RASMI… Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg melancarkan Makmal Katerisasi (Catheterization Laboratory (Cath Lab), Daftar Sel Stem Malaysia (MSCR) dan Pengimejan Resonan Magnetik (MRI) di Pusat Pakar Perubatan Normah di Kuching, semalam.
KUCHING: Kerajaan Sarawak akan membina Pusat Pakar Perubatan Normah yang baharu, dilengkapi hotel penginapan serta kemudahan teknologi baru dalam perubatan yang bertaraf dunia.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pihaknya akan mendapat khidmat nasihat pakar bagi membantu mereka bentuk bangunan baharu itu nanti.
“Malah, pakar juga akan membantu apa kemudahan teknologi untuk peralatan hospital ini. Kita mahu mencari peralatan terbaik.
“Semua ini menelan kos yang banyak. Jangan bimbang, saya cuba cari dana bagi tujuan ini,” katanya.
Beliau berucap ketika melancarkan Makmal Katerisasi atau (Catheterization Laboratory (Cath Lab), Daftar Sel Stem Malaysia (MSCR) dan Pengimejan Resonan Magnetik (MRI) di Pusat Pakar Perubatan Normah di sini, semalam.
Bagaimana, beliau tidak menyatakan jumlah kos untuk membina pusat pakar yang baharu itu serta lokasinya.
Abang Johari berkata, sepanjang 34 tahun Pusat Pakar Perubatan Normah menampakkan kemajuan daripada sebuah hospital kecil yang dikenali tempatan kepada sebuah hospital bertaraf dunia.
“Kami menyedari bahawa kami perlu berganding bahu dengan pakar di hospital ini untuk membekalkan mereka dengan teknologi, supaya kedua-dua pihak doktor dan hospital boleh maju ke tahap piawaian bertaraf dunia.
“Kerajaan Sarawak akan mengintegrasikan Pusat Pakar Perubatan Normah dengan sistem Kepintaran Buatan (AI),” katanya.
Beliau yakin dengan pakar terkenal di hospital ini, dibantu dengan teknologi perubatan futuristik, dan penjagaan standard bertaraf dunia, Pusat Pakar Perubatan Normah sememangnya satu-satunya hospital yang menyediakan sijil akreditasi antarabangsa daripada Suruhanjaya Bersama (JCI)
“Belum ada hospital lain yang mencapai standard sebegitu di Malaysia Timur. Kita perlu mengubah pendekatan ini. Masa depan penjagaan kesihatan adalah dalam pencegahan, bukannya mengubati.
“Inovasi seperti Robot, Digital dan Kecerdasan Buatan (AI) dipercayai “pembantu doktor”. Malah salah satu potensinya adalah untuk membantu orang ramai kekal sihat supaya mereka tidak memerlukan doktor.
“Mungkin dalam masa terdekat, kita akan melihat kurang pesakit dalam hospital tetapi lebih ramai pesakit luar dan saya meramalkan AI adalah masa depan dalam kemajuan perubatan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan seperti Pengimbas MRI terkini, sistem kateterisasi jantung dan pengimbas CT mempunyai AI yang digabungkan ke dalamnya.
“Itulah sebabnya peralatan ini lebih cemerlang daripada sekadar menyediakan imej perubatan.
“Kita kini bercakap mengenai ketepatan dan data komputer besar untuk pembinaan semula imej resolusi tinggi dan juga melihat ke dalam fungsi organ manusia.
“Saya bangga mengetahui bahawa di Pusat Pakar Perubatan Normah akan menjadi hospital pertama di Borneo yang menggabungkan Perisikan robotik dalam pemulihan,” katanya.
Oleh AZREEN KERIA