DHAKA: Pasukan penyelamat Bangladesh menemukan mayat empat pelaut kapal korek, menjadikan jumlah kematian keseluruhan akibat Taufan Sitrang kepada 28, ketika jutaan lagi penduduk terputus bekalan elektrik.
Penyelam daripada jabatan bomba menemukan mayat empat anak kapal itu selepas kapal korek berkenaan karam ketika ribut terbabit melanda Teluk Benggala.
“Kami menemukan satu mayat malam tadi dan tiga lagi pagi ini. Empat lagi anak kapal masih hilang,” kata jurucakap jabatan bomba, Abdullah Pasha.
Taufan atau angin ribut kerap melanda rantau itu, namun saintis berpandangan perubahan iklim menjadikan fenomena itu lebih kuat dan kerap.
Isnin lalu, Taufan Sitrang membadai selatan Bangladesh, namun pihak berkuasa sempat memindahkan kira-kira sejuta penduduk ke kawasan selamat sebelum ribut itu melanda.
Dengan kelajuan angin 80 kilometer sejam, taufan itu meninggalkan kesan kemusnahan di Bangladesh, yang didiami puluhan juta penduduk, dengan timbunan pokok diterbangkan ratusan kilometer dari pusat ribut sehingga ke Dhaka.
Kerajaan Bangladesh memaklumkan, hampir 10,000 kediaman yang berbumbungkan zink mengalami kerosakan atau musnah, manakala tanaman di kawasan pertanian rosak, ketika negara itu mencatatkan inflasi makanan tertinggi.
Sementara itu, jurucakap Lembaga Elektrifikasi Luar Bandar, Debashish Chakrabarty, memaklumkan hampir lima juta penduduk masih terputus bekalan elektrik setakat hari ini.
Ketika ini, kira-kira sejuta penduduk yang dipindah ke tempat selamat dari kawasan rendah, sudah pulang ke kediaman masing-masing.
Pada masa sama, hujan lebat melanda hampir keseluruhan kawasan di negara itu, menyebabkan banjir di beberapa bandar seperti Dhaka, Khulna dan Barisal, yang menerima hujan berjumlah 324, Isnin lalu.
Selain itu, 33,000 pelarian Rohingya dari Myanmar, yang dipindahkan ke pulau yang terdedah ribut, diarah kekal di dalam kediaman masing-masing, namun setakat ini pihak berkuasa belum menerima laporan kematian atau kerosakan.
Sementara itu di Bangkok, ASEAN menggesa pelbagai pihak terutama negara yang mempunyai kuasa besar mengambil tindakan konkrit bagi mencari penyelesaian secara aman membabitkan krisis Myanmar.
Menurut Pengerusi ASEAN ketika ini iaitu Kemboja, negara blok itu bimbang dengan keganasan yang semakin meningkat di Myanmar, termasuk insiden pengeboman di penjara Insein dan pergolakan di negeri Karen, baru-baru ini.
Selain itu, ASEAN turut melahirkan kebimbangan terhadap serangan udara di sebuah perhimpunan awam di negeri Kachin, sekali gus menyebabkan 80 orang terbunuh dan puluhan lagi cedera.
“Kita amat sedih dengan jumlah korban akibat keganasan yang semakin meningkat, dan penderitaan dialami jutaan penduduk Myanmar. Oleh itu, kita mendesak supaya keganasan di Myanmar dapat dihentikan segera.
“Jadinya, kita meminta semua pihak termasuk mereka yang mempunyai kuasa besar mengambil tindakan konkrit bagi membolehkan proses dialog inklusif dan konstruktif dilaksanakan untuk mencapai perdamaian nasional di Myanmar.
“Ia juga adalah demi keamanan, keselamatan dan kestabilan di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut kenyataan itu, pihaknya menyifatkan pertempuran terbaru yang semakin sengit di Myanmar bukan sahaja memburukkan lagi situasi kemanusiaan di negara itu tetapi ia juga bertentangan dengan semangat Konsensus Lima Perkara ASEAN (5PC).
Katanya, ia turut menjejaskan usaha Duta Khas Pengerusi ASEAN ke atas Myanmar untuk membawa kemajuan dalam pelaksanaan 5PC.
Ahad lalu, tentera Myanmar melancarkan serangan udara sehingga meragut lebih 80 nyawa, termasuk penyanyi dan pemuzik, pada sambutan ulang tahun pertubuhan politik utama etnik minoriti Kachin, menurut ahli kumpulan itu serta anggota penyelamat.
Serangan itu berlaku beberapa hari sebelum menteri-menteri luar ASEAN dijadualkan menghadiri mesyuarat khas di Indonesia esok, untuk membincangkan isu keganasan yang semakin meluas di Myanmar.
Insiden itu berlaku ketika majlis sambutan diadakan oleh Pertubuhan Kemerdekaan Kachin (KIO) di wilayah A Nang Pa, Kachin itu malam Ahad lalu.
Jumlah korban akibat kejadian itu dikatakan adalah yang tertinggi dalam satu serangan udara, sejak tentera merampas kuasa daripada pentadbiran Aung San Suu Kyi pada Februari tahun lalu.
Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Myanmar simpati dan sedih terhadap laporan serangan udara yang berlaku di Hpakant itu.
Menurut PBB, pihaknya turut menggesa mereka yang cedera supaya mendapatkan rawatan perubatan.
“PBB akan mendapatkan butiran serangan ini dan menzahirkan ucapan takziah buat semua keluarga dan mangsa yang terbunuh dan cedera,” katanya. – Bernama