KINI isu banjir menjadi polemik ketika banyak pihak meramal kemungkinan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan hujung Oktober hingga awal November ini.
Namun, ada dua pandangan mengenai tarikh PRU-15. Satu pandangan mahukannya tahun depan dan satu lagi mahu ia segera diadakan sebelum 2022 berakhir.
Bajet 2023 pula dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 Oktober ini, diawalkan tiga minggu daripada jadual asal 28 Oktober, juga turut mencetuskan ‘bayang-bayang’ PRU-15 diadakan tahun ini.
Apapun, hanya seorang sahaja yang boleh menentukan bila mahu mengadakan PRU-15 iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Tetapi gaya dan pendekatan Ismail Sabri lebih ‘terbuka’ dan ‘gentleman’ berbanding kesemua Perdana Menteri sebelum ini walaupun soal bila mahu bubar Parlimen bagi membolehkan pilihan raya diadakan adalah hak mutlak pemegang jawatan nombor satu pentadbiran negara itu.
Contohnya, apabila Perdana Menteri sekurang-kurangnya tiga kali menyebut secara terbuka menyatakan akan berbincang terlebih dahulu dengan ‘Top Five’ UMNO berhubung pembubaran Parlimen.
Terbaharu Sabtu lalu apabila Ismail Sabri berjanji untuk segera berbuat demikian iaitu menemui ‘top five’ UMNO dan akan turut maklumkan Kabinet, sambil membayangkan ‘kita sudah hampir ke PRU-15, percayalah sikit masa lagi.’
Pendekatan ‘gentleman’ Ismail Sabri ini, jauh bezanya dengan pemimpin terdahulu terutama Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kerap membuat kejutan pembubaran Parlimen sepanjang 22 tahun memerintah tanpa memberi bayangan akan bincang dulu dalam parti atau Kabinet dan sebagainya.
Bagi Parti Gabungan Sarawak (GPS), ia tak kisah sama ada PRU-15 diadakan tahun ini atau tahun depan kerana sudah bersedia dan masih segar dengan kemenangan besar pada pilihan raya negeri (PRN) Disember lalu.
Banjir hujung tahun
Namun, polemik terbaharu yang dikaitkan dengan banjir tercetus apabila Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan parti itu sanggup meredah banjir untuk berkempen sekiranya Perdana Menteri mengumumkan pembubaran Parlimen pada akhir tahun ini yang mungkin banjir di beberapa tempat.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, pula menjangka PRU-15 akan diadakan di antara Oktober hingga Disember tahun ini.
Namun, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, yang tidak bersetuju, menegaskan parti itu akan mengemuka bukti kepada UMNO bahawa rakyat menolak PRU-15 sekiranya diadakan pada musim tengkujuh.
Menurut Rafizi, beliau akan mengusahakan satu pungutan suara untuk menunjukkan kepada UMNO dan Ahmad Zahid bahawa rakyat mencemuh parti politik yang galak berebut kuasa hingga mengabaikan persediaan menghadapi banjir.
Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu pula berkata, PRU-15 pada musim tengkujuh akan menyusahkan orang ramai dan perbelanjaan agensi kerajaan, dan menyatakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengeluarkan dana lebih besar untuk menangani pemilihan terutama di kawasan berisiko banjir.
Katanya, kerajaan sekarang masih ada masa yang cukup untuk mengadakan pilihan raya, iaitu sehingga Julai tahun depan ‘dan jika buat pilihan raya pada musim tengkujuh memang akan menyusahkan semua pihak.’
Ahmad Zahid ketika memberi respons terhadap isu itu berkata mereka lupa Dr Mahathir ketika menjadi Perdana Menteri pernah mengadakan PRU pada November 1999, namun tidak dijadikan isu.
Tiga negeri tak bubar DUN?
Presiden UMNO itu berkata, terbaru tahun lalu, PRN Sarawak diadakan pada 18 Disember 2021 dan pembangkang pula tewas teruk.
Akan tetapi, ada pihak terutama pembangkang mendakwa Ahmad Zahid mendesak PRU-15 diadakan segera, kerana takut kepada hukuman bagi kes rasuah yang dihadapinya. Ahmad Zahid menghadapi 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.
Lain pula nada Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyarankan Perdana Menteri membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU-15, jika gagal menguruskan ekonomi dan negara dengan baik.
“Tetapi, saya pun terfikir, jika perdana menteri terus gagal mengurus ekonomi dan negara dengan baik, eloklah pilihan raya diadakan supaya kerajaan baharu yang lebih cekap, prihatin dan bebas rasuah dapat dipilih oleh rakyat,” katanya dalam catatan di Facebook.
PAS yang menerajui Kedah, Kelantan dan Terengganu mahu PRU-15 diadakan sehingga tempoh penggal pemerintahan berakhir Julai tahun depan, juga dengan alasan waktu banjir melanda negara.
Malah, Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad berkata pihaknya tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah, Kelantan dan Terengganu sehingga habis penggal pada Mac tahun depan.
Tetapi menurut Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Muhammad Helmi Abdullah pengundi dijangka berdepan hujan dan ribut petir jika PRU-15 diadakan pada hujung tahun ini.
Katanya, negara bakal mengalami fasa peralihan monsun pada Oktober hingga awal November tetapi cuaca baik pada sebelah pagi manakala ribut petir akan kerap berlaku di negeri-negeri pantai barat serta pedalaman Semenanjung, kawasan barat dan tengah Sarawak serta barat Sabah.
“Risiko untuk berlaku banjir kilat adalah tinggi dalam tempoh ini terutama di kawasan rendah di pantai barat semenanjung. Monsun timur laut pula kebiasaannya akan bermula pada awal November,” katanya seperti dilaporkan media baru-baru ini.
Jika betul seperti diramalkan itu, bermakna mereka yang terbabit dalam kempen jentera parti masing-masing akan berlumpur di tanah becak, apabila berkempen di ceruk kampung di luar bandar serta pedalaman pada musim hujan.
* Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak