Oleh Dilah Tuah
Penciptaan puisi amat berkait rapat dengan perasaan dan pemikiran penyair. Dalam kebanyakan wacana sastera, puisi sering kali dikatakan lahir daripada pengamatan dan kepekaan penyair terhadap alam dan kehidupan. Maka tidak hairanlah ada yang mengaitkan puisi sebagai ekspresi jiwa dan hati nurani penyair. Namun, ekspresi jiwa yang berlebihan dalam puisi akan membentangkan kepolosan yang prosaik serta gagal berkalung panjang di leher zaman. Justeru, bagi mencipta kehalusan dan kemulusan puisi, penyair harus berani berkelahi dengan kata-kata agar ekspresi jiwa yang ingin dibenihkan di ladang kata, menumbuhkan buah fikir dan akal yang segar kepada pembaca. Bagi menyuburkan benih jiwa dan hati nurani penyair dalam puisi, pemilihan kata atau diksi yang sesuai menjadi aspek yang perlu dititikberatkan oleh penyair.
Misalnya ketika A. Samad Said menghasilkan puisi ringkas yang berjudul “Penyair” pada tahun 1973, kependekan puisi tersebut (hanya empat baris) tidak membataskan maknanya serta terus mengalir dan melompat dari dekad ke dekad. Walhal, puisi tersebut hanyalah sebuah renungan A. Samad Said tentang selembar daun yang gugur di laman yang sepi.
Mentafsir puisi memerlukan penelitian yang rinci dan rapi. Hal ini sesuai dengan sifat puisi yang subjektif serta membentangkan banyak makna dalam susunan kata-kata yang padat. Selain itu, keupayaan penyair menguasai bahasa memberi kesan yang cukup besar kepada makna puisi. Justeru, bahasa puisi berperanan penting dalam menyampaikan apa yang terbuku di jiwa penyair mengikut keinginannya sendiri. Hal ini menyebabkan bahasa puisi berbeza dan lari jauh daripada makna kamus atau bahasa pertuturan harian. Hakikat ini bertepatan dengan pandangan Riffaterre (1978) dalam Semiotics of Poetry yang mengatakan bahawa puisi memperkatakan sesuatu tetapi memaksudkan yang lain (a poem says one thing and means another). Oleh itu, tidak hairanlah terdapat sesetengah penyair yang menyimpan kejap makna puisinya sehingga sukar untuk diterjah maksudnya oleh pembaca. Kendatipun begitu, bentuk puisi sebegini agak kurang disenangi oleh pembaca dan dikategorikan sebagai puisi kabur. Di sisi yang lain, khalayak sastera di alam Melayu didapati lebih menyenangi puisi-puisi yang mudah difahami serta berupaya meninggalkan kesan dan pesan kepada pembaca seperti puisi Usman Awang, A. Samad Said dan Abizai.
Berpandukan perbincangan di atas, ulasan puisi ini akan menyingkap sisi peribadi dan sensitiviti penyair dalam tiga buah puisi yang tersiar di ruangan ini pada minggu lepas. Selain itu, aspek-aspek lain yang terdapat dalam puisi turut disentuh agar ulasan ini dapat memberi nilai tambah kepada para penyair dalam menghasilkan puisi yang lebih baik atau berganjak ke ruangan penerbitan yang lebih tersohor seperti di Yang Indah Itu Bahasa (YIIB) atau di Dewan Sastera. Tiga buah puisi yang akan dibincangkan ialah “Pucuk Impian” karya Asyraff Jamin, “Rintih Petualang” karya Johnny Berayen dan “Anak Kenyalang” karya Abg Zainoren Abg Jess.
Puisi “Pucuk Impian” karya Asyraff Jamin mengangkat subjek tentang diri dan keperibadian penyair. Perkara ini dapat diperhatikan pada penggunaan diksi
‘kutelah’, kupandang’, ‘kutetap’, dan ‘aku kuat’ dalam puisi ini. Membaca puisi ini membawa khalayak kepada sesuatu yang ingin dicapai oleh penyair, iaitu ke pucuk impian atau kejayaan yang lebih besar. Namun setiap keinginan pasti tidak terlepas daripada uji cabar dan duga. Hal ini diakui sendiri oleh penyair dalam baris /yang pabila datang angin menghempas/ meliuk-meliuk; menuntut kekuatan/. Di sebalik ujian yang bakal dihadapi oleh penyair untuk sampai ke pucuk impian, terlihat kecenderungan sikap percaya diri yang kuat dalam diri penyair. Dalam rangkap ketiga, penyair membina kekuatan diri melalui baris /Kutetap percaya, /angin yang menghempas/, /datangnya cuma untuk menguji/, /sekadar untuk menilai/, /sejauh mana aku kuat/. Biarpun puisi ini bersifat peribadi, namun masih berupaya menyajikan kesan estetika kepada khalayak pembaca. Bingkisan penuh puisi ini adalah seperti berikut.
Dalam kelekaan, memanjat harapan, tak terasa; kutelah, memanjat setinggi ini.
Menuju pucuk, yang kian tipis lembut berayun, yang bila kupandang ke bawah, terasa rawan menggayatkan, yang pabila datang angin menghempas, meliuk-meliuk; menuntut kekuatan, untuk terus berpaut, meski terasa goyah.
Kutetap percaya, angin yang menghempas, datangnya cuma untuk menguji, sekadar untuk menilai, sejauh mana aku kuat; berpaut bertahan, demi ke pucuk impian.
Membaca puisi ini membawa khalayak memahami jiwa dan hati nurani penyair. Walaupun tidak dinyatakan secara langsung, namun khalayak dengan mudah menduga maksud yang ingin disampaikan oleh penyair. Hal ini disebabkan pilihan diksi puisi ini mudah untuk ditanggapi oleh pembaca. Selain itu, tidak terdapat penggunaan bahasa konotasi atau bukan kata sebenar digunakan oleh penyair dalam puisi ini. Dalam pemilihan diksi, terdapat beberapa kata yang kurang sesuai seperti frasa /Dalam kelekaan/ yang sesuai dipadankan dengan /Dalam keasyikan/. Hal ini dikatakan sedemikian kerana kata ‘kelekaan’ didapati berkontradiksi dengan frasa /memanjat harapan/ dalam baris kedua. Sekiranya ‘kelekaan’ dipilih, mengapa penyair sedar bahawa ‘kutelah, memanjat setinggi ini’.
Begitu juga dalam rangkap kedua baris ketiga dan rangkap ketiga baris kedua dalam puisi ini, iaitu bagi kata ‘menghempas’. Tidak dinafikan bahasa puisi boleh lari jauh daripada bahasa kamus. Namun penyair yang baik harus menjadi pemerhati alam yang jujur. Perkataan menghempas sering kali dikaitkan dengan ombak di pantai, justeru agak janggal sekiranya dipadankan dengan sifat angin yang menderu. Seandainya penyair mahu menghidupkan unsur estetika pada angin sekalipun, maka perkataan yang sesuai perlu dicari, agar ia menemui hubungan semantiknya. Selain itu, puisi ini perlu dipadatkan lagi agar diksi yang dipilih dapat menyampaikan makna yang lebih luas. Pada baris ketiga dan keempat dalam rangkap ketiga puisi ini, berlaku pengulangan frasa yang membawa maksud yang sama, iaitu ‘untuk menguji’ dan ‘untuk menilai’. Dalam hal ini, penyair harus berhati-hati dalam menyaring kata untuk dipadatkan dalam ruangan puisi yang terbatas sifatnya.
Puisi seterusnya berjudul “Rintih Petualang” karya Johnny Berayen mengajak pembaca untuk menyelami rintih perantau yang jauh meninggalkan kampung halaman. Sekali pandang, tajuk yang dipilih oleh penyair pasti memancing risau dalam kalangan pembaca. Hal ini disebabkan kata ‘petualang’ acap kali dirujuk sebagai individu penipu, tidak jujur dan curang demi kepentingan peribadi. Namun, pada hakikatnya, petualang juga merujuk kepada pengembara, perantau dan gelandangan. Justeru, sekiranya puisi ini tidak difahami dari sudut maknanya, maka berlakulah pergeseran antara tajuk dengan isi yang terbentuk. Sama seperti puisi yang pertama, puisi ini juga berkelintaran dalam ruang peribadi penyair. Hal ini dapat diperhatikan pada kata ‘kuhirup’, ‘kutempuh’, ‘kuisikan’, dan ‘ku merenung’ dalam rangkap pertama dan kedua puisi ini. Bingkisan penuh puisi ini seperti di bawah.
Tatkala fajar menjelma, kicauan burung membongkar hening pagi,
Ku hirup pawana pagi, menghembus duka,
Mengenyahkan gundah memenuhi diri,
Terasa pekat ribang ini,
Terkenang keluarga aksa menanti.
Ku tempuh hariku dengan lara,
Ku isikan dengan tawa menghilang rasa bika,
Tak terasa kesenjaan sudah terlalu petang,
Walang pun menyisip kembali, Bak pungguk ku merenung candra,
Bersenandika mengingat memori lama.
Fajar menjenguk kembali,
Hari silir berganti tetapi aku masih disini,
Merintih ribang di hati sehingga merobek atma.
Selain itu, getaran jiwa dan hati penyair jelas tergambar pada rangkap pertama baris kelima dan keenam puisi ini, iaitu /Terasa pekat ribang ini/, /Terkenang keluarga aksa menanti/. Dalam puisi ini, ‘ribang’ merujuk kepada rindu dan ‘aksa’ pula membawa erti jauh. Namun di sebalik kerinduan yang memuncak, penyair bijak mewajarkan suasana serta memberikan panduan yang berguna kepada pembaca agar tidak terjebak ke dalam masalah jiwa. Rangkap kedua puisi ini menurunkan pesan, iaitu pada frasa /Kuisikan dengan tawa menghilang rasa bika/. Begitulah besarnya peranan penyair dalam memberi pesan lewat puisi kepada pembaca. Dari segi bentuk, puisi ini mudah difahami. Bahasa yang digunakan dalam puisi ini tidak terlalu menyimpang makna atau membawa makna yang berbeza. Hanya terdapat satu perkataan, iaitu ‘bika’ yang tidak diketahui maknanya. Dari sudut binaan diksi, penyair ternyata sudah berani berkelahi dengan kata-kata sehingga binaan puisi ini segar dan padat. Kendatipun begitu, pemerihalan tentang rindu dalam puisi adalah sesuatu yang biasa atau klise gaya pengucapan dan pemikirannya. Justeru, penyair wajar meneroka dan mencipta imej-imej segar dan asli, sehingga pada akhirnya dapat memperkayakan kosa kata dan seterusnya membijaksanakan pembaca.
Puisi terakhir berjudul “Anak Kenyalang” karya Abg Zainoren Abg Jess tampil dalam satu rangkap puisi yang panjang. Subjek yang ingin disampaikan oleh penyair lebih mengarah kepada parti politik yang terdapat di Malaysia. Perkara ini dapat diperhatikan pada perkataan yang dieja dengan huruf besar seperti BERSATU, AMANAH, KEADILAN, DAP, WARISAN dan BUMIPUTERA dalam
puisi ini. Hanya GPS, sebuah parti politik dari Sarawak yang dieja berasingan. Walaupun tidak dinyatakan secara langsung oleh penyair, namun pembaca dengan mudah menerka bahawa perkataan Gagah/ Perkasa/ Semangat merujuk kepada Gabungan Parti Sarawak, iaitu GPS. Selain itu, membaca puisi ini akan membawa khalayak untuk memahami dengan lebih dekat orientasi politik penyair yang memihak kepada GPS. Kebanggaannya terhadap pemimpin politik dari
Sarawak ini, terserlah dalam frasa /Terbukti anak Kenyalang lebih tangkas/, /Dalam mencerna keyakinan insani/. Pada masa yang sama, penyair turut menghidangkan bentuk sepak terajang dalam dunia politik yang tiada berkesudahan. Bingkisan penuh puisi ini adalah seperti di bawah.
Terbang terbang anak Kenyalang
Di awangan mencari cerita
Bak gegak gempita memecah sepi
Pada persada jadi rebutan
Sedang anak di bawah menangis pilu
Menanti tiba cuaca cerah
Menghilang dalam rebutan takhta Ke hilir ke hulu melangkah lesu
Mencari helah hendak BERSATU
Sedang AMANAH di pinggir
KEADILAN dicari tidak ditemui
Pada rangka menaiki takhta bestari
Memang seDAP pada culitan rasa
Tika WARISAN membawa diri
Dan tika BUMIPUTERA di kejauhan
Cuba meredah kesangsian terlukis
Akhirnya terjawab dalam cita rasa Tamak dan haloba merangkul dalam dendangan sumbang
Sang penguasa yang bersedih
Kehilangan watak berjasa
Sedang anak-anak BUMIPUTERA
Tersenyum sinis tika kedua tangan
Cuba ditarik mengisi kekosongan
Terbukti anak Kenyalang lebih tangkas
Dalam mencerna keyakinan insani
Kini lahir sudah
Gagah
Perkasa
Semangat
Dicantum menyatu dalam seribu perjuangan yang masih panjang
Daripada susunan diksi, puisi ini didapati tidak tergolong dalam puisi yang sukar untuk difahami maknanya. Hal ini disebabkan pembaca dengan mudah dapat memahami makna yang tersirat di sebalik rangkap yang tersurat. Dalam hal ini, jelas betapa penyair perlu bijak memilih kata-kata yang terbaik dalam susunan yang terbaik, bagi mengelak daripada menghasilkan bentuk puisi prosaik dan konvensi. Selain itu, dalam penulisan kreatif termasuk puisi, penyair perlu berpegang kepada prinsip ‘show, dont tell’ iaitu penyair seharusnya lebih banyak menonjolkan imejan berbanding memberitahu secara langsung kepada pembaca. Dalam puisi di atas misalnya, penyair seolah-olah bercerita tentang pergolakan kuasa politik yang sedang melanda Malaysia secara terus-terang. Hal ini secara tidak langsung telah mengurangkan nilai estetika yang seharusnya memenuhi ruang diksi dalam puisi ini.
Secara keseluruhan dapat dirumuskan bahawa ketiga-tiga buah puisi yang tersiar di ruangan ini pada minggu lepas menampilkan bentuk dan gaya yang tersendiri. Terdapat beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian oleh penyair antaranya mengelakkan penggunaan perkataan yang tiada makna atau tidak berguna dalam puisi. Selain itu, pemilihan diksi perlu dilakukan dengan cermat agar puisi dapat membentangkan seribu cerita dalam ruangannya yang terbatas.
Semoga ulasan ini memberi sedikit nilai tambah kepada penyair untuk menghasilkan puisi yang lebih kemas, indah dan berwibawa. Teruskan berkarya!