KUCHING: Usaha menggabungkan empat agensi bekalan air menjadi satu entiti sahaja dijangka menjadi kenyataan dalam tempoh dua tahun lagi.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, agensi tunggal itu akan bertanggungjawab terhadap pengurusan bekalan air di negeri ini.
Ketika ini, pengurusan bekalan air di Sarawak dilaksanakan empat agensi iaitu Lembaga Air Kuching (LAK), Lembaga Air Sibu (LAS), Lembaga Air Kawasan Utara (LAKU) dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB).
Beliau berkata, Rang Undang-Undang mengenai penubuhan entiti baharu sebagai badan berkanun itu perlu dibentangkan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Ia akan menjadi sesuatu yang serupa seperti Sarawak Energy (Berhad) dan akan diletakkan dibawah Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pameran dan Persidangan Air dan Air Sisa Antarabangsa Borneo (BIWWEC) 2022 di sini, hari ini.
Abang Johari bagaimanapun berkata, perkara itu tidak sempat dibentangkan pada sidang DUN November ini kerana Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi dan pakar berkaitan masih mengkaji proses mengenai struktur dan bidang kuasa entiti tunggal berkenaan.
“Badan berkanun ini akan diamanahkan untuk melaksanakan Sistem Grid Bekalan Air Negeri dan pada masa sama mengawal selia badan air di empangan kita.
“Saya akan serahkan perkara ini kepada menteri dan beliau bersama pakar serta mereka yang terlibat akan membuat syor kepada kerajaan dalam tempoh dua tahun ini,” katanya.
Ditanya bila jangkaan badan berkanun mengenai air itu beroperasi, Abang Johari berkata selagi Gabungan Parti Sarawak(GPS) masih memerintah, ia akan dilaksanakan.
“Sejujurnya kita memerlukan pemimpin yang boleh memikirkan perkara sebegini. Jadi kita jangan terlalu banyak berpolitik dan fikirlah perkara sebegini kerani ini merupakan keperluan masyarakat.
“Insya-Allah selagi saya masih ada, saya akan usahakan agar semua ini akan terjadi,” katanya.
Beliau berkata, dengan ada Grid Air Negeri untuk menyalurkan bekalan air ke seluruh Sarawak, pelaburan yang besar akan diperlukan memandangkan keperluan untuk teknologi canggih dalam jangka masa panjang.
“Kami berharap Kerajaan Persekutuan dan Sarawak dapat bekerjasama. Setakat ini, kerajaan negeri sudah melabur lebih RM4 bilion dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini untuk membawa bekalan air kepada rakyat.
“Kami tidak bergantung (semata-mata) kepada Kerajaan Persekutuan kerana mereka lambat sedikit. Nasib baik, kami mempunyai beberapa cara untuk melakukannya berdasarkan pemodelan kewangan kami, termasuk untuk bekalan elektrik,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin, Julaihi, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Liwan Lagang dan Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dan Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Chang Kuet Shian.