AZREEN KERIA
KUCHING: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) sudah menyerahkan nama bakal calon untuk bertanding di tujuh kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Presidennya, Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata, Abang Johari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan memuktamadkan senarai itu nanti.
Katanya, hanya Premier Sarawak mempunyai kuasa mengeluarkan surat watikah kepada calon nanti untuk bertanding menggunakan tiket GPS.
“Kami yang lain tidak mempunyai kuasa seperti itu untuk mengeluarkan surat watikah. Semua kerusi yang akan ditandingi oleh SUPP dianggap sebagai kerusi panas,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Premier Sarawak berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas seminar Hari Kaunseling Sedunia 2022 di Ibu pejabat SUPP di sini, hari ini.
Pada PRU-14, SUPP bertanding di tujuh kerusi Parlimen tetapi cuma menang satu iaitu kerusi Parlimen Serian.
Penyandang kerusi Serian, Datuk Sri Richard Riot Jaem yang juga Timbalan Presiden SUPP dijangka dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi itu.
Bagaimanapun, setakat ini SUPP belum mengumumkan secara rasmi calon untuk kerusi Parlimen Bandar Kuching, Stampin, Miri, Sarikei, Sibu, dan Lanang.
Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagaimanapun berkata, Abang Johari akan mengumumkan nama calon tidak lama lagi.
“Pada masa ini terdapat terlalu ramai calon, dan kita tidak tahu mana yang akan dipilih, dan saya sentiasa bimbang dalam situasi seperti ini, musuh terbesar adalah dalaman (SUPP),” katanya.
Beliau menyifatkan tujuh kerusi Parlimen yang secara tradisi ditandingi SUPP sebagai ‘kerusi panas’.
“Setiap kerusi adalah kerusi panas. Jika anda pergi ke Miri, ia adalah kerusi panas, dan begitu juga yang lain,”katanya.
Beliau juga berkata, PRU-15 kali ini adalah ‘luar biasa’ kerana kali pertama dalam PRU, GPS menggunakan logo sendiri dan manifesto tersendiri.
“Kita tahu bahawa sekurang-kurangnya satu parti muncul sebagai dominan pada masa ini. Tiada siapa yang dominan di bawah GPS seperti yang dinyatakan oleh Premier Sarawak,” katanya.
GPS dianggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan SUPP).