti dengan penubuhan lebih banyak hospital serupa di Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri.
Abang Johari berkata, Malaysia disenaraikan sebagai salah satu destinasi Pelancongan Perubatan terkemuka dunia, yang dipromosikan secara aktif oleh kerajaan melalui Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) dan di Sarawak, oleh Lembaga Pelancongan Sarawak.
“Dengan hubungan udara antarabangsa yang sangat baik ke Kuala Lumpur, Singapura, Shenzen, China dan Pontianak (Indonesia), Sarawak mempunyai potensi lebih besar untuk menjadi hab pelancongan perubatan,” katanya.
Katanya, hospital di negeri ini mempunyai kakitangan perubatan terlatih, berpengalaman, dilengkapi dengan peralatan perubatan yang canggih sekali gus mampu menyediakan penjagaan peringkat tertiari kepada pesakit dari luar negara.
“Beberapa hospital utama di Sarawak telah menjalani akreditasi oleh badan yang diiktiraf antarabangsa seperti MSQH (Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia) sekali gus menjamin kualiti penjagaan dan keselamatan pesakit,” katanya.