SEMALAM merupakan salah satu hari besar bagi masyarakat India beragama Hindu seluruh dunia iaitu perayaan Deepavali. Perayaan Deepavali adalah perayaan cahaya yang diterjemahkan kepada kebaikan mengatasi keburukan.
Hanya di Sarawak sahaja tidak menjadikan perayaan ini sebagai hari kelepasan am seperti negeri-negeri lain di Malaysia. Walaupun tiada kelepasan am di Sarawak tetapi masyarakat India merupakan antara penduduk yang terdapat di Sarawak. Mereka sudah berada di Sarawak sejak zaman pemerintahan Brooke.
Kedatangan
Usaha awal membawa buruh-buruh India ini bermula atas pemintaan syarikat-syarikat Barat yang terlibat dalam penanaman kopi dan teh. Usul ini dibawa dalam satu mesyuarat Majlis Tertinggi pada 2 Jun 1894. Raja Charles Brooke ketika itu menyerahkan keputusan ini kepada ahli Majlis Tertinggi untuk menerima atau menolak cadangan ini.
Beliau mengingatkan bahawa jika cadangan itu diterima, maka kebajikan buruh-buruh ini harus dijaga termasuk menepati kontrak yang dibuat dengan buruh ini, diberi kediaman yang baik dan diberi perkhidmatan perubatan.
Beliau juga menambah bahawa buruh-buruh ini dibenarkan pulang semula ke negara asal mereka jika kontrak telah tamat.
Dalam usaha menjaga kebajikan buruh-buruh ini, maka Rajah Charles Brooke mencadangkan agar seorang ejen yang pandai berbahasa Tamil dilantik di Kuching. Cadangan untuk membawa buruh-buruh India akhirnya mendapat persetujuan ahli Majlis Tertinggi.
Pada 1899 dicatatkan usaha membawa buruh-buruh Tamil telah dibuat, dan mereka yang dibawa berdasarkan kontrak berjumlah 381 orang. Daripada bilangan ini, ada juga buruh-buruh ini melarikan diri dan dianggarkan seramai sembilan orang telah melarikan diri.
Justifikasi pengambilan buruh ini kerana murah dan mereka juga kuat bekerja. Kerajaan Brooke membawa mereka ke Sarawak sebagai buruh untuk melakukan kerja-kerja penyelengaraan sebagai pekerja untuk Jabatan Kerja Raya.
Pada 1926 misalnya mereka diberi tugas untuk melakukan pembersihan kawasan hospital di Kuching. Mereka juga ditugaskan untuk membantu penyelengaraan jalan-jalan di Sarawak yang telah rosak. Ada dalam kalangan mereka diambil sebagai buruh di ladang kopi, Estet Matang.
Terdapat juga kes penganiayaan ke atas buruh-buruh Tamil ini berlaku di Estet Matang pada 1900. Raja Charles Brooke memandang berat masalah ini dan menegur syarikat-syarikat yang mengupah buruh ini. Buruh-buruh ini dikatakan tidak dibayar upah yang sepatutnya. Mereka juga dikenakan bayaran bunga tinggi apabila melakukan pinjaman daripada penyelia mereka. Raja Charles Brooke mengarah agar buruh-buruh ini dibayar seperti dalam kontrak mereka dan bayaran bunga harus dihapuskan.
Berbeza dengan di Tanah Melayu, kepesatan penanaman getah membawa kehadiran beramai-ramai masyarakat ini. Keadaan ini tidak berlaku di Sarawak. Sebaliknya apabila harga getah naik pada pertengahan 1920an, orang Cina yang ramai datang untuk terlibat dalam penanaman getah di Sarawak khususnya di Bahagian Ketiga (kini dikenali sebagai Bahagian Sibu).
Bila bercakap memgenai orang India, mereka ini terbahagi kepada pelbagai ras berbeza. Kebanyakan mereka ini ialah masyarakat Tamil yang menganut agama Hindu. Walaupun ada masyarakat India yang bekerja di Sarawak pulang semula ke India, ada juga yang menetap terus di Sarawak. Mereka ini menjadi ejen penting dalam mempelbagaikan budaya masyarakat di Sarawak. Ini kerana mereka bukan sahaja terlibat dalam aktiviti perburuhan malah juga dalam kegiatan berjual-beli dengan menjual pes kari.
Keluarga Ahtimulam misalnya menjalankan peniagaan pes kari sejak 1935 di Kuching. Bila bercakap mengenai peniagaan, masyarakat India Muslim merupakan masyarakat yang aktif berniaga di Kuching hingga sekarang.
Peniaga India Islam
Orang India Muslim ini banyak tertumpu di Kuching, dan menjadi masyarakat peniaga makanan yang terkenal di Kuching. Mereka menguasai peniagaan rempah untuk pasaran tempatan selain menjadi peniaga makanan dan menjual buku serta tekstil.
Masyarakat India Islam ini juga terlibat dalam mendirikan masjid dan pusat pengajian Islam di Kuching. Sumbangan besar masyarakat ini membawa kepada munculnya sebuah jalan kecil dengan nama India Street di Kuching.
Ada yang mengatakan bahawa masyarakat India Muslim ini sudah berada di Kuching sebelum 1840. Mereka didakwa telah mendirikan penempatan berbentuk rumah peniagaan dan pondok-pondok kediaman di Kuching. Mereka ini diakui keberadaannya di Kuching dalam kenyataan Raja Charles Brooke pada 1870. Rata-rata masyarakat India Muslim ini datang dari Tamil Nadu. Terdapat beberapa nama peniaga ini dinyatakan pada zaman Brooke seperti K. Medin dan Tamby Abdullah.
Sementara itu, satu lagi kelompok masyarakat India yang mempunyai peranan penting dalam kerajaan Brooke dan seterusnya British adalah orang Sikh. Masyarakat Sikh di Sarawak kebanyakannya diberi tugas sebagai anggota keselamatan dan ada juga sebagai pembantu perubatan. Data pada 1930 menunjukkan anggota pasukan polis dalam kalangan orang Sikh ialah 230 orang daripada 893 anggota polis di Sarawak. Data tahun itu juga menunjukkan terdapat kira-kira 61 orang yang terdiri daripada Sepoy, Pathans dan Gurkha.
Pengambilan orang Sikh sebagai anggota keselamatan Sarawak berdasarkan peranan ejen Sikh sendiri yang ditugaskan mencari anggota polis di India. Pada 1930 usaha ini dilakukan oleh Sub-Inspector Poman Singh yang ditugaskan untuk mencari ahli-ahli baharu dari India.
Penglibatan masyarakat Sikh di Sarawak ini menampakkan lebih jelas menjelang Perang Dunia Kedua. Satu rejimen Punjabi telah dihantar oleh pihak British untuk mempertahankan Sarawak ketika itu. Keberadaan masyarakat Sikh di Sarawak bukan setakat di Kuching tetapi menjalar sehingga ke Sibu dan Miri.
Semangat nasionalis
Daripada aspek semangat nasionalisme, masyarakat India di Sarawak juga dipengaruhi oleh gerakan nasionalisme di India. Pada awal abad ke-20 misalnya, ada usaha untuk menyebarkan semangat menentang British di India. Risalah mengenai Gerakan Ghadar pernah disebarkan di Sarawak. Namun ia tidak mendapat sambutan kuat masyarakat India kerana jumlah mereka yang kecil di Sarawak.
Pada era pendudukan Jepun pula, ada usaha menaikkan semula semangat orang India melawan British. Atas sokongan pihak Jepun, maka Liga Pembebasan India menubuhkan cawangannya di Sarawak. Faktor jumlah masyarakat India yang kecil gagal memberi impak kepada gerakan nasionalis ini untuk berkembang. Namun demikian, ketika pendudukan Jepun itu juga, pergerakan golongan ibu dalam kalangan orang India ini mendapat sokongan tentera Jepun.
Pemimpin India seperti S. C. S. Chakraverty dari Liga Pembebasan India diangkat sebagai pemimpin orang India dalam Ken Sanji. Puan Gopal dilantik untuk mengetuai gerakan golongan ibu masyarakat India. Selepas perang, keadaan mula berubah dan pergerakan orang India ini hanyalah kepada pergerakan persatuan kebajikan dan sosial.
Selepas merdeka
Satu satu pencapaian tertinggi masyarakat India dalam pentadbiran Sarawak ialah pelantikan Dato Dr Murugasu Sockalingam sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri pertama Sarawak selepas Sarawak mencapai kemerdekaan.
Beliau merupakan seorang doktor yang berasal dari Perak. Dalam aspek budaya pula masyarakat India juga menambah keunikan budaya masyarakat Sarawak. Ini kerana keunikan makanan mereka seperti briyani, puttum mayam, muruku, vade, channa, laddu, gulab jam dan capati menjadi sebahagian daripada cirarasa masyarakat tempatan. Mereka juga mendirikan beberapa kuil dan gurdwara serta masjid yang mempelbagaikan bentuk seni bina terdapat di Sarawak. Akhir sekali selamat menyambut perayaan Deepavali.
Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Progran Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia.