SIBU: Tidak semua pengundi baharu untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) adalah mereka dalam lingkungan umur 18 hingga 20 tahun.
Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Dr. Annuar Rapaee berkata, segelintir pengundi yang didaftar secara automatik adalah pengundi yang sudah berusia lebih 21 tahun tetapi belum mendaftar sebagai pengundi sebelum ini.
“Untuk pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka sahaja kita mempunyai pertambahan jumlah pengundi lebih kurang 9,000 orang.
“Daripada jumlah itu, hanya lebih 50 peratus adalah pengundi berusia 18 sehingga 20 tahun,” katanya pada sidang media setelah mempengerusikan mesyuarat PBB Nangka di Dewan MUC, malam tadi.
Mengulas mengenai kriteria yang menjadi pilihan pengundi muda ini, Dr. Annuar berkata, golongan pengundi berusia 18 hingga 20 tahun lebih menitikberatkan siapa calon berbanding parti mana calon itu berasal.
“Golongan ini merupakan golongan yang belum mempunyai parti politik. Oleh itu, mereka cenderung memilih ‘siapa’ calon yang diutarakan.
“Calon tersebut haruslah calon yang boleh memberikan sesuatu yang mampu menarik minat mereka dan ‘sesuatu’ itu haruslah dikenal pasti oleh calon itu sendiri.
“Jangan gunakan janji seperti pendidikan percuma, tiada pulangan bayaran PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional), penurunan (harga) minyak dan sebagainya.
“Ini semua isu lama dan lapuk. Semuanya sudah terbukti tidak dapat dilaksanakan,” katanya yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Inovasi dan Pembangunan Bakat.
Ditanya mengenai kesediaan beliau jika dipilih sebagai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Parlimen Sibu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang, Dr Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka berkata, beliau ahli PBB yang setia dan akan menerima apa sahaja jawatan yang diberikan kepadanya.
“Saya akan lakukannya untuk memastikan GPS menang di Sibu. Tidak kira saya calon atau sebaliknya, saya akan ikut arahan parti.
“Jadi pemilihan calon untuk Sibu adalah penting. Saya percaya rakyat mahu tahu siapa calon untuk Sibu.
“Jangan cakap kerusi ini kerusi tradisional atau bukan tradisi. Pemilihan calon adalah penting dan lebih penting calon mesti diketahui segera. Jadi kita harap dapat kenal awal calon itu supaya kita boleh berusaha mempromosikannya kepada rakyat.
“SUPP telah menamakan tiga calon berpotensi untuk Sibu. Itu kita serahkan kepada SUPP tetapi kata putus masih Pengerusi GPS kita, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg,” katanya.