KUALA LUMPUR: Perdebatan mengenai cukai barang dan perkhidmatan (GST) mungkin berlaku semula dalam beberapa tahun akan datang memandangkan unjuran hasil kerajaan Persekutuan menunjukkan penyusutan, kata Ketua Ahli Ekonomi Standard Chartered Bank ASEAN dan Asia Selatan, Edward Lee.
Unjuran jumlah hasil yang menunjukkan penurunan sebagai peratusan daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 15 peratus daripada KDNK pada 2023.
Jumlah hasil pada 2023 dijangka berkurangan sebanyak 4.4 peratus secara tahunan kepada RM272.6 bilion.
Hasil berkaitan petroleum dijangka mencecah purata 2.7 peratus daripada KDNK, menunjukkan purata 2.5 peratus daripada KDNK pada 2024 hingga 2025 mungkin boleh dicapai walaupun dengan mengandaikan sumbangan dividen Petronas yang lebih rendah sebanyak RM25 bilion.
“Hasil bukan minyak dianggarkan 12.0 peratus daripada KDNK sepanjang 2023 hingga 2025, menunjukkan purata 12.1 peratus daripada KDNK pada 2024 hinga 2025, yang jauh lebih rendah berbanding puncak hampir 15 peratus daripada KDNK pada 2015 hingga 2016.
“Justeru, perdebatan mengenai GST mungkin timbul semula dalam beberapa tahun akan datang,” jelasnya dalam nota penyelidikan baru-baru ini.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata kemungkinan untuk memulihkan cukai hanya akan dibincangkan pada 2023.
“Berdasarkan hasil kepada KDNK yang paling rendah sekurang-kurangnya sejak 2005 dan persoalan yang timbul mengenai sumber hasil baharu, perdebatan mengenai GST mungkin muncul semula pada 2023.
“Cukai jualan dan perkhidmatan (SST) mencatatkan purata 1.8 peratus daripada KDNK sepanjang lima tahun lepas, kurang daripada 3.3 peratus nilai kutipan GST daripada KDNK pada 2016 hingga 2017,” katanya.
Memandangkan ekonomi semakin pulih, kerajaan mengunjurkan defisit fiskal mengecil dalam beberapa tahun akan datang kepada 4.4 peratus daripada KDNK berdasarkan Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana (MTFF) 2023-2025 berbanding 5.0 peratus mengikut MTFF 2022-2024.
Ini menunjukkan purata defisit fiskal sebanyak 3.8 hingga 3.9 peratus daripada KDNK pada 2024 hingga 2025.
Kementerian Kewangan sedang memulakan usaha pengukuhan fiskal secara beransur-ansur kerana ia menjangkakan defisit belanjawan berkurangan kepada -5.5 peratus daripada KDNK pada 2023 berbanding -5.8 peratus tahun ini.
“Kami berpendapat defisit fiskal sebanyak -5.5 peratus daripada KDNK boleh dicapai dengan andaian bahawa ekonomi terus berkembang,” menurut penyelidikan oleh Hong Leong Investment Bank Bhd.
Bank itu menjelaskan kerajaan mengulangi komitmennya ke arah mengukuhkan kedudukan fiskal dalam jangka sederhana justeru, ia akan dipercepat apabila tekanan inflasi berakhir dan ekonomi pulih sepenuhnya.
Kerajaan juga mungkin melanjutkan had hutang statutori sebanyak 65 peratus daripada KDNK dalam jangka sederhana selepas tempoh akhir Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Covid-19) pada 31 Dis, 2022.
Menerusi penggubalan akta tersebut, kerajaan dibenarkan menaikkan siling hutang statutori daripada 55 peratus kepada 65 peratus sehingga akhir 2022.
Bagaimanapun, kerajaan mengunjurkan hutang keseluruhan kira-kira 65 peratus daripada KDNK manakala hutang statutori pada 63 peratus daripada KDNK pada akhir 2023.
Justeru, kerajaan menjelaskan pihaknya mungkin melanjutkan had hutang statutori 65 peratus daripada KDNK dalam jangka sederhana selepas 31 Dis, 2022.
Pada akhir Jun 2022, hutang statutori, yang terdiri daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB), berjumlah RM989 bilion atau 57.8 peratus daripada KDNK (2021: 59.7 peratus), kekal dalam lingkungan had statutori 65 peratus.
Garis panduan perundangan hutang lain, berkaitan dengan Bil Perbendaharaan Malaysia (MTB) dan pinjaman luar pesisir, ia kekal dalam had yang ditetapkan di bawah akta masing-masing. – Bernama