SOAL JAWAB… Datu Len Talif Salleh ketika sesi sidang akhbar pada Bengkel Permurnian Kamus Melanau Ajang Bersama Dewan Bahasa Cawangan Sarawak di Kuching, semalam. • Foto ANDRE OLIVEIRO.
KUCHING: Kamus Melanau Ajang yang pertama di Sarawak dijangka terbit pada suku pertama tahun depan dalam usaha untuk memartabat dan memperkenalkan bahasa unik etnik Melanau di tiga kawasan di negeri ini.
Difahamkan, kamus itu memaparkan istilah bahasa Melanau di kawasan Kampung Kuala Rejang, Jerijeh dan Belawai.
Timbalan Menteri Pembangunan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh berkata, kamus yang dirumus dan diusahakan bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak itu dibantu oleh Pusat Khidmat Kuala Rajang yang mengandungi lebih 4,000 patah perkataan.
“Atas kesinambungan kerja pengumpulan entri bahasa sukuan Sarawak ini, manuskrip mentah bahasa Melanau Rajang-bahasa Melayu telah diperoleh.
“Entri yang sedia ada ini perlu disahihkan, diluaskan takrif dan dikembangkan dari segi aspek pemaknaannya sebelum dimasukkan cara sebutan yang betul berdasarkan pemenggalan fonemik oleh penutur jati yang dilantik berdasarkan idiolek (variasi dialek daerah) masing-masing.
“Sepanjang proses pembinaan entri, beberapa perkara dikenal pasti yang mana entri ini seterusnya akan disahihkan oleh Jawatankuasa Pengesahan bagi membina manuskrip bersih yang dapat digunakan untuk tujuan penerbitan,” katanya pada sidang media bengkel permurnian Kamus Melanau Ajang bersama DBP Cawangan Sarawak di Hotel Samudra di sini, semalam.
Len Talif berkata, 2,000 patah perkataan sudah dikumpul dan diperbetulkan sepanjang dua hari berbengkel dan berharap 2,000 lagi patah perkataan dapat dikumpul setelah bengkel dua hari itu berakhir.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berkata, bengkel dua hari itu disertai 35 peserta dari Kampung Kuala Rajang, Jerijeh dan Belawai sebagai langkah akhir bagi penerbitan kamus berkenaan.
Penyelaras bengkel terdiri daripada Hardi Keli dan Professor Emeritus Dr. Yusuf Hadi serta Jawatankuasa Tugas Kamus Melanau Ajang.
Katanya, usaha mengumpul istilah sukuan Melanau di kawasan Kuala Rajang dilaksanakan lebih 40 tahun lalu melibatkan penduduk berumur 18 tahun dan ke atas untuk membezakannya dengan istilah digunakan oleh sukuan Melanau di kawasan Matu-Daro, Igan dan Mukah.
“Justeru, penerbitan kamus ini bertujuan untuk mendedah dan menyebar luas istilah sukuan Melanau Kuala Rajang untuk tatapan penduduk asalnya yang kini banyak menetap di luar (daerah) dan generasi akan datang. Selain itu, ia juga mengetengahkan banyak istilah yang sudah pupus,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komuniasi Awam Sarawak (UKAS) yang juga ADUN Semop, Datuk Abdullah Saidol yang hadir sama berkata, inisiatif sedemikian adalah penting dalam usaha mengekalkan bahasa, adat dan budaya kaum Melanau di negeri ini khasnya.
Katanya, generasi muda pada hari ini yang akan memimpin negeri dan negara pada masa hadapan seharusnya berjiwa besar dengan mengetahui asal usul, adat dan budaya termasuk bahasa serta latar belakang sejarah bangsa mereka sendiri.
Beliau berkata, hakikatnya istilah Melanau Kuala Rajang banyak persamaan dengan istilah sukuan Kajaman di Belaga.
Oleh RYNNA SHA’ERRA