ADA yang teruja dan ada juga yang memberi sindiran sinis apabila Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) masing-masing menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) untuk Sarawak dan Sabah jika menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), 19 November nanti.
Kedua-dua negeri Borneo ini bagaikan anak gadis yang diintai. Maklumlah sejumlah 56 kerusi Parlimen (31 kerusi di Sarawak dan 25 kerusi di Sabah), boleh menjadi penentu bukan sahaja gabungan parti mana memerintah nanti, malah keabsahan Perdana Menteri ke-10.
Tawaran jawatan TPM itu meskipun bakal dimasukkan dalam manifesto BN dan PH masing-masing, belum meyakinkan. Seperti kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, ‘apa yang kami harapkan jawatan (TPM) ini mempunyai kuasa, bukan hanya sekadar istiadat. Sekiranya tiada kuasa, tidaklah penting.’
Mengapa BN pimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, PH pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yasin, langsung tidak menyentuh isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) untuk dimasukkan sekali dalam manifesto masing-masing?
Untuk kepentingan jangka panjang, Sarawak dan Sabah boleh memberi syarat utama iaitu penuhi semua tuntutan dalam MA63 sebelum memberi sokongan iaitu kembalikan hak seperti dijanjikan ketika penubuhan Malaysia antara Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak 59 tahun lalu.
Tahukah anda, ada bab ‘tersirat’ dalam MA63 dan laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), yang berpotensi mengangkat wakil Sarawak dan Sabah sebagai Perdana Menteri Malaysia? Tahukah anda, hasil dua negeri ini boleh melonjak berkali ganda jika bab agihan geran tahunan yang saksama seperti dijanjikan dalam MA63, ditunaikan?
Mari kita perhati dan ulas satu persatu kandungan penting dalam MA63 sama ada yang sudah dan belum diselesaikan atau masih dalam proses rundingan. Empat tuntutan belum selesai dan masih dalam perbincangan, satu sudah ada kemajuan manakala empat lagi sudah berjaya diselesaikan.
BELUM SELESAI
1. Isu pentadbiran badan kehakiman di Sabah dan Sarawak.
Sebelum ini, ada Mahkamah Borneo dan Mahkamah Malaya di mana peguam dari luar Sarawak termasuk dari Semenanjung tidak dibenarkan menjalankan amalan guaman di negeri ini. Sarawak mahu mengekalkan peraturan itu dan juga dari aspek mengiktiraf Mahkamah Borneo.
Sarawak juga mahu pelantikan Pesuruhjaya Kehakiman dirujuk kepada Yang Dipertua Negeri (TYT) terlebih dahulu kerana itu adalah hak TYT Sarawak. Ia bagi menyimpan kuasa tertentu untuk menimbang calon yang dilantik menjadi Pesuruhjaya Kehakiman.
2. Cadangan pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak (JPSS) dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB) sebagai Jabatan Teknikal di bawah Arahan Perbendaharaan 182.
Sarawak mahu projek persekutuan yang dilaksanakan di negeri ini diselia oleh jabatan teknikal yang disebut di atas.
3. Perbincangan mengenai formula semakan Pemberian Khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
Ini bagi membolehkan formula munasabah bagi peruntukan geran khas tahunan. Berikutan pindaan Perkara 1(2), 160(2) dan 161A (6) dan (7) Perlembagaan Persekutuan, yang berkuatkuasa mulai 11 Februari 2022, sekali gus menukar status Sarawak dan Sabah sebagai wilayah, bukan lagi setaraf seperti negeri lain.
Dengan itu, hasil pendapatan negara perlu diagih secara adil kepada tiga wilayah iaitu Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Contoh, jika pendapatan tahunan Malaysia RM600 bilion, maka setiap wilayah diagihkan sama rata RM200 bilion. Dengan hasil geran sebanyak ini, ketek saja boleh bina jambatan menyeberangi setiap sungai, bina jalan pesisir 2, bina rangkaian jalan raya simen menghubungkan setiap kampung dan rumah panjang.
4. Cadangan pertambahan bilangan satu pertiga atau 35 peratus daripada 222 Ahli Dewan Rakyat dari Sabah dan Sarawak di Parlimen.
Selepas pembentukan Malaysia pada 1963, Sabah mempunyai 16 kerusi, Sarawak 24 kerusi dan Singapura 15 iaitu kesemuanya mewakili 35 peratus dari keseluruhan 159 kerusi Parlimen, manakala baki 65 peratus atau 104 kerusi adalah untuk Tanah Melayu. Tanah Melayu atau kini Semenanjung Malaysia tidak mempunyai majoriti dua pertiga ketika itu.
Apabila Singapura meninggalkan Malaysia pada 1965, kerusi yang dimiliki Singapura seharusnya diberi kepada Sabah dan Sarawak bagi mengekalkan perwakilan 35 peratus itu, sekali gus mengekalkan kuota satu pertiga seperti dalam MA63.
Sarawak dan Sabah kini mempunyai jumlah 56 Ahli Parlimen (31 di Sarawak dan 25 di Sabah) iaitu merangkumi 25 peratus daripada jumlah 222 kerusi Parlimen di seluruh negara.
Jika satu pertiga atau 35 peratus daripada 222 kerusi Parlimen yang ada, bermakna 78 kerusi sepatutnya dari Sarawak dan Sabah. Ini bermakna, perlu ditambah 22 kerusi Parlimen lagi untuk memenuhi keperluan 35 peratus.
Jika Sabah dan Sarawak mempunyai 78 kerusi Parlimen (35 peratus)… bukankah dua negeri ini boleh menampilkan calon Perdana Menteri sendiri di Parlimen dengan tambahan sokongan beberapa parti lain di Semenanjung?
Pada masa itu, Perdana Menteri dari Sarawak atau Sabah pula boleh membuat tawaran jawatan TPM untuk wakil dari Semenanjung? Fikir-fikirkanlah.
Sebab itulah kita ingin bertanya kepada pemimpin Sabah dan Sarawak – mahu terima tawaran jawatan TPM 19 November nanti atau penuhi janji dalam MA63 ini untuk ‘kuasa’ jangka panjang?
RUNDINGAN LANJUT
5. Kabinet persekutuan pada mesyuarat 30 September 2022 meluluskan cadangan untuk meminda Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) 1995 bagi membolehkan wakil Kerajaan Sarawak dan Sabah menduduki keanggotaan lembaga pengarahnya. Kerajaan Sarawak pula sudah mengemukakan cadangan calon ahli untuk mewakilinya. Setakat ini belum diumum secara rasmi.
Perkara ini berbalik kepada fakta ketiga di atas berkaitan geran khas tahunan. Bila Sarawak dan Sabah ada wakil dalam LHDN, maka kedua-dua wilayah ini akan tahu berapa hasil pendapatan sebenar negara bagi memudahkan agihan hasil itu kepada tiga wilayah.
4 RUNDINGAN MA63 SELESAI
1. Persetujuan rundingan di antara Kerajaan Sarawak dan Petronas melalui Perjanjian Penyelesaian Secara Komersial (CSA)
2. Pengiktirafan hak Sarawak untuk mengenakan cukai jualan ke atas produk petroleum;
3. Pengiktirafan hak Sarawak untuk mengawal selia pengagihan gas di Sarawak; dan
4. Pindaan kepada Perkara 1(2), 160(2) dan 161A (6) dan (7) kepada Perlembagaan Persekutuan, yang telah berkuatkuasa mulai 11 Februari 2022. Ini sekali gus menukar status Sarawak dan Sabah sebagai wilayah.
Berikutan penyelesaian No.1, 2 & 3 diatas, Sarawak sudah meraih pendapatan hasil kutipan Cukai Jualan Negeri (SST) ke atas produk petroleum dan gas iaitu sebanyak
RM8.52 bilion sejak diperkenalkan 1 Januari 2019 hingga akhir Ogos lalu.
Bayangkan jika ini dilaksanakan 10,20 tahun lalu, barangkali sudah lama kita tidak perlu menggunakan feri dengan projek jambatan lengkap. Barangkali kini sudah bermula projek Pan Borneo 2. Barangkali setiap kampung dipasang dua tiga menara telekomunikasi, dengan kelajuan internet 5G.
Penyelesaian No.4 pula meletakkan Sarawak sebagai salah satu daripada tiga wilayah dan dianggap tidak mempunyai status yang sama dengan negeri lain dalam Persekutuan Tanah Melayu.
Tuntut dan penuhi janji MA63, demi kesenangan anak cucu cicit kita nanti. Kepada Putrajaya hayatilah lagu ‘I Want Your Promise Fulfilled’ nyanyian Ihe Ayi Nemere Onwayi.
* Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak