SYUKUR… Mangsa-mangsa yang selamat tiba di jeti.
MUKAH: Dua pemancing lemas, seorang masih hilang manakala lapan yang lain selamat dalam kejadian bot karam setelah berlaku kebocoran di perairan Mukah Selasa lalu.
Mangsa yang meninggal dunia dan ditemui petang semalam yang juga tekong bot, Sabli Jun dan pemancing, Wong Siaw Tiang.
Lapan orang yang selamat adalah Wong Ching Hie, Lingsan Spawi, Anuar Spawi, Lewis Yung Kah Ing, Chieng Hock Hung, Wang Ting Ping, Chong Fei Food dan Lee Sie Soon.
Penolong Pengarah Kanan Unit Carilamat dan Bantuan Bencana, Maritim Negeri Sarawak, Leftenan Komandar(M) Nurrul Elmi Ali yang mengetuai operasi itu berkata, usaha mencari Wong Ik Kong yang masih hilang, diteruskan hari ini.
Difahamkan, mereka keluar ke laut dan berlepas dari Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Cawangan Mukah pada pagi Isnin lalu, untuk menuju ke perairan sekitar Igan.
“Tujuan mereka ke laut pada kira-kira jam 10 pagi itu adalah untuk memancing di perairan Igan. Namun pada kira-kira jam 4.00 petang hari sama, bot yang mereka naiki bocor.
“Dipercayai mereka sudah bersedia dan tahu bot mereka akan karam,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri Residen Bahagian Mukah, Kueh Lei Poh di sini petang semalam.
Operasi mencari dan menyelamat itu diselaraskan oleh Maritim Negeri Sarawak, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia(APMM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pelbagai agensi kerajaan berkenaan, termasuk Persatuan Komuniti Pemancing Sarawak Cawangan Mukah.
Nurrul Elmi berkata, mereka menggunakan bot bernombor pendaftaran SF2-2837 itu membawa 11 penumpang termasuk tekong dan pemancing.
Katanya, kejadian kapal karam dipercayai berlaku sekitar jam 8.30 malam Selasa lalu.
Namun katanya, daripada lapan yang selamat itu, dua orang ditemui sekitar jam 5.00 petang kelmarin dan dibawa ke Kuching oleh kapal dagang yang dalam perjalanan dari Bintulu ke Kuching.
Beliau berkata, maklumat yang amat berguna daripada dua pemancing itulah menjurus kepada pelaksanaan SAR yang berpusat di jeti LKIM di sini.
“Maklumat awal inilah amat membantu dan menjurus kepada persediaan untuk pelaksanaan SAR hari ini (semalam) membabitkan pelbagai agensi seperti Maritim APMM, polis dari Matu, Daro, Dalat dan Mukah, Pejabat Bomba dan Penyelamat Mukah, Angkatan Pertahanan Awam, LKIM, Jabatan Perikatan Laut Mukah, Pejabat Daerah Mukah, Pejabat Kebajikan Mukah dan Persatuan Komuniti Pemancing Sarawak Cawangan Mukah dan lain lain lagi,” katanya.
Selain aset di lautan oleh agensi-agensi berkaitan, katanya, mereka juga mengguna aset udara dengan pesawat Bombardier.
“Kita juga menggunakan kapal pengawal dan ia akan digunakan esok (hari ini). Fokus lokasi pencarian di laut esok (hari ini) adalah di lokasi penemuan dua (mangsa) yang ditemui itu, dan kawasan sekitarnya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Daro Deputi Superintenden Polis(DSP) Neil Beginda mengesahkan nama mangsa yang meninggal pada sidang media sama.
“Mangsa berbangsa Cina telah disahkan oleh rakannya, manakala lelaki Melanau oleh ahli keluarga. Kedua-dua mayat telah dihantar ke Hospital Mukah untuk tindakan lanjut,” katanya.
Kueh pula mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dengan SAR dan mengharapkan yang hilang akan ditemui dalam masa terdekat.
“Terima Kasih semua. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menasihati penggiat atau pengusaha dan operator bot pemancing untuk sentiasa mengutamakan keselamatan diri, kelengkapan kapal dan sebagainya sebelum berangkat ke laut,” katanya.
Oleh HENRY B SIYU