NUR AIN OTSMAN
KUCHING: Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Roland Sagah berkata setakat ini, pihaknya belum pasti siapa calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk bertanding di kerusi Parlimen Puncak Borneo.
Katanya, perkara itu diserahkan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang juga Pengerusi GPS.
Malah kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat itu, pihaknya juga tidak pasti sama ada penyandang kerusi Parlimen Puncak Borneo Datuk Willie Mongin ada dalam senarai calon berpotensi di situ.
“Adalah lebih baik menyerahkan perkara ini kepada Premier Sarawak untuk mengumumkan calon (kerusi) Puncak Borneo apabila tiba masanya nanti.
“Dalam senarai, saya tidak tahu. Saya tidak mempunyai senarai, mungkin dalam senarai orang lain,” katanya kepada media selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Kedua Sains dan Teknologi Inovatif untuk Penyelidikan dan Pendidikan (InnoSTRE) 2022 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Willie memenangi kerusi Parlimen Puncak Borneo sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) 2018 menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dari PBB, Genot @ Jeannoth Sinel.
Bagaimanapun, Willie meninggalkan PKR melalui ‘Langkah Sheraton’ pada awal 2020 sebelum bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Pada 6 Ogos lalu, Abang Johari mengumumkan PBB sudah meluluskan permohonan Willie untuk menyertai parti itu tetapi tanpa sebarang komitmen.
Sagah juga berkata, beliau tidak membuat sebarang cadangan mengenai calon di Puncak Borneo, walaupun calon berpotensi telah turun padang untuk memperkenalkan diri kepada pengundi di sana.
Beliau juga enggan mengulas apabila ditanya mengenai perbincangan bahawa Willie akan menjadi calon boleh menang untuk kerusi itu.
“Sesiapa sahaja boleh memenangi kerusi itu,” katanya.
Mengenai perkara lain, Sagah berkata, GPS bersedia untuk berdepan sesiapa sahaja yang bertanding menentang GPS.
Mengenai pengumuman Parti Tindakan Demokratik (DAP) bahawa Mordi Bimol telah dinamakan semula untuk mempertahankan Mas Gading dan Learry Jabul untuk bertanding di Serian, Sagah berkata, ini adalah negara demokrasi dan sesiapa sahaja boleh bertanding di mana-mana semasa pilihan raya.
“Kami dalam GPS akan melawan mereka (DAP). Kami akan tunjukkan bahawa GPS adalah parti yang lebih baik dengan memberikan komitmen penuh untuk membantu rakyat dan bukan hanya retorik semasa pilihan raya,” katanya.