MIRI: Jabatan Kerja Raya (JKR) diarahkan untuk menangani serta menyelesaikan kira-kira 60 ‘projek sakit’ di negeri ini dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pihaknya juga sentiasa terbuka untuk berbincang bersama JKR mengenai mekanisme terbaik bagi mempercepatkan proses menyelamatkan ‘projek sakit’ itu.
Uggah yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan berkata, sekitar 30 hingga 40 daripada 60 ‘projek sakit’ itu berada dalam keadaan kritikal.
“Kontraktor penyelamat boleh menguruskan sekurang-kurangnya 20 projek, manakala yang lain boleh diselamatkan melalui (terma) syarat perubahan harga (VOP).
“Salah satu isu di sebalik projek sakit adalah dalam pemilihan kontraktor. Kita mesti mendapatkan kontraktor yang betul atau berwibawa.
“Malah dicadangkan supaya diadakan seminar untuk membincangkan bagaimana kita boleh membangunkan mekanisme untuk JKR mendapatkan kontraktor tersebut melaksanakan projek,” katanya berucap pada persidangan pegawai kanan JKR di sini, semalam.
Seramai 151 pegawai menghadiri persidangan tiga hari itu yang bermula semalam hingga esok.
Uggah juga mencadangkan JKR meneroka dan mengkaji menggunakan teknologi moden dalam pembinaan jalan raya dan jambatan serta sistem pemantauan untuk kecekapan penghantaran yang lebih tinggi selain menggunakan teknologi dron.
“Saya berharap JKR akan melakukan analisis SWOT (kekuatan, kelemahan, peluang, dan ancaman) untuk meningkatkan prestasinya, terutama berkaitan projek sakit,” katanya.
Beliau berkata, Sarawak memerlukan lebih 4,000 kilometer (km) jalannya dinaik taraf, dan lebih 7,000km pula diperlukan untuk menghubungkan setiap penempatan dari Lundu ke Limbang.
Katanya, pembangunan infrastruktur masih menjadi isu yang perlu ditangani agar Sarawak menjadi negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.
“Pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 Sarawak 2030 memainkan peranan penting dalam pembangunan infrastruktur.
“Ini adalah salah satu tonggak strategi,” katanya.