KUCHING: Sarawak perlu memperbaiki keadaan keselamatan makanan sebelum menetapkan matlamat jangka panjang untuk menjadi pengeksport makanan bersih, membekalkan produk makanan berkualiti tinggi dan mewah ke pasaran antarabangsa.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Sarawak mesti melihat perkara ini secara lebih mendalam dan terperinci terlebih dahulu sebelum mengeskport sesuatu produk.
“Melalui pandangan peribadi saya, kita mesti melihat perkara ini melalui perspektif yang seimbang.
“Perlu diingat bahawa, keselamatan makanan tidak hanya merangkumi negeri ini sahaja malah turut melibatkan seluruh dunia.
“Kita cukup bertuah kerana mempunyai jumlah penduduk yang kecil namun mempunyai jisim tanah yang besar. Kita tidak mempunyai banyak masalah yang melibatkan makanan di Sarawak.
“Cuma, mungkin ada rakyat yang bertani dan ada makanan tertentu yang tidak boleh tumbuh, sebab itu kita mahu import lebih banyak makanan lain. Tetapi, kalau lihat makanan asas seperti beras, saya percaya kita boleh hasilkan beras untuk negeri kita sendiri,” katanya pada sidang media selepas merasmikan persidangan ‘EAT Taste of Borneo 2022’ di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), semalam.
‘EAT Taste of Borneo 2022’ adalah persidangan masakan tempatan yang julung kali dianjurkan oleh Persatuan Chef Kuching (KCA) yang disokong oleh Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) dan Acara Perniagaan Sarawak (BESarawak) dengan kerjasama rakan kongsi lokasi, BCCK dan penganjur persidangan profesional, ARC Creators Sdn. Bhd.
Mengulas lanjut, Abdul Karim berkata penetapan Bandar Raya Kuching sebagai ahli Jaringan Bandar Kreatif UNESCO (UCCN) dalam kategori gastronomi, akan membolehkan negeri ini mengalu-alukan generasi baharu pelancong untuk menikmati makanan di Kuching.
“ Walaupun ini meningkatkan potensi pelancongan dan menarik lebih ramai pelawat, kami juga perlu melakukan kerja yang lebih baik dalam menguruskan produk makanan semula jadi yang ada di Sarawak,” katanya.
Secara ringkasnya, matlamat persidangan ini adalah untuk mengenal pasti, mengumpul dan memupuk individu yang akan menjadi pemacu ekonomi masa depan bagi industri pelancongan tempatan melalui usaha pelancongan gastronomi.
“ Saya percaya persidangan penting ini akan melonjakkan industri pelancongan Sarawak ke tahap yang lebih tinggi untuk beberapa tahun akan datang. Ini adalah satu langkah ke arah meluaskan, menghubungkan dan berinteraksi dengan bakal industri profesional, rakan kongsi perniagaan dan komuniti secara amnya,” katanya.
Abdul Karim juga berharap persidangan ini akan diadakan semula pada tahun depan dengan lebih ramai peserta dan penglibatan industri, untuk meneroka cabaran baharu dan berbeza dalam dunia makanan di Kuching.