WACANA minggu lalu saya memaparkan mengenai pengembaraan Alfred Russel Wallace ke Sarawak. Beliau membuat banyak penemuan mengenai flora dan fauna di Sarawak.
Malah Sarawak menjadi rujukan kepada beberapa kajian beliau seterusnya. Pada masa sama, penyelidikan Wallace membawa beliau berjumpa dengan anak tempatan yang banyak membantunya dalam kajian di kepulauan Melayu. Beliau namakan pembantu beliau ini sebagai Ali.
Siapakah Ali?
Maklumat mengenai individu bernama Ali ini tidak mendapat perhatian meluas oleh Wallace. Penulisan Wallace mengenai Ali juga tidak menyentuh latar belakang Ali seperti siapa keluarganya dan mengapa Ali sanggup membantu Wallace.
Satu yang kebiasaan berlaku dalam penulisan orang Barat ialah tumpuan kepada peranan orang tempatan jarang diketengahkan kecuali beliau adalah tokoh kepemimpinan tertinggi dalam masyarakat seperti Sultan dan pembesar. Catatan juga akan dibuat.
Oleh itu, Ali dalam penulisan Wallace juga menjadi catatan yang bersifat sampingan. Hanya beberapa maklumat boleh dikutip mengenai Ali ini daripada penulisan Wallace. Sudah semestinya beliau berasal dari Sarawak kerana Wallace yang sampai ke Sarawak pada 18 April 1854 hanya bertemankan seorang pembantu dari England, iaitu Charles Allen.
Nama Ali hanya muncul semasa beliau di Sarawak atau lebih tepat lagi di Santubong. Nama penuh beliau juga tidak diketahui. Ali sering dikaitkan pula dengan Ali Wallace dalam penulisan-penulisan lain. Keberangkalian juga Ali ini merupakan orang Santubong. Ada juga yang mengatakan dia datang dari perkampungan di Sungai Sarawak, mungkin Kuching.
Bangsanya dinyatakan awal tadi adalah Melayu. Ini kerana Ali sering dikaitkan dengan nama ‘a Malay Boy’. Pertama kali beliau menyebutnya adalah selepas sambutan Krismas pada 1855. Wallace juga menyebut Ali ketika itu berusia 15 tahun.
Tukang masak
Mengapakah Ali dipilih sebagai pembantu kepada Wallace? Persoalan ini boleh dikaitkan dengan kemampuan Ali menjadi juru bahasa kepada Wallace, dan Wallace juga mengambil Ali untuk belajar bahasa Melayu. Selain itu, Ali juga menjadi tukang masak kepada Wallace. Hal ini satu perkara yang menarik kerana bagaimana seorang bukan berbangsa Eropah boleh menjadi tukang masak kepada orang Barat?
Wallace pernah menyatakan bahawa Ali ini merupakan seorang yang pembersih dan pandai memasak. Sebab ini menjadi sandaran utama Wallace untuk menerima Ali sebagai pembantunya, kemudian jadi tukang masak. Wallace juga banyak mengajar Ali menjadi seorang penyelidik mengenai alam semulajadi.
Wallace pernah mengajar Ali bagaimana menggunakan senapang untuk menembak burung dan bagaimana untuk mengasingkan bulu burung daripada badan burung yang telah ditembak. Wallace melihat Ali sebagai seorang yang mahu belajar dan cepat menerima tunjuk ajar yang diberi olehnya.
Hal ini berdasarkan pada pujian Wallace kepada Ali yang semakin hari semakin cekap dalam kerja-kerja penyelidikan termasuk dalam mengatur bulu burung dengan teratur dan kemas. Ali pula memberi sumbangan besar kepada kejayaan penyelidikan Wallace. Ini kerana Ali seperti orang Melayu yang lain mampu mengendali pengangkutan air dengan baik.
Wallace amat berharap dengan kemahiran Ali dalam mengendalikan perahu untuk penyelidikannya. Hal ini memberi kepercayaan besar oleh Wallace kepada Ali untuk menjadi pembantunya yang bukan setakat memasak, malah terbabit dalam penyelidikan beliau. Pada masa sama, Wallace kehilangan Charles Allen yang menyatakan beliau tidak lagi dapat mengikuti aktiviti penyelidikan Wallace kerana ingin membantu golongan mubaligh Kristian di Sarawak.
Hal ini menyebabkan Wallace amat memerlukan seorang pembantu yang boleh memberi bantuan kepadanya dalam penyelidikan. Kehilangan Allen ini juga menyebabkan Wallace memberi kepercayaan kepada Ali sebagai pembantu beliau ketika membuat penyelidikan. Ali mengikut Wallace mengembara ke beberapa pulau di kepulauan Melayu.
Pengembaraan
Peluang mengikut Wallace mengembara ini telah mendedahkan Ali dengan dunia luar. Beliau tidak mempunyai masalah untuk mengembara bersama Wallace di kepulauan Melayu kerana beliau hidup dalam rumpun Melayu yang mempunyai budaya sama.
Dalam hal ini juga Wallace mengupah beberapa orang lain membantu beliau iaitu Manuel Fernandez dan seorang pemuda Melayu dari Makassar iaitu Baderoon. Fernandez hanya sekejap bersama Wallace dan meninggalkan Wallace di Lombok. Baderoon pula digambarkan oleh Wallace sebagai seorang yang suka berjudi dan tidak rajin. Oleh itu, Wallace banyak memberi kepercayaan kepada Ali untuk melakukan pelbagai tugas.
Ketika di Aru, Ali diberi peluang bersama Baderoon untuk menjejak dan menembak burung. Ali menunjukkan kemahirannya menembak burung yang unik iaitu ‘Great Bird of Paradise’. Ali juga membanggakan Wallace dengan beberapa lagi penemuan jenis-jenis burung yang unik di kepulauan Melayu.
Antara burung yang Ali berjaya temukan dan ambil sebagai bahan awetan ialah Pitta gigas. Jenis burung ini diambil ketika Wallace bersama-sama Ali menjalankan penyelidikan di Gilolo (Halmahera). Di Pulau Bacan (Batchian) pula Ali diberi tugas oleh Wallace untuk mencari burung sambil Wallace sendiri menumpukan kepada pengumpulan spesimen serangga.
Di pulau inilah Ali berjaya menembak seekor lagi jenis burung yang unik, dan dikenali sebagai Wallace’s Standard Wing (semiopetra wallaci). Beberapa lagi tangkapan burung yang dibuat oleh Ali adalah seperti the Red-bellied Pitta, Dwaft-kingfisher dan Black-tipped Monarch di Pulau Buru. Sepanjang penglibatan Ali dalam penyelidikan Wallace, Ali telah menemui pelbagai haiwan yang tidak pernah dilihat oleh beliau sebelum ini seperti harimau di Singapura.
Beliau juga berdepan detik cemas apabila seekor ular sawa bersaiz besar berada di atap kediaman Wallace di Pulau Amboyna. Ali juga mengalami cabaran besar semasa bersama Wallace. Beliau pernah jatuh sakit beberapa kali tetapi beliau mampu menempuh cabaran ini untuk meneruskan usaha membantu Wallace. Wallace juga mengambil perhatian kepada kesihatan Ali agar tidak membawa mudarat yang berpanjangan.
Penghujung
Penyelidikan Wallace di kepulauan Melayu berakhir pada 1862. Semasa persediaan untuk pulang ke England Wallace telah menghadiahkan Ali dengan dua pucuk senapang beserta peluru.
Sepanjang Wallace bersama Ali, beliau cukup senang dan selesa dengan bantuan yang diberi oleh Ali sehingga beliau menyatakan bahawa Ali sebagai ‘the best native servant he ever had’. Beliau mengakui bahawa Ali mempunyai minat tinggi dalam penyelidikan yang beliau jalankan, dan bukan semata-mata bekerja kerana wang.
Selepas berakhirnya penyelidikan Wallace di kepulauan Melayu, kisah Ali mula hilang. Beliau dikatakan telah berkahwin dengan sorang gadis di Ternate. Terdapat usaha menjejak semula beliau namun sampai sekarang tidak membuahkan hasil.
Kisah Ali ini harus menjadi teladan kepada anak muda Sarawak hari ini. Ini kerana kecekalan dan keinginan untuk maju merupakan sifat yang ada dalam jiwa anak-anak Sarawak, dan ia harus dikembangkan untuk membina Sarawak kearah lebih maju.
Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia.