KUCHING: Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) sudah menyalurkan bantuan RM184,418,170 untuk 52,751 penerima bantuan bulanan di seluruh negeri ini dari Januari hingga September 2022.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, skim Bantuan Warga Emas (BWE) mencatatkan perbelanjaan tertinggi iaitu RM86,931,000 dan berjaya diagihkan kepada 19,809 penerima.
“Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Kuching juga telah menyalurkan perbelanjaan sebanyak RM12,726,000 kepada 2, 853 warga emas di bahagian ini dalam tempoh sama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Sejambak Kasih Deepavali 2022 di sebuah hotel di sini, malam tadi.
Fatimah berkata, pihak JKMS telah mengadakan Program Khidmat Bantu di Rumah di lima rumah pelanggan.
“Program ini telah dilaksanakan mulai Isnin lalu dengan kerjasama Petronas Sarawak, membabitkan 10 Sukarelawan Kuching dengan sesi ramah mesra bersama pelanggan serta memberi sumbangan Deepavali kepada mereka.
“Klien kelihatan lebih ceria dan menyatakan ucapan terima kasih kepada Jabatan atas kunjungan dan lawatan serta sumbangan kepada mereka sempena perayaan Deepavali kali ini.
“Tahniah kepada Sukarelawan Kuching atas sumbangan tak terhingga yang telah menjadi mata dan telinga kepada jabatan selama ini.
“Peranan mereka juga penting sekiranya berlaku bencana dan juga merujuk kes bantuan dan kes mendesak yang lain seperti keganasan rumah tangga dan gelandangan,” katanya.
Fatimah turut mengucapkan tahniah kepada pihak Petronas Sarawak sekali gus berharap kerjasama rakan strategik dalam penglibatan dan sumbangan daripada syarikat korporat seperti Petronas Sarawak dalam program seumpama ini akan memberi kesan kepada penyampaian perkhidmatan jabatan dan khususnya kepada penerima.
Mengulas mengenai majlis itu, penerima yang dijemput hadir pada majlis Sejambak Kasih menerima wang tunai bernilai RM100 di samping hamper berjumlah RM150 yang disumbangkan oleh pihak Petronas Sarawak. Mereka yang tidak berpeluang hadir, sumbangan RM100 akan dikreditkan ke akaun masing-masing.
Bahagian Kuching sahaja yang melaksanakan program khas Sejambak Kasih Deepavali ini bagi meraikan 50 penerima bantuan kaum India yang beragama Hindu.