NUR AIN OTSMAN
KUCHING: Liputan bekalan air bersih di seluruh negeri ini disasar mencapai 100 peratus menjelang 2030.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Julaihi Narawi berkata, hingga suku kedua tahun ini, ia sudah mencecah liputan 83.7 peratus di seluruh pelosok negeri.
Katanya, 67.2 peratus liputan bekalan air bersih itu adalah di kawasan luar bandar, manakala hampir semua di kawasan bandar diliputi iaitu 99 peratus.
“Selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19, sasaran adalah untuk 100 peratus liputan bekalan air bersih menjelang 2030.
“Sasaran juga untuk mengurangkan Air Tanpa Hasil (NRW) kepada 25 peratus, selain mengurangkan penggunaan air kepada 165 liter per kapita sehari dan mempunyai margin rizab air sebanyak 20 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup Pameran dan Persidangan Air Antarabangsa dan Air Sisa Borneo 2022 (BIWWEC 2022) di sebuah hotel di sini, hari ini.
Julaihi berkata, untuk mencapai matlamat itu, kerajaan Sarawak melaksanakan pelbagai program, termasuk penambahbaikan Grid Air Negeri.
Ini katanya, bagi menangani kawasan tekanan air rendah di samping meningkatkan liputan bekalan air dan program Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS) untuk kawasan luar bandar terpencil yang tidak boleh diakses.
“Kerajaan Sarawak sedang berusaha ke arah matlamatnya untuk mencapai liputan penuh air bersih untuk seluruh Sarawak.
“Bagi pengurusan air sisa, negeri ini melaksanakan beberapa sistem pengurusan air sisa berpusat bagi bandar dan pekan utama,” katanya.
Beliau berkata, sektor air di negeri ini juga akan mengalami perubahan apabila kerajaan Sarawak melaksanakan sistem grid air bersepadu merangkumi pendigitalan, dengan menubuhkan entiti tunggal bekalan air dan badan korporat sebagai pengawal selia air.
Kelmarin, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan usaha menggabungkan empat agensi bekalan air menjadi satu entiti sahaja dijangka menjadi kenyataan dalam tempoh dua tahun lagi.
Ketika ini, pengurusan bekalan air di Sarawak dilaksanakan empat agensi iaitu Lembaga Air Kuching (LAK), Lembaga Air Sibu (LAS), Lembaga Air Kawasan Utara (LAKU) dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB).
Menurut Julaihi, sebagai sebuah negeri yang luas dengan keadaan geografi mencabar dan kebolehcapaian terutamanya kawasan luar bandar, memerlukan kerangka terbaik untuk mendepani situasi itu.
Katanya, ia memerlukan BIWWEC untuk membincang dan mencari kaedah terbaik dari segi teknologi baharu, untuk menjayakan perancangan itu.
Persidangan itu memberi peluang untuk perbincangan terbuka dan menarik dengan pemain industri, penggubal dasar dan pengawal selia meliputi pelbagai aspek, di luar dan dalam Sarawak, bagi membangunkan penyelesaian ke arah mencapai daya tahan sistem bekalan air dan kemampanan dalam pengurusan sumber air.