KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta SME Bank menganjurkan penyertaan sembilan syarikat minyak dan gas Malaysia dalam Misi Pecutan Eksport (EAM) ke Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Menurut kenyataan MATRADE pada Rabu, EAM itu akan diadakan sempena Pameran dan Persidangan Petroleum Abu Dhabi Antarabangsa (ADIPEC) 2022 dari 30 Oktober hingga 4 November.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Pengeksport), Abu Bakar Yusof berkata, peranan pelengkap di bawah perkongsian strategik dalam kalangan peserta ekosistem perdagangan akan membuka peluang kepada lebih banyak Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk mewujudkan jejak global dan menjadi lebih berdaya tahan.
“Objektif utama misi ini adalah untuk menunjukkan keupayaan dan kepakaran Malaysia dalam menyediakan produk dan perkhidmatan minyak dan gas berkelas dunia serta membolehkan syarikat Malaysia meneroka pasaran tenaga global,” katanya dalam kenyataan yang sama.
Ia adalah inisiatif ketiga MATRADE bersama KUSKOP dan SME Bank pada 2022.
ADIPEC 2022 dengan dihoskan oleh Abu Dhabi National Oil Company adalah pendekatan dan perhimpunan kalangan peserta industri tenaga yang terbesar di dunia.
Acara ini mengetengahkan penyelesaian inovatif berkelas dunia merentas rantaian nilai tenaga dengan trend pasaran dan industri terkini.
ADIPEC 2022 menghimpunkan lebih 150,000 pembuat dasar, ketua pegawai eksekutif dan pakar industri di seluruh dunia.
Ia menekankan aspek pemudahan industri tenaga dalam menghadapi cabaran bagi memenuhi keperluan masa kini yang semakin meningkat dengan mengurangkan pelepasan, menerusi pelaburan dan kerjasama strategik dalam penyelesaian tenaga lestari.- Bernama