PUTRAJAYA: Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak sesuai diadakan ketika musim banjir kerana banyak faktor perlu diambil kira, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata selain faktor kesihatan, Kementerian Kesihatan (KKM) berpandangan banyak perkara penting perlu diambil kira antaranya aspek tenaga kerja dan keselamatan rakyat pada musim banjir.
“Sebab pertama adalah tenaga kerja kerana banyak tenaga kerja yang diperlukan untuk pilihan raya malah pada bulan monsun pun ramai yang perlu dikerahkan untuk menjaga pusat pemindahan sementara (PPS), jaga keselamatan rakyat dan jaga pemindahan.
“Kedua, dari segi kemudahan… PPS banyak diadakan di sekolah dan ia (sekolah) juga jadi pusat buang undi (bagi pilihan raya),” katanya semasa temu bual Setahun Pencapaian Sebagai Menteri Kesihatan di bangunan KKM di sini semalam.
Khairy juga berkata akan berlaku peningkatan penyakit bawaan air yang memerlukan rawatan daripada pihak KKM dan penyakit lain seperti demam, selesema dan sebagainya akibat keadaan cuaca.
“Maka pandangan KKM memanglah daripada segi kesesuaian diadakan pilihan raya waktu musim banjir ini, tak sesuai,” kata Ahli Parlimen Rembau itu ketika diminta mengulas sama ada PRU-15 sesuai diadakan ketika musim banjir.
Pada 17 Sept lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata tarikh pembubaran Parlimen akan diumumkan tidak lama lagi untuk memberi laluan kepada PRU15.
Ditanya sama ada KKM mengemukakan cadangan waktu yang sesuai untuk mengadakan PRU15 kepada kerajaan, Khairy berkata perkara itu ada dibincangkan secara umum namun ia terpulang kepada Perdana Menteri.
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan negara mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November yang mendorong kepada banjir besar pada penghujung bulan itu.
MetMalaysia menjangkakan impak cuaca yang dialami lebih signifikan memandangkan monsun timur laut yang aktif pada tempoh itu sekali gus risiko berlaku hujan lebat berterusan dan banjir berskala besar adalah tinggi. – Bernama