KUCHING: Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah kecewa dengan skuad bola sepak, Sarawak United FC (SUFC) yang gagal meraih lesen kebangsaan bagi menyertai saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan selepas tidak memenuhi kriteria ditetapkan First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
“Ini adalah satu perkembangan yang amat menyedihkan. SUFC tidak diberi permit untuk terlibat dalam Liga M musim depan ekoran daripada kegagalan mengurus kewangan dan persatuan dengan baik,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian EAT Taste of Borneo Conference 2022 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Bagaimanapun, beliau tetap gembira kerana ada satu lagi pasukan di Sarawak iaitu Kuching FA (KFA) yang kini mula menyinar.
“KFA dilihat boleh menguruskan pasukan mereka dengan baik.
“Untuk SUFC, saya amat terkilan dengan pihak pengurusannya. Saya sudah minta supaya mereka (pihak pengurusan) datang menemui saya dan berbincang mengenai masalah yang mereka hadapi tetapi sampai sekarang mereka tidak menemui saya,” ujarnya.
Jelasnya, Kerajaan Negeri telah menyediakan dana yang cukup besar untuk SUFC.
“Saya tahu SUFC ada masalah pengurusan. Kalau nak kata Kerajaan Negeri tidak bagi duit, berjuta-juta telah kami beri kepada SUFC. Persatuan lain hanya dapat RM50, 000 hingga RM100,000 setahun tapi SUFC lebih daripada itu.
“Wang yang kami berikan kepada KFA dan SUFC diibarat seperti langit dan bumi tetapi KFA bijak mengendalikan persatuan dan kewangan mereka,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Karim memberitahu, pihak pengurusan SUFC hanya berbincang dan berjumpa dengan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berhubung perkara ini.
“Saya menteri yang ditugaskan untuk menjaga sukan. Tetapi kenapa SUFC tidak berjumpa dengan saya? Mereka hanya mengadu masalah dengan Abang Johari. Padahal Abang Johari lebih banyak lagi kerja yang perlu diuruskan.
“Ada satu ketika, saya dimaklumkan bahawa SUFC dipegang oleh seseorang yang bukan dari Sarawak. Kenapa SUFC terus bersembunyi mengenai perkara ini? Kenapa tidak tunjuk kebenaran? Mana duit itu pergi? Tolong jadi profesional dalam menguruskan persatuan dan kewangan anda,” tegas Karim.
Selain SUFC, Melaka United turut gagal menempah tiket untuk Liga M yang dijadual berlangsung musim depan. Perkara itu disahkan Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif dengan Sarawak muncul pasukan bermasalah apabila gagal memenuhi hampir lapan keperluan untuk mendapatkan kelulusan.