AZREEN KERIA
KUCHING: Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) akan membuka empat hab gas masing-masing di Miri, Bintulu, Samalaju dan Kuching.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, menerusi hab itu ia akan menyediakan pusat memberikan akses ke seluruh negeri untuk bekalan gas dan tenaga bersih yang mencukupi.
“Ini akan memacu aktiviti ekonomi di negeri ini untuk merealisasikan Wawasan 2030 sebagai sebahagian Pelan Hala Tuju Gas Sarawak,” katanya.
Beliau berucap pada majlis ulang tahun ke-5 PETROS di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, malam ini.
Abang Johari berkata, untuk Hab Miri, projek pertama ialah Loji Janakuasa 400 megawatt (MW) di Utara negeri ini.
“Bagi Hab Samalaju, PETROS akan memasang saluran paip gas bersama-sama Sarawak Energy Berhad (SEB) membina loji janakuasa. Ini penting untuk melengkapkan Samalaju sebagai zon industri berat.
“Projek-projek ini sahaja memerlukan pelaburan sekitar RM6 bilion. Sepanjang 10 tahun, merentasi 4 hab, jumlah pelaburan yang diunjurkan ialah RM65 bilion termasuk industri hiliran.
“Saya yakin Pelan Hala Tuju Gas Sarawak akan menjadi ‘game changer’ bagi kita rakyat Sarawak. Ia merupakan tonggak sokongan utama dalam aspirasi kami untuk negara berpendapatan tinggi dan maju,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa Sarawak juga dikurniakan struktur geologi yang sesuai untuk menyimpan karbon dioksida, CO2.
“Potensi Sarawak untuk Penggunaan dan Penyimpanan Tangkapan Karbon (CCUS) boleh berada pada skala dunia.
“CCUS ialah pemboleh utama untuk mencapai sifar bersih menjelang 2050 sambil kita beralih secara beransur-ansur daripada bahan api fosil berasaskan karbon.
“Tapak CCUS ini adalah sebahagian dari tanah negeri dan oleh itu adalah milik Sarawak. Saya ingin PETROS, berdasarkan kemahiran teknikalnya, menjadi pengurus sumber untuk CCUS dengan sokongan Kementerian berkaitan,” katanya.
Dalam pada itu, PETRONAS telah menandatangani perjanjian kerjasama dengan PETROS untuk Perjanjian Kerjasama Bersama Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS), yang merupakan langkah pertama untuk ekonomi hijau.