SERIAN: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sarawak bersiap sedia bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).
Antara persiapan tersebut ialah dengan menempatkan beberapa anggotanya di beberapa titik panas yang dikenal pasti bagi kawasan banjir.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sarawak, Abdul Wahab Rahim berkata, pihaknya juga telah menempatkan anggota di kawasan terpencil dan mengemaskinikan kawasan banjir yang belum disenaraikan dalam kawasan titik panas.
“Kita letakkan pegawai dan anggota awal bersama beberapa aset yang perlu seperti bot.
“Ada kawasan yang tidak memerlukan bot tetapi kalau berlakunya keadaan di mana terputus hubungan, perkhidmatan itu sudah ada di dalam,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Ex-Monsun Timur Laut (MTL) APM Sarawak 2022 di Tasik Danu di sini, hari ini.
Sementara itu katanya, pihaknya akan menambah 3,000 hingga 5,000 anggota sebagai persediaan.
“Ketika ini seramai 1,000 hingga 1,500 anggota APM Sarawak telah diletakkan di kawasan titik panas dan kita berkemungkinan akan meningkatkan jumlah anggota berdasarkan keperluan,” tambahnya.
Menjelas lanjut, beliau memberitahu aset-aset APM dalam berdepan MTL ketika ini juga mencukupi serta tidak mempunyai sebarang kekangan dari segi kekangan peruntukan.
Malah tambahnya, APM turut berkoordinasi dengan agensi lain melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) bagi memastikan tiada sebarang kekangan dari segi aset dan sebagainya.