Oleh ABANG MEDIAN ABANG SAID
Pedro Juan Gutierrez, penulis The Dirty Havana Trilogy mengungkapkan bahawa kecerdasan sesebuah karya itu adalah daripada pengolahan pengarang menggerakkan jalan cerita sehingga menimbulkan kejutan atau sesuatu yang tidak terjangka oleh pembaca. Pandangan ini bersesuaian dengan pandangannya terhadap karya Guillermo Rosales melalui novelanya, El juego de la viola yang menjadi finalis dalam pertandingan Casa de las Americas pada tahun 1967. Budi Darma pula menegaskan bahawa sesebuah karya yang diolah perlu membawa satu kesan yang indah. Keindahan dalam sesebuah karya itu tentunya bersandarkan kepada keutuhan kesatuan pembinaan karya tersebut yang perlu seimbang dari segi tema, persoalan, watak dan perwatakan, gaya bahasa serta binaan plot yang menggerakkan jalur cerita berkenaan. Tentunya sesebuah karya, termasuk cerpen memerlukan sesuatu yang hendak diceritakan. Cereka itu akan memusatkan diri pada satu watak dalam suatu situasi di suatu tempat dan ketika. Karya berkenaan harus mengandungi interpretasi pengarang tentang kehidupan sama ada secara langsung atau pun tidak langsung, harus menimbulkan satu efek, juga mengandungi perincian-perincian dan insiden-insiden yang dipilih dengan sengaja hingga mampu menimbulkan pertanyaan dalam fikiran pembaca.
Kehidupan yang didepani dalam dunia realiti sememangnya payah – manusia sentiasa berdepan dengan kegetiran hidup yang mengocak rasa amarah, penyesalan serta sesuatu keputusan yang tidak selari dengan kerasionalan. Persoalan dan konflik dalam kehidupan itu kadangkala menemui kebetulan atau kejutan yang tidak terduga sehingga menjalinhubungkan rentetan cerita yang pada mulanya tidak mempunyai kaitan. Perkara itulah yang cuba diolah oleh Abg Zainoren Jess melalui cerpen “Atok” yang tersiar dalam ruangan Wadah Bahasa dan Sastera pada 21 September yang lalu.
Secara umum, cerpen “Atok” melontarkan persoalan yang sudah biasa ditulis sejak dahulu, iaitu tentang pergolakan kekeluargaan daripada salah faham atau pertembungan pendapat hingga membawa rajuk yang berpanjangan. Pengarang lebih menitikberatkan binaan plot yang membawa watak seorang tua yang dikenali sebagai Manaf berkelana ke Kuala Lumpur untuk mencari anaknya yang telah lari dari rumah sejak 20 tahun yang lalu. Biarpun kewajaran dan kelogikan dari aspek penyusunan plot yang digarap oleh pengarang sedikit longgar – mengapa setelah 20 tahun anaknya melarikan diri, barulah dia mengambil inisiatif mencari anaknya, yakni sewaktu usianya telah mencecah 75 tahun – namun pengarang dengan sengaja menyusun kewajaran tersebut untuk menunjukkan kekesalan dan kasih sayang yang tidak pernah padam pada jiwa lelaki tua tersebut. Tempoh selama 20 tahun dan usia yang mencecah 75 tahun itu dengan sengaja dipilih oleh pengarang untuk membina kejutan pada klimaks cerpen “Atok” ini. Di sanalah kejayaan pada cerpen ini sehingga pujian perlu diberikan kepada pengarang.
Watak Manaf yang digambarkan seolah-olah kalut dan tersesat dengan kesibukan dan kesesakan di kota metropolitan Kuala Lumpur telah menarik perhatian watak “aku” yang pada mulanya hanya menyaksikan seorang lelaki muda membantu Manaf melintas jalan yang tidak pernah sunyi dengan deruman enjin kenderaan. Keadaan menjadi lebih tidak terkawal apabila hujan turun yang menurut pengarang: Wajah awan yang tadinya begitu ceria kini berubah seolah-olah menangisi si tua dengan bunyi guruh mengiringi.
Watak “aku” berasa kasihan melihat Manaf yang lencun dibasahi hujan sehingga lelaki tua itu menggigil kedinginan. Pada mulanya, watak “aku” hanya mampu berdoa dan melihat keadaan menyedihkan lelaki tua itu dalam keadaan longlai di tengah lautan kenderaan dengan hujan lebat dan ditambah lagi dengan tiupan angin kencang. Manaf hanya dibantu oleh seorang lelaki muda yang sama. Sepatutnya, untuk membina pembinaan watak yang lebih menarik, pengarang perlu menyegerakan bantuan yang diberikan oleh watak “aku” tanpa perlu berfikir panjang sehingga dia lebih banyak menjadi pemerhati pada kejadian tersebut. Watak lelaki muda yang tidak ditandai dengan sebarang nama itu perlu digambarkan hanya sekilas dengan lebih menumpukan perhatian kepada budi yang ditunjukkan oleh watak “aku”. Tentu pembinaan perwatakan sebegini akan lebih memberikan impak kepada cerpen berkenaan, terutama pada pengakhirannya nanti.
Setelah lelaki tua itu berjaya menyeberangi jalan raya dan mencari tempat berteduh, barulah “aku” menghampiri lelaki tua itu. Daripada perbualan awal antara watak “aku” dan Manaf, terpapar kelemahan lain pada binaan plot yang diolah oleh pengarang. Manaf yang berusia 75 tahun itu rupa-rupanya berasal dari Miri, Sarawak. Pengarang perlu memberikan kewajaran dan perincian yang lebih jelas – bagaimana Manaf boleh berada di Kuala Lumpur yang pastinya menggunakan kapal terbang ke Kuala Lumpur? Adakah lelaki tua ini mempunyai pengalaman menaiki kapal terbang? Manaf juga hanya mengetahui bahawa anaknya itu bekerja di Kuala Lumpur sejak 5 tahun lalu (tidak dijelaskan daripada siapa maklumat itu diperoleh), namun dia tidak mengetahui pula bahawa anaknya telah berkeluarga. Semua itu menjadi lompang dalam pembinaan plot yang diolah oleh pengarang. Kelogikan yang boleh dipertikaikan akan merendahkan kredit pada cerpen berkenaan. Disarankan supaya pengarang lebih teliti dalam menentukan perincian plot cerpen pada karya-karya akan datang.
Watak “aku” yang berasa kasihan dengan Manaf telah mempelawa lelaki tua itu untuk makan di warung yang berhampiran. Manaf yang kelaparan kerana hanya minum air kotak dan tidak menjamah sebutir pun nasi sejak semalam telah makan nasi campur dengan berselera. Pengarang berjaya menimbulkan perasaan belas kepada pembaca dengan pengolahannya yang baik tentang situasi yang dilalui oleh Manaf. Gambaran tentang pakaian Manaf yang serba kekurangan diterangkan secara deskriptif seperti memvisualkan penampilan Manaf dengan baju T lusuh dan berseluar panjang yang koyak di sana sini. Keinsafan yang dirasai oleh watak “aku” turut dirasai oleh pembaca untuk mempunyai sifat ambil peduli dengan insan lain yang sangat tidak bernasib baik. Insan sebegini yang begitu ramai di kawasan bandar raya perlukan keprihatinan daripada masyarakat keseluruhan. “Aku” sedar bahawa Allah telah mengirimkan watak lelaki tua itu kepadanya semata-mata untuk menguji keimanan dan keikhlasannya sebagai makhluk yang bertanggungjawab.
Atas kepedulian dan rasa tanggungjawab itulah, “aku” telah mengajak lelaki tua yang digelarnya “Pak Manaf” untuk pulang ke rumahnya. Pada mulanya, lelaki tua itu berasa keberatan. “Aku” kasihan apabila lelaki itu ingin mencari tempat berteduh selepas makan. Akhirnya Manaf bersetuju mengikuti “aku” setelah dipujuk. Semua ini menjadi titik perubahan kepada plot yang digarap oleh pengarang.
Ajakan yang dibuat oleh watak “aku” telah membuka nostalgia lama tentang fiil ayahnya tatkala ditanya oleh Manaf. Dia digambarkan sebagai seorang yang bengis sehingga menakutkan “aku” dan adiknya sewaktu masih kecil. Malah Ibu “aku” sering menjadi mangsa deraan ayah. Melalui perbualan dengan Manaf jugalah, dijelaskan bahawa ayah “aku” telah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya akibat langgar lari. Pada waktu itu, ayahnya telah keluar rumah dengan motosikalnya setelah bertengkar dengan ibu. Dia telah meninggal dunia membawa kemarahannya itu. Pertelagahan antara ayah “aku” dan ibunya merupakan perkara yang sangat penting dalam cerpen ini kerana turut membuka cerita daripada lelaki tua tersebut. Dia juga telah bertelingkah dengan anaknya sehingga dia kehilangan anaknya yang telah melarikan diri. Perkara ini telah berlaku dua puluh tahun dahulu. Manaf telah menghalang anaknya untuk bekerja di Kuala Lumpur. Dia telah menghambat anaknya dengan kayu sehingga luka pada tangannya. Akhirnya, anaknya telah melarikan diri seperti yang diceritakan melalui teknik dialog oleh lelaki tua itu kepada aku :
“Sehari selepas kejadian itu, pak cik terkejut kerana mendapati anak pak cik tiada di dalam biliknya dan menemui sepucuk surat yang ditinggalkan oleh anak pak cik yang memberitahu bahawa dia terus bertekad untuk pergi ke Kuala Lumpur bekerja dan akan pergi bersama kawan-kawannya yang turut sama menghadiri temu duga beberapa hari sebelum itu.”
Manaf berasa bimbang bahawa pemergian anaknya akan menyebabkan tiada siapa yang akan membantunya menjaga isterinya yang sedang sakit. Lantas, pemergian isteri ke dunia abadi juga tidak dihadiri oleh anaknya yang tidak dapat dihubungi. Tentunya pembaca sekali lagi akan tertanya-tanya, adakah anak Manaf terus membuang keluarganya sehingga tidak pernah bertanya khabar berita dengan keluarganya di kampung? Adakah pergaduhan antara seorang anak dan ayahnya itu boleh mencincang air sehingga putus lantas dia melupai ibunya di kampung?
Sewaktu Manaf berada di rumah “aku” yang juga dikenali dengan nama Azman, dia telah dilayan dengan baik oleh ahli keluarga berkenaan. Ibu Azman yang sentiasa menceritakan kebaikan arwah suaminya dengan menyembunyikan sisi gelap watak berkenaan telah menunjukkan album lama kepada Manaf. Pengarang sengaja membina kejutan pada klimaks cerpen berkenaan apabila anaknya yang telah melarikan diri dan bekerja di Kuala Lumpur rupa-rupanya adalah Abd Rahman bin Hanafi – ayah kepada Azman. Kebijakan pengarang terserlah pada bahagian klimaks dan pengakhiran cerpen ini kerana berjaya menyembunyikan realiti sebenar kepada pembaca sehinggalah menuju pada pengakhiran cerpen. Pembaca akan puas dengan pengakhiran yang sedemikian rupa. Kuasa dan kudrat Ilahi begitu besar sekali kerana menemukan Azman dengan datuknya biarpun pada permulaan cerpen, watak “aku” atau Azman lebih selesa memanggil Manaf dengan gelaran “pakcik”.
Sebenarnya, jikalau dinilai bersandarkan kepada tajuk yang dipilih oleh pengarang, iaitu “Atok”, pengarang telah memberikan bayangan tentang bagaimana cerpen itu akan diselesaikan. Walau bagaimanapun, bayangan itu sengaja dikaburkan oleh kebijakan pengarang dengan pengolahannya yang baik. Lagi pun, tajuk yang dipilih oleh pengarang juga agak tepat dan signifikan memberikan gambaran keseluruhan tentang cerpen berkenaan. Cuma, tajuk tersebut biarpun merupakan sesuatu yang universal, tetapi tetap agak klise dan sering digunakan oleh penulis atau pelukis dalam karya kreatif yang pelbagai. Tentu pengarang mempunyai tajuk lain yang lebih segar untuk menggambarkan tentang cerpen berkenaan. Pengarang boleh menggunakan tajuk yang ringkas dan ada pula sesetengah cerpenis yang suka menggunakan tajuk yang panjang untuk menarik perhatian pembaca. Umpamanya Hamsad Rangkuti memberikan judul cerpennya dengan tajuk yang panjang, segar dan mampu menarik perhatian pembaca dengan judul “Maukah Kau Menghapus Bekas Bibirnya Di Bibirku Dengan Bibirmu?” Shahnon Ahmad pula suka memilih tajuk yang pendek seperti “Kentut”, “Sampah”, (Sekadar mengambil beberapa tajuk) namun tetap memberi impak dan kesegaran kepada karyanya. Jadi terpulangah kepada pengarang untuk memilih tajuk yang sesuai asalkan tidak klise.
Sesebuah cerpen yang menarik hendaklah dimulakan dengan perenggan yang mampu menjentik perhatian pembaca untuk mengetahui persoalan atau konflik yang ingin diketengahkan. Ramai pengarang bergerak pantas dengan memasukkan elemen ketegangan pada permulaan cerpen.
Pengarang melalui cerpen “ Atok ” telah memulakan cerpennya dengan memasukkan ketegangan pada watak lelaki tua yang ingin menyeberang jalan dalam kesesakan lalu lintas yang sangat kritikal di bandar raya Kuala Lumpur. Pembaca merasai ketegangan tersebut dan tertanya-tanya, mengapa lelaki tua itu bergerak sendirian di kota kosmopolitan itu tanpa ditemani oleh sesiapa? Persoalan itulah yang cuba dirungkai oleh pengarang melalui binaan plot yang telah disusun dengan agak baik. Ada kesan dramatik yang diolah oleh pengarang pada bahagian permulaan cerpen ini :
HARI itu aku melangkah terus pada garisan sempit di laluan sibuk dengan kenderaan bergetaran di aspal, di garisan zebra, di garisan api kuning, hijau dan merah. Sedang kepala-kepala kebingungan cuba menerjah laluan seberang, sedang ku perhatikan di sekitarku, kereta, motor menghalang langkah longlai si tua, yang tersimpuh di tepi laluan sempit itu sambil tangan diangkat melambai minta bantuan …
Sasterawan Negara, A. Samad Said dikenali dengan pengolahan bahasa yang menarik melalui karya prosanya. Begitu juga hasil karya Shahnon Ahmad yang begitu menyerlah dalam aspek pemilihan diksi dengan pengolahan melalui teknik deskriptif; seolah-olah pembaca berada dalam karya berkenaan. Keupayaan bercerita yang dimiliki oleh kedua-dua Sasterawan Negara tersebut perlu dijadikan ikhtibar oleh penulis-penulis baharu. Melalui cerpen “Atok”, pengarang telah mengolah karyanya dengan bahasa yang lincah dan menarik sehingga plot digerakkan dengan pantas. Namun, terdapat beberapa kesilapan tatabahasa yang perlu diambil berat oleh pengarang agar tidak mengganggu kelancaran pembacaan. Tanggungjawab dan kewajipan yang perlu dipikul oleh setiap pengarang sebelum menghantar karya kepada editor ialah dengan melakukan pembacaan kali pertama, kedua dan ketiga – melakukan pengeditan kendiri – agar kesalahan-kesalahan itu mampu diminimumkan. Di bawah ini disenarai beberapa kesalahan tatabahasa dalam karya berkenaan yang perlu diambil berat oleh pengarang :
- …kenderaan bergetaran di aspal, di garisan zebra, di garisan api kuning, hijau dan merah.
SEPATUTNYA : …kenderaan bergetaran di aspal iaitu di garisan zebra berhampiran lampu isyarat kuning, hijau dan merah.
- minta laluan untuk ke seberang jalan……..
PENERANGAN : Titik yang keempat adalah merujuk kepada noktah. Pengarang juga hanya boleh meletakkan tiga titik untuk menggambarkan sesuatu yang berterusan. Titik yang lebih daripada bilangan tersebut adalah salah dan tidak mempunyai fungsi.
- … sedang ku perhatikan di sekitarku
PENERANGAN : ‘ku’ adalah sinkof yang tidak boleh berdiri sendiri dan perlu digabungkan pada hadapan atau belakang perkataan yang lain. Untuk contoh di atas, sebetulnya perkataan itu ditulis “kuperhatikan”.
- …wajah berkedut si pria yang bimbang
PENERANGAN : Perkataan “berkedut” itu adalah kata adjektif untuk orang yang sudah tua sedangkan pada ayat berkenaan hanya untuk memberikan gambaran tentang wajah yang bimbang. Jadi perkataan yang tepat adalah “berkerut”.
- “Tolong bagi laluan….! tolong bagi laluan!!……” teriaknya ke arah kenderaan yang lalu lalang.
SEPATUTNYA : “Tolong bagi laluan! Tolong bagi laluan!” Teriaknya ke arah kenderaan yang lalu lalang.
- Aku sadar bahawa Allah …
KESALAHAN EJAAN : “sadar” itu sepatutnya dieja “sedar”.
- “Ah biarkan dulu orang tua ini makan….” kata hatiku sambil aku sendiri meneruskan makanku kerana dah terlalu lapar sejak tadi.
PENERANGAN : Monolog sepatutnya ditulis dengan pembuka dan penutup kata ( ‘ ). Tanda baca ( “ ) adalah untuk perkataan yang diucapkan seperti melalui dialog. Perkataan “ah” juga merupakan kata seru. Jadi ayat itu perlu diakhiri dengan tanda (!).
Secara keseluruhannya, pengarang telah berjaya menghasilkan sebuah cerpen yang baik. Karya ini menepati pandangan Pedro Juan Gutierrez tatkala pengarang cerdas mengolah plot dan menggerakkan jalan cerita sehingga menimbulkan kejutan atau sesuatu yang tidak terjangka oleh pembaca. Tentu karya ini akan menjadi lebih baik jikalau segala kelemahan yang telah dikenal pasti akan dibuat penambahbaikan oleh pengarang pada masa akan datang.