SKUAD Sri Aman FA mahu akhiri kemarau kemenangan apabila turun menentang Kuching FA di Stadium Sarawak, Sabtu ini.
SKUAD Sri Aman FA berazam untuk melakar kemenangan sulung sekali gus menamatkan ‘kemarau kemenangan’ pada pertemuan terakhir menentang Kuching FA di Stadium Sarawak, Sabtu ini.
Pengurus pasukan Sri Aman FA, Kelvin Chung berkata, aksi pada minggu ini menentang Kuching FA adalah perlawanan terakhir bagi Zon Selatan dan semestinya misi meraih kemenangan itu terus ditagih biarpun menyedari pasukan pimpinan Mohd Hairulasfia Hasbi tidak layak ke pusingan akhir Liga SSC-FAS 2022.
“Walaupun kita menyedari Sri Aman FA sudah tidak layak ke pusingan seterusnya, namun saya tetap menagih kemenangan daripada pemain terutamanya pada aksi terakhir minggu ini.
“Walaupun pasukan beraksi baik dalam keenam-enam perlawanan sebelum ini, kita masih gagal mengutip tiga mata penuh walaupun berpeluang untuk menang.
“Justeru, saya berharap pemain agar menamatkan kemarau kemenangan di gelanggang lawan minggu ini,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau meminta para pemain agar berwaspada dengan ancaman Kuching FA yang dilihat sebagai pasukan pilihan untuk menjuarai Liga SSC-FAS musim ini.
“Sebelum ini, kita tewas 0-1 dengan Kuching FA dan pertemuan kedua ini saya tetap mahukan keputusan positif daripada pemain, lawan tetap lawan,” ujarnya.
Kelvin menjelaskan, aksi Sabtu ini sedikit ‘tempang’ ekoran ketiadaan beberapa tonggak utama yang tidak dapat diturunkan.
“Pemain utama kita, Awang Irfan Syahreeza Awang Ahmad tidak dapat beraksi disebabkan menjalani hukuman penggantungan satu perlawanan dan juga beberapa pemain mengalami kecederaan,” tegasnya.